Laman Rabu - WADAH WANITA ISLAM

Wednesday, June 15, 2005

Rahsia Jadi Ayah Yang Berkesan

Rahsia Jadi Ayah Yang Berkesan
Oleh Endok Sempo Mohd Tahir

BEBERAPA kajian menunjukkan bahawa kehadiran ayah menyumbang terhadap kejayaan anak dalam setiap fasa kehidupan mereka. Kajian itu disimpulkan dalam Father Facts, Edisi Ketiga (1998), antaranya:

Bayi yang mempunyai ayah yang selalu bersama-sama anaknya di lapan minggu pertama, lebih berkemampuan menangani tekanan di alam persekolahan.

Anak yang rapat dengan ayahnya pada zaman kanak-kanak menjadi ejen ‘penyelesai masalah’ yang baik apabila dewasa berbanding kanak-kanak yang tidak dipedulikan oleh ayahnya.

Apabila anak lelaki dan perempuan dididik dan dibelai oleh ayahnya serta sentiasa di sampingnya, sikap mereka apabila dewasa menjadi lebih berinisiatif dan mampu mengawal diri.Kanak-kanak yang mempunyai hubungan rapat dengan ayahnya ketika zaman tumbesarannya akan menjadi seorang remaja dan orang dewasa yang seimbang.

l Anak yang tidak berbapa.

Kajian menunjukkan kekosongan daripada belaian kasih ayah mempunyai hubungan rapat dengan pelbagai permasalahan gejala sosial dan prestasi pembelajaran anak-anak.

Anak yang tidak tinggal dengan ayahnya menunjukkan gejala seperti di bawah:

  • Lima kali lebih teruk prestasi pembelajaran.
  • Tiga kali lebih ramai yang mengandung tanpa nikah.
  • Lebih 50 peratus kemungkinan keciciran dalam pembelajaran, terbabit dengan gangsterism, penyalahgunaan dadah dan jenayah juvana.(Sumber: Pusat Kebapaan Kebangsaan)

Tujuh rahsia menjadi ayah yang berkesan.

Ramai lelaki terbilang berjaya dan berbangga kerana menjadi seorang ayah cemerlang dan berkesan. Menurut kajian Dr Ken Canfield, pengasas dan juga Presiden Pusat Kebapaan Kebangsaan dalam penyelidikannya mengenai ‘kebapaan’ ada tujuh rahsia menjadi ayah yang berkesan:

-l Bapa yang komited dan bertanggungjawab.

Jalankan tugas bapa dengan penuh dedikasi dan bertanggungjawab. Kenal pasti apakah tugas anda sebagai bapa dalam rumah tangga. Tunjukkan dan beritahu anak bahawa anda juga ada tugas dalam rumah tangga, disamping ibu mereka. Anda bukan hanya bertugas di luar. Sekali-sekala berikan mereka peluang untuk mengutarakan pandangan atau menegur anda jika terlupa atau terlalai melakukan tugas anda di rumah. Selalu memeriksa dan memantau apakah anda telah melaksanakan tugas di rumah. Bayangkan ‘hadiah’ atau ‘anugerah’ yang bakal didapati (sama ada di dunia atau akhirat) jika anda menjadi ayah cemerlang!

l Kenali anak anda.

Ambil masa untuk mengenali secara khusus keunikan dan kualiti anak anda. Libatkan diri dalam dunia mereka, hadiah yang mereka sukai, ketakutan, kekecewaan malah impian dan cita-cita mereka. Cuba ingatkan semua nama kawan mereka serta pembawaan masing masing.Kenal pasti apa yang selalu mengecewakan, ditakuti, dibenci, paling memalukan serta yang boleh memberi motivasi dan perangsang kepada merekal Istiqamah (tetap pendirian) .

Apabila anak tahu apa yang bapa mahukan, mereka akan lebih berasa yakin serta boleh menyesuaikannya dengan kehendak anda. Jadi, istiqamah, tetap pendirian serta konsisten.

Ada enam tempat anda perlu konsisten iaitu hadkan perubahan mood (jangan terlalu mengikuti perasaan); sentiasa ada di rumah (selalu menghadirkan diri dalam acara kekeluargaan); kotakan apa yang dikata, bukan cakap tidak serupa bikin; sentiasa menjaga moral dan adab sopan; mempunyai atur cara kehidupan teratur serta ada hobi dan kegemaran baik yang boleh dilihat dan diikuti.

l Melindungi, menyara dan mendoakan.
Sediakan suasana dan rasa selamat dalam rumah dengan memberikan respon yang positif setiap kali berlaku krisis dan permasalahan dalam rumah. Paling penting anda memberikan saraan yang cukup kepada mereka. Bapa tidak boleh menghalang berlakunya krisis, tetapi tindakan anda ketika berlaku krisis dan mengembalikan suasana normal, sebenarnya ‘mengajar’ anak menangani krisis. Jangan lupa doakan untuk anak selepas solat.

l Mencintai ibu mereka.

Zahirkan cinta anda kepada isteri anda di depan anak untuk menunjukkan satu hubungan suami isteri yang intim dan bermakna. Jadikan diri anda sebagai anggota dalam pasukan ‘keibubapaan’, bukan hanya ibu. Inilah langkah dan hadiah terbaik untuk anak. Dalam jangka panjang, anak mendapat manfaat yang sangat bernilai daripada hubungan ibu bapa yang hormat menghormati, bekerjasama dan berkasih sayang.

l Menjadi pendengar yang baik.

Sedarlah bahawa anak mudah tersesat atau terpesong dalam arus dunia. Dengar apa yang mereka katakan dan apa yang tidak terluahkan. Tunjukkan kepada mereka bahwa mereka ‘berhak’ untuk didengari dan diberi perhatian.

l Jadikan diri anda ‘pemimpin’ kerohanian.

Beri peluang anak anda mengenali Allah dengan menunjukkan ‘keimanan’ dan amal harian anda yang selari dengan tuntutan agama. Bersolat bersama-sama dan jadi imam dalam solat lima waktu di rumah. Bawalah mereka bersama-sama menunaikan solat berjemaah di masjid. Selalu bercerita mengenai makhluk yang dicintai Allah di bumi dan langit.

Selamat Hari Bapa!

PENULIS boleh dihubungi pada wanitajim0@yahoo.com dan persoalan boleh dilihat di www.wanitjimceria.blogspot.com

Wednesday, June 08, 2005

Hubungan sulit siber boleh jejas perkahwinan

Hubungan sulit siber boleh jejas perkahwinan
Oleh Marhamah Abdul Wahid
“SAYA bingung, ustazah, hati saya terasa hambar dengan suami. Suami sibuk dengan kerjayanya. Dia hanya pulang apabila matahari terbenam dan ke pejabat esoknya sebelum matahari muncul.
“Saya hanya bahagia apabila mendapat SMS, panggilan telefon dan apabila bersembang dengan si dia di alam siber. “Kami walaupun tidak pernah bersua muka, perasaan saya seolah-olah bercinta dengan bayang-bayang masing-masing. Hampir empat tahun berlalu, akhir-akhir ini, saya berasa bersalah, berdosa dan bingung, apabila si dia mencadangkan agar kami bertemu untuk menentukan masa depan.” Begitulah keluhan seorang ibu muda kepada saya pada suatu hari. Masalah itu sebenarnya biasa bagi seorang ibu yang kesunyian, terasa terabai, banyak masa terluang di depan komputer serta tidak punya kekuatan diri untuk melawan nafsu. Namun, akhirnya dia sedar kesilapannya. Begitupun, sesi kaunseling terarah perlu untuk mengembalikan semula rasa harga diri dan maruah seorang wanita Islam. Bagi isteri yang menghadapi kemelut jiwa yang sama, saya ingin berkongsi bersama beberapa cadangan untuk keluar daripada permasalahan ini.Untuk lebih memahami masalah seumpama, beberapa langkah perlu dilakukan seikhlas hati dan iman serta difikir dengan penuh kesedaran.Langkah pertama, sila jawab soalan penerokaan diri berikut:-1. Apakah sebenarnya tujuan anda berhubung dengan lelaki itu?2. Sejauh manakah anda ingin membina perhubungan itu? Adakah hubungan cinta, sebagai sahabat atau teman berbincang? (Islam tidak terus melarang perhubungan berlainan jantina asalkan dalam batas, tujuan dan cara selayaknya).3. Contohnya, bagi kes isteri muda ini, dengan usia perkahwinan menjangkau 12 tahun, mempunyai tiga anak serta suami bertanggungjawab, puan mendakwa memiliki keluarga teramat bahagia. Setakat manakah benar pernyataan itu? Jawapan boleh berpandukan asas berikut:a) Puas hati dengan keperluan rumah tangga yang disediakan suami?b) Puas hati dengan layanan suami tiada halangan/jurang dari segi komunikasi dan tiada masalah seksual? (Anda boleh berkongsi perasaan dengannya)c) Melaksanakan tanggungjawab rumah tangga dengan baik?d) Puas hati dengan tingkah-laku anak? e) Memiliki sahabat/jiran yang baik yang boleh berkongsi pandangan/ bertanya masalah?4. Anda memulakan perhubungan dengan lelaki itu dengan menipu identiti sebenar. Selama itu juga anda mengkhianati amanah suami dengan ‘melayani’ lelaki lain hingga dingin dengan suami. Apakah pandangan anda terhadap dosa dan pahala berkaitan perkara itu? 5. Kalau anda berasa bersalah/berdosa, adakah ingin mengekalkan diri dalam dosa atau terus rasa bersalah, seolah-olah ingin terus dalam azab di dunia, apatah lagi di akhirat? 6. Kalau anda tidak mahu terus berada dalam kezaliman diri dengan masalah ini adakah ingin berubah dan bertaubat? Kalau jawapan ya, ikuti langkah berikut:-1. Bayangkan sekiranya suami mengkhianati kesetiaan anda (seperti anda lakukan). Suami sebenarnya mempunyai lebih banyak peluang untuk berbuat demikian berbanding diri anda. Apakah perasaan anda?2. Bayangkan jika anda berada di tempat isteri lelaki yang dikenali itu, mendapat tahu suaminya mengkhianati kesetiaannya? Dengan status anda sebenar, bagaimana perasaan anda sebagai isterinya?3. Bandingkan bagaimana kebahagiaan anda dalam keluarga bahagia dengan yang didakwa bahagia sehingga ‘ghalit’ kata orang Kedah dengan suaranya saja? 4. Adakah anda mendapat gambaran jaminan kebahagiaan yang lebih baik dengan lelaki itu yang hanya dikenali melalui e-mel atau SMS berbanding suami sekarang? 5. Anda masih inginkan perubahan? Ingin meneruskan keluarga bahagia atau hubungan dengan lelaki itu? Jawapannya ada pada diri anda. Kalau memilih yang pertama, sila fikirkan nasihat ini.Sekiranya suami tidak terhidu langsung perhubungan itu dan jika diceritakan akan menjadikan keadaan lebih buruk, saya cadangkan tidak perlu memberitahunya. Sebaliknya ikuti langkah seterusnya.1. Berterus terang dengan si dia. Minta maaf di atas kesalahan yang disengajakan. Sekiranya ingin terus berhubung sebagai sahabat dan tidak akan mengganggu kehidupan anda atau lelaki itu, ia mungkin boleh diteruskan. Jika anda berdua tidak dapat mengawal diri, lebih baik menjauhi dosa daripada perkara yang boleh menyebabkan/mendorong kepada melakukan dosa. 2. Tukar nombor telefon bimbit dan alamat e-mel bagi mengelakkan anda dapat dihubungi lelaki tadi. Anda juga perlu mengawal diri daripada menghubunginya.3. Bertaubat untuk mendapat keampunan Allah dan berjanji tidak melakukannya lagi.4. Jika anda bermasalah luahkannya kepada suami, mengapa perlu diluahkan kepada orang lain. Saya yakin kesunyian yang dihadapi boleh difikirkan oleh anda berdua untuk melakukan sesuatu yang akan terus membahagiakan anda dan keluarga. Carilah sahabat, saudara dan jiran yang boleh membantu. Lakukan kerja berfaedah.5. Berbincang dengan suami supaya boleh mengikuti kursus yang diminati yang boleh mengisi masa dan membuka minda sebagai suri rumah.Akhirnya, bertekad untuk berjaya mengatasi masalah ini. Bertawakal kepada Allah kerana sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Memberi Pertolongan kepada hamba yang memohon kepada-Nya.l PENULIS ialah guru dan boleh dihubungi pada wanitajim0@yahoo.com dan jawapan terhadap pemasalahan layari www.wanitajimceria.blogspot.-com

Wednesday, June 01, 2005

Perkahwinan Berasaskan Ibadah Jamin Kebahagiaan

Perkahwinan Berasaskan Ibadah Jamin Kebahagiaan
Oleh Endok Sempo Mohd Tahir

HUJUNG minggu lalu, ketika meraikan perkahwinan anak saudara di Johor Bahru, Johor kedengaran pelbagai ucapan selamat daripada para jemputan. Wajah mempelai berseri-seri kerana bahagia membina mahligai impian. Rata-rata ucapan yang diberikan seperti di bawah:
“Selamat pengantin baru semoga berbahagia sehingga ke anak cucu.”“Selamat berbahagia semoga kekal di dunia dan akhirat.““Selamat pengantin baru, semoga berbahagia.”
Ada yang hadir menyampuk dan bergurau apabila mendengar ucapan tadi dengan kata-kata:“Pengantin hanya berbahagia sehingga mendapat cucu, selepas mendapat cucu hilanglah kebahagiaan atau bercerai apabila telah bosan atau tua.”“Apalah guna kekal bersama sehingga ke akhirat jika seorang di syurga dan seorang di neraka?”“Bahagia adalah bersifat sementara dan relatif dengan faktor suasana dan masa.”Jadi, saya katakan kepadanya, berilah ucapan terbaik (sebenarnya doa) daripada sunnah Rasulullah SAW, maksudnya: "Semoga Allah memberi barakah bagi kamu dan memberkati keluarga kamu, dan mengumpulkan kamu dalam kebaikan dan kepada kebaikan." (Dalam bahasa Arabnya: Barakallah laka, wa barakallahu alaika wa jamaa bainakuma fi kulli khair)Inlah doa untuk pengantin yang diajarkan oleh Rasulullah agar pengantin mendapat kebaikan dan kebahagiaan di dunia (generasi demi generasi dan di akhirat lagi diberkati Allah). Kita doakanlah pengantin yang diraikan dengan doa ini.Justeru, asas perkahwinan yang bagaimanakah yang paling membahagiakan? Semua perkahwinan mengharapkan kebahagiaan, tetapi berapa orangkah yang dapat menikmati bahagia? Apakah asas perkahwinan yang membuahkan kebahagiaan berpanjangan?
· Jika asas perkahwinan adalah kerana seks, maka pasangan akan selalu bertengkar jika suasana di bilik tidur tidak memuaskan.
· Jika asas perkahwinan adalah kerana harta, maka pasangan bakal bercerai jika ekonomi dalam rumah tangga merudum dan muflis.
· Jika asas perkahwinan kerana kecantikan wajah dan tubuh badan, pasangan akan lari apabila rambut beruban, muka kerepot atau badan jadi gendut.
· Jika asas perkahwinan kerana anak, maka pasangan akan mencari alasan untuk pergi jika hati (anak) tidak hadir.
· Jika asas perkahwinan kerana keperibadian, pasangan akan lari jika orang berubah tingkah lakunya.
· Jika asas perkahwinan kerana cinta, hati manusia itu tidak tetap dan mudah terpikat pada hal yang lebih baik, tambahan pula manusia yang dicintai pasti mati atau pergi.
· Jika asas perkahwinan kerana ibadah kepada Allah, sesungguhnya Allah itu kekal dan Maha Pemberi Hidup kepada makhluk-Nya. Allah mencintai hamba-Nya melebihi seorang ibu mencintai bayinya. Maka, tidak ada alasan apa pun di dunia yang dapat meretakkan rumah tangga kecuali jika pasangan menderhakai Allah. Kebahagiaan dalam perkahwinan mesti dimulakan dengan langkah yang pertama iaitu pemilihan yang tepat!Pemilihan tepat perlukan kriteria pemilihan. Kita perlu bertindak dengan berhati-hati dan cermat dalam membuat pilihan agar tidak tersalah pilih. Ingatlah bahawa Allah memakbulkan permintaan kita menurut kehendak ‘niat’. Jika kita menginginkan jodoh baik, mula dari diri sendiri menjadi baik dan carilah di tempat baik pula.Diriwayatkan daripada Umar bin Khattab bahawa Rasulullah bersabda bersabda bermaksud: “Pahala perbuatan itu tergantung niatnya, setiap orang akan mendapat pahala sesuai dengan niatnya. Sehingga, sesiapa saja yang berhijrah kerana Allah dan rasul-Nya, maka hijrahnya bernilai di sisi Allah dan rasul-Nya, dan sesiapa saja berhijrah kerana keuntungan dunia atau kerana untuk menikahi wanita, maka yang diperolehnya hanya terbatas apa yang diniatkannya." (Hadis riwayat Bukhari).Rasulullah bersabda bermaksud: “Orang mengahwini wanita kerana empat perkara iaitu hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Oleh itu, carilah wanita yang mempunyai agama (kerana kalau tidak) binasalah dua tanganmu." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)Hadis itu tidak hanya merujuk kepada pihak lelaki, malah wanita dalam memilih calon suami. Oleh kerana Rasulullah tidak merumuskan bentuk tertentu daripada perkataan binasa, berkemungkinan besar yang dimaksudkan ‘binasa’ adalah penderitaan batin kerana ketegangan yang berlaku akibat salah memilih teman.Janganlah terpedaya dengan keindahan fizikal dan duniawi semata-mata dan mengaburkan tujuan perkahwinan yang sebenarnya iaitu penyempurnaan ketakwaan kepada Allah.Jodoh memang sudah ditetapkan Allah, tetapi sesuai dengan hukum-Nya, Allah tidak akan menjodohkan seseorang yang soleh dengan seorang penzina. Jika ingin mendapatkan jodoh yang baik, maka mulalah dengan memperbaiki diri sendiri kerana Allah menetapkan takdir, bahawa:" (Lazimnya) perempuan yang jahat untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih daripada (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (daripada Allah) dan pengurniaan yang mulia." (Surah an-Nur, ayat 26)Bagaimanakah kita akan mendapat pasangan sebaik Saidatina Siti Khadijah atau Siti Fatimah jika tidak sebaik Rasulullah atau Saidina Ali.Semoga pemilihan yang berdasarkan kepada kriteria itu atas akan mendapat kebahagiaan hakiki di dunia dan akhirat.PENULIS boleh dihubungi di alamat wanitajim0@yahoo.com dan jawapan kepada persoalan boleh layari www.wanitajimceria.blogspot.com