Laman Rabu - WADAH WANITA ISLAM

Wednesday, October 27, 2004

Sedekah makanan lebih afdal daripada banyak makan

Oleh Endok Sempo Mohd Tahir

“AINA, berbelanja sakan, banyaknya.” Jamilah menegur kawan sepejabat yang berbelanja untuk juadah berbuka puasa.
“Nak layan kerenah semua orang dalam rumah. Bapanya hendak makan mi rebus, Along nak makan nasi kerabu, Angah nak kueh seri muka dan koleh kacang.“Uda pula teringin nak makan mini martabak, si bongsu pula merengek hendak beli kebab kosyer Turki...,” balas Aina.Tidak cukup tangan nampaknya Aina menggenggam hasil beliannya. Kiri dan kanan sarat dengan beg plastik yang penuh dengan juadah pelbagai rasa.Jamilah tersenyum dan benaknya memikirkan sesuatu. Kalau dicongak-congak, Aina menghabiskan tidak kurang RM50 untuk belanja berbuka puasa saja petang itu. Bayangkan sebulan Ramadan, berapakah Aina sediakan untuk juadah berbuka puasa keluarganya? Beginilah saban tahun, kita dan beberapa kelompok di kalangan kita menjalankan ibadat puasa. Ramadan adalah bulan untuk mempelbagaikan juadah, bulan berpesta mengenyangkan perut setelah berpuasa sehari suntuk. Hingga ada antara kita menanti-nanti kedatangan Ramadan bukan kerana rahmat, maghfirah dan syurganya, tetapi disebabkan ‘menu Ramadan’ yang pelbagai dan juadah yang berlambak-lambak di pasar Ramadan.Tidak sedikit orang yang mempunyai sikap seperti Aina yang kurang memahami falsafah puasa, kurangkan juadah, banyakkan sedekah _ yang menganjurkan mengurangkan makan ketika berbuka dan membanyakkan sedekah menggandakan pahala. Ramai yang suka makan berlebih-lebihan dan berbelanja hingga ke tahap membazir. Nabi Muhammad saw pernah bersabda: “Shûmû tashihhû” (berpuasa agar kamu sihat).” Sihat di sini bermaksud sihat secara fizikal. Jadi, dengan berpuasa, kita mengurangkan makan, sekali gus mengatur makanan seimbang yang bertujuan agar kita sentiasa sihat secara fizikal.Kedua, sihat secara sosial. Maksudnya, kita mampu menjalin hubungan baik sesama manusia, saling menasihati, memberi pesan ke arah ketakwaan dan keimanan serta bersedekah dan menolong orang yang memerlukan.Alangkah baiknya jika Aina menjadi seorang ibu yang bijak mengurus selera ahli keluarganya. Menyediakan menu sederhana, tetapi berkhasiat. Wang dibelanjakan untuk juadah yang berlebihan itu dikurang atau disisihkan untuk disedekah dan dikongsikan dengan orang yang kurang bernasib baik seperti anak anak yatim. Begitu juga memberikan sumbangan untuk majlis iftar Ramadan (berbuka puasa) untuk umat Islam yang memerlukan.Apakah kesilapan kita? Pernahkah kita fikirkan orang yang lebih susah daripada kita? Apakah bantuan yang kita hulurkan untuk memberi sesuap makanan pada yang tidak mempunyai apa-apa? Pernahkah kita melihat orang yang mengemis sesuap nasi di kedai makan dihalau dan dihina? Adakah tergerak hati kita untuk menolongnya?Alangkah baiknya jika kita berusaha untuk selalu memberikan iftar (berbuka) bagi mereka yang berpuasa walaupun hanya seteguk air atau sebutir kurma. Perkara ini seperti sabda Rasulullah yang bermaksud: “Barang siapa yang memberi iftar (untuk berbuka) orang yang berpuasa, maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa tanpa dikurangi sedikit pun.” – (Hadis Bukhari Muslim). Anjuran untuk berlumba-lumba dalam bersedekah dan membiasakan diri untuk menderma semaksimum mungkin sesuai dengan hadis Rasulullah yang diriwayatkan Ibnu Abbas, ertinya: “Rasulullah orang yang paling dermawan, terutama ketika berjumpa dengan malaikat Jibril dan Jibril selalu menemuinya setiap malam pada Ramadan hingga akhir bulan itu.” – (Hadis riwayat Bukhari).Pada hadis lain disebutkan bahawa Rasulullah orang yang paling sempurna akhlaknya dan dermawan. Sifat mulia Baginda itu mencakup semua segi antaranya memberikan ilmu, harta dan jiwanya kepada Allah demi menegakkan agama.Rasulullah lebih mementingkan orang lain daripada diri sendiri, keluarga dan anak-anaknya. Baginda memberikan apa yang raja tidak mampu memberikannya. Rasulullah lebih suka hidup sederhana hingga tidak jarang dalam satu atau dua bulan dapurnya tidak mengepulkan asap. Kedermawaan Baginda semakin bertambah ketika Ramadan. Pada bulan inilah waktu keutamaan menjadi dermawan kerana menjadikan pahala berlipat ganda. Membantu orang berpuasa dan orang yang menjalankan ketaatan, berhak mendapatkan pahala seperti pahala orang yg melakukannya, tanpa mengurangi sedikit pun pahalanya. Allah Maha Dermawan terhadap hamba-Nya dengan rahmat dan maghfirah-Nya dalam bulan Ramadan ini. Maka, sepatutnya seorang hamba membalas kebaikan-Nya dengan mendermakan harta dan jiwa hingga berhak memperoleh rahmat Allah.Antara keutamaan sedekah adalah menghindar murka Allah dan terhindar daripada suu’ul khatimah, iaitu meninggal dalam keadaan sesat. Sedekah juga mempunyai pengaruh luar biasa untuk menolak bermacam cubaan dan malapetaka dan melebur kesalahan. Sedekah membuat hati menjadi senang dan dada terasa lapang. Maka kerana itu kita dilarang bakhil. Abdurrahman bin Auf setiap kali bertawaf di Makkah selalu berkata: “Ya Allah lindungilah aku daripada jiwa yang bakhil.”Ramadan juga memberi ruang kepada peniaga untuk mencari rezeki. Biasanya, peniaga akan menjual pelbagai jenis juadah berbuka puasa untuk pilihan pembeli. Namun begitu, adalah tidak mustahil bagi peniaga akan mengalami lebihan juadah yang tidak habis terjual kerana untung dan rugi adalah adat berniaga. Juadah seperti kuih-muih basah, biasanya tidak akan tahan lama dan pastinya akan basi. Peniaga perlu bersikap positif dalam berniaga, dengan menyedekahkan sebahagian kuih-muih yang tidak habis dijual kepada yang memerlukan. Tindakan itu tidak akan membawa kerugian. Ia adalah sedekah dan Allah pasti akan memperluaskan pintu rezeki-Nya kepada mereka yang melakukannya, insya-Allah. Perkara ini kerana setiap sedekah itu ada keberkatannya. Diakui atau tidak, dalam kehidupan kita sehari-hari masih selalu berat untuk menginfakkan (menyedekahkan) sebahagian harta kepada yang berhak. Kita sering tidak tersentuh melihat anak kecil berkaki ayam kelaparan memohon belas kasihan. Kita sering berfikir dua kali untuk memberi derma jika ada orang yang meminta. Begitu juga berat untuk membantu jiran yang kelaparan, pengemis terdesak lapar atau fakir miskin yang tidak sanggup lagi membiayai anaknya sekolah. Malah, untuk mengeluarkan zakat (yang sememangnya menjadi kewajiban). Kita selalu berusaha untuk menghindari dan mencari-cari alasan berbuat demikian.
· PENULIS boleh dihubungi melalui wanitajim0@yahoo.com atau www.wanitajimceria.blogspot.comWANITA JIM sedang mempromosikan sumbangan iftar Ramadan untuk rakyat Palestin, Mindanao dan Pattani. Tarikh akhir kutipan adalah pada 31 Oktober 2004. Sila hubungi Wanita JIM di 03-41089669 (Rawiyah) atau 03-41073379 (Nur).

Wednesday, October 20, 2004

Ramadan bentuk ummah menjadi insan serba baru

Oleh Endok Sempo Mohd Tahir

“MAMA, ulat bulu! Gelinya,” Widad menjerit kepada ibunya yang menyiram bunga pada suatu pagi Ramadan di belakang rumahnya
“Jangan pegang, nanti gatal tangan,” sahut ibunya mengingatkan anaknya, sambil berlari ke arahnya dengan perasaan bimbang.Kita dan sesiapa saja akan bertindak seperti Widad dan ibunya apabila berada dalam keadaan seperti itu. Namun, pernahkah kita memerhatikan kehidupan seekor ulat bulu?Kebanyakan kita melihat ulat bulu dengan perasaan geli-geleman, pandangan yang menjijikkan, bahkan menakutkan. Namun, kita semua tahu bahawa masa jangka hayat seekor ulat bulu tidak lama. Apabila tiba saatnya, ia akan mengalami satu fasa yang harus masuk ke dalam kepompong selama beberapa hari. Setelah itu, ia akan keluar dalam satu bentuk kewujudan yang lain. Ia menjelma menjadi seekor kupu-kupu yang sangat cantik. Semua orang yang memandang akan terpikat dan suka menikmati keindahan warna warni sayapnya. Malah, ada yang ingin menangkapnya untuk dijadikan hiasan. Ada pula yang sengaja mencari dan memburunya semata-mata untuk bahan uji kaji atau keperluan ilmu pengetahuan atau hanya sebagai bahan koleksi. Semua proses metamorfosis kehidupan ulat bulu yang dibenci, digeruni dan dipandang jijik, akhirnya menjadi kegilaan dan rebutan itu memperlihatkan tanda kebesaran Allah. Menandakan betapa teramat mudahnya bagi Allah mengubah segala sesuatu daripada perkara menjijikkan, buruk dan tidak disukai, menjadi sesuatu yang indah dan membuat orang senang memandangnya. Semua itu berjalan melalui suatu proses perubahan yang sudah diatur dan aturannya ditentukan oleh Allah baik dalam bentuk aturan atau hukum alam (sunnatullah). Begitu juga berdasarkan hukum yang disyariatkan kepada manusia yakin al-Quran dan hadis.Proses metamorfosis ulat ini boleh dianalogikan dengan kehidupan manusia. Saat manusia dapat menjelma menjadi insan yang jauh lebih indah, saat yang paling tepat untuk dilahirkan kembali adalah ketika memasuki Ramadan. Apabila kita masuk ke dalam ‘kepompong’ Ramadan, segala tindak tanduk dan amalan selari dengan ketentuan metamorfosis daripada Allah.Pada peringkat akhir metamorfosis, diharapkan kita akan mendapat hasil yang mampu membuat manusia lain tercengang. Insan baru yang berdarjat muttaqin, memiliki akhlak yang indah dan mempesonakan.Inti daripada ibadat pada kepompong Ramadan ternyata untuk melatih diri agar kita dapat menguasai hawa nafsu.Allah berfirman bermaksud: “Dan ada pun orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan menahan diri daripada keinginan hawa nafsunya, maka sesungguhnya syurgalah tempat tinggalnya.” – (Surah an-Naazi’aat, ayat 40 hingga 41).Kita selalu bertanya dalam diri, mengapa agaknya selama ini berasa amat sukar mengendalikan hawa nafsu. Sebenarnya selama ini diri kita dilingkari, diajar dan diajak oleh ‘mentor’, ‘guru’ atau ‘pelatih’ yang mengajak dan membina hawa nafsu ke arah yang tidak disukai Allah. Mentor itu adalah syaitan laknatullah, yang sangat aktif mengarahkan hawa nafsu kita. Memang itulah tugas syaitan. Malang bagi kita, asal kejadian syaitan dan hawa nafsu adalah makhluk Allah yang tidak kelihatan pada mata kasar. Mereka adalah musuh yang wujud dalam dimensi alam ghaib.Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya syaitan adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah dia musuh (yang mesti dijauhi tipu dayanya); sebenarnya dia hanya mengajak golongannya supaya menjadi daripada penduduk neraka.” – (Surah al-Faatir, ayat 6).Namun, kita bersyukur kerana adanya fasa kehidupan dalam kepompong Ramadan selama sebulan ini.Kita diberi kesempatan sepenuhnya untuk melatih diri mengendalikan hawa nafsu sendiri tanpa gangguan mentor itu. Oleh itu gunakan kesempatan seperti ini dan janganlah sia-siakannya. Martabat ibadat puasa harus ditingkatkan. Tidak hanya berpuasa dengan menahan diri daripada nafsu perut dan seksual. Kita juga hendaklah aktifkan semua anggota badan yang lain untuk melaksanakan amalan yang dicintai Allah. Amalan yang dicintai Allah adalah amalan soleh yang beransur-ansur akan mengalah atau meredamkan kemahuan hawa nafsu syaitan. Jika hawa nafsu syaitan dapat dikendalikan, nafsu yang tidak baik ini akan tunduk pada keinginan atau keazaman soleh. Dengan demikian, kita yang akan mampu memandu kehidupan ini, tidak lagi dalam kawalan ‘mentor’ yang lama (hawa nafsu syaitan). Perkara lain yang paling utama perlu dijaga pada bulan yang sarat dengan barakah ini adalah akhlak. Barang siapa memperelokkan akhlaknya pada Ramadan, Allah akan menyelamatkannya ketika meniti ‘sirat’ iaitu banyak kaki durjana tergelincir, demikianlah maksud dari salah satu pesanan Rasulullah saw.Pada Ramadan ini, kita dianggap sebagai tetamu Allah. Sebagai tuan rumah, Allah sangat mengetahui bagaimana cara melayani tetamunya dengan baik. Namun, Allah hanya akan melayani dengan baik jika kita tahu adab dan akhlak bertamu, apalagi menjadi tetamu Allah. Salah satunya ialah menjaga puasa dan menjadikannya sesempurna mungkin. Tidak hanya sekadar menahan lapar dan dahaga, malah seluruh anggota tubuh mesti turut berpuasa. Marilah kita perbaiki segala keburukan dan kekurangan akhlak kita sebagai tamu Allah kerana tidak mustahil Ramadan tahun ini adalah Ramadan terakhir bagi kita. Oleh itu, jangan sia-siakan kehadiran bulan yang penuh kemuliaan, kerahmatan dan keberkatan ini. Semoga Allah Yang Maha Menyaksikan menjadi saksi dan sentiasa melimpahkan inayah-Nya kepada kita sepanjang fasa ‘kepompong’ Ramadan ini. Metamorfosis kita akan berakhir dengan kelahiran insan baru, umpama seekor ulat bulu yang keluar menjadi seekor kupu-kupu yang teramat indah dan mempesona. Marhaban Ya Ramadan, marilah kita berlumba-lumba membuat kebajikan. Gandakan amalan soleh untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah.Renung dan hayati firman Allah bermaksud: “Hai orang yang beriman, diwajibkan kepada kamu untuk berpuasa seperti telah diwajibkan atas umat terdahulu daripada kamu, mudah-mudahan kamu bertakwa.” – (Surah al-Baqarah, ayat 183).Dalam satu hadis qudsi Rasulullah bersabda bahawa Allah berfirman bermaksud: “Semua amal anak Adam dapat dicampuri kepentingan hawa nafsu, kecuali shaum (puasa). Maka, sesungguhnya shaum itu semata-mata untuk-Ku dan Aku sendiri yang akan membalasnya.” – (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
· PENULIS boleh dihubungi melalui e-mel wanitajim0@yahoo.com dan maklum balas mengenai sebarang pertanyaan boleh dilayari pada www.wanitajimceria.blogspot.com.

Wednesday, October 13, 2004

Empat persediaan sambut kedatangan Ramadan

Oleh Prof Madya Maznah Daud

INSYA-ALLAH beberapa hari saja lagi kita dikunjungi tetamu agung yang tidak jemu-jemu bertandang tahun demi tahun. Setiap kali kehadirannya pasti membawa berjuta-juta kebaikan dan keberkatan untuk seluruh bani insan. Oleh kerana besarnya kelebihan Ramadan, Nabi Muhammad saw selalu memberi khabar gembira kedatangannya kepada sahabat dengan bersabda bermaksud: “Telah datang kepadamu Ramadan, bulan yang diberkati. Allah mewajibkan kepadamu puasa dalamnya; pada bulan ini pintu syurga dibuka, pintu neraka ditutup dan syaitan diikat. Juga ada pada bulan ini malam yang lebih baik daripada seribu bulan, barang siapa tidak memperoleh kebaikannya, maka dia tidak memperoleh apa-apa.” (Hadis riwayat Ahmad dan An-Nasa'i) Dalam satu riwayat lain, Rasulullah bersabda: “Telah datang kepadamu Ramadan, bulan keberkatan, Allah mengunjungimu pada bulan ini dengan menurunkan rahmat, menghapus dosa dan memakbulkan doa. Allah melihat kamu berlumba-lumba pada bulan ini dan membanggakanmu kepada malaikat-Nya, maka tunjukkanlah kepada Allah hal yang baik daripada dirimu. Kerana orang yang sengsara ialah yang tidak mendapatkan rahmat Allah pada bulan ini.” (Hadis riwayat Ath-Thabrani)Dalam hadis lain, Baginda bersabda bermaksud: “Umatku pada Ramadan diberi lima keutamaan yang tidak diberikan kepada umat sebelumnya iaitu; bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada aroma kasturi; malaikat memohonkan keampunan bagi mereka sampai mereka berbuka; Allah setiap hari menghiasi syurga-Nya lalu berfirman (kepada syurga),’Hampir tiba saatnya hamba-Ku yang soleh dibebaskan daripada beban dan derita serta mereka menuju kepadamu’; pada bulan ini jin yang jahat diikat hingga mereka tidak bebas bergerak seperti pada bulan lain serta diberikan kepada ummatku ampunan pada akhir malam.” Beliau ditanya: “Wahai Rasulullah! Apakah malam itu Lailatul Qadar?” Jawab Baginda: “Tidak. Namun orang yang beramal tentu diberi balasannya jika menyelesaikan amalnya.” (Hadis riwayat Ahmad)Bulan ini dipilih oleh Allah untuk menurunkan al-Quran dan kitab suci lain. Allah berfirman maksudnya: “Ramadan yang diturunkan dalamnya al-Quran, menjadi pembimbing bagi sekalian manusia, mengandungi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan perbezaan antara yang benar dengan yang salah...” (surah al-Baqarah, ayat 185)Daripada Wathilah bin al-Asqa’, sesungguhnya Rasulullah bersabda maksudnya: “Telah diturunkan Suhuf Ibrahim pada malam pertama Ramadan, diturunkan Taurat selepas berlalu enam hari Ramadan, diturunkan Injil selepas hari ke-13 Ramadan, dan diturunkan al-Quran selepas 24 hari Ramadan.” (Hadis riwayat Ahmad)Pada bulan ini juga ada Lailatul Qadar (malam mulia) iaitu malam yang lebih baik daripada seribu bulan atau sama dengan 83 tahun empat bulan. Malam di mana pintu langit dibukakan, doa dikabulkan dan segala takdir yang berlaku pada tahun itu ditentukan. Sabda Nabi bermaksud: “Barang siapa mendirikan solat pada Lailatul Qadar kerana iman dan mengharap pahala daripada Allah nescaya diampuni dosanya yang lalu.” (Hadis Muttafaq 'Alaih) Itu hanya sebahagian daripada nas yang menunjukkan betapa mulianya Ramadan.Apakah persediaan kita untuk menyambut kehadiran Ramadan?Sebagai mukmin pastinya kita amat merindui dan menantikan kedatangannya. Lantaran itu kita seharusnya membuat persediaan sebaik-baiknya sesuai dengan kemuliaan dan kehebatannya.Pertama, persediaan kerohanianDari aspek kerohanian atau ruhi, banyakkan istighfar memohon ampun daripada dosa. Bersihkan hati daripada segala kepercayaan, kefahaman dan anggapan yang berlawanan dengan akidah Islam yang berpaksikan tauhid. Selalu berdoa supaya termasuk dalam golongan hamba yang terpilih untuk menerima anugerah-Nya yang besar pada bulan ini. Tambahkan ayat hafazan serta doa pilihan sebagai bekalan. Kedua, persediaan mentalFahami, rasai dan hargai nilai Ramadan dengan sebenar-sebenarnya. Paculah seluruh kekuatan dan kemampuan yang ada untuk merebut dan meraih segala kebaikannya semaksimum mungkin. Lihatlah apa yang dilakukan oleh peserta Survivor atau Fear Factor. Mereka sanggup lakukan apa saja termasuk makan benda kotor dan busuk untuk mendapat hadiah yang ditawarkan yang mereka yakin sangat besar nilainya. Jadi, apabila kita benar-benar memahami betapa besarnya fadilat Ramadan, tentu kita tidak akan mensia-siakannya walaupun satu detik.Tentukan matlamat yang hendak dicapai dengan jelas, umpamanya khatam al-Quran dua kali, solat Subuh di masjid setiap hari dan sebagainya.Ketiga, persediaan fizikalUntuk menjalani ibadah yang dituntut seperti puasa pada siang hari, solat Tarawih, witir dan tahajud serta tilawah al-Quran pada malam hari tentu memerlukan badan yang sihat serta cergas. Mereka yang mempunyai masalah kesihatan, segera membuat pemeriksaan dan mendapatkan rawatan. Minta pandangan dan berbincang dengan mereka yang berpengalaman mengenai cara untuk menjaga kesihatan dan mengekalkan tahap kecergasan dalam menunaikan kewajipan yang sangat penting dan besar ganjarannya ini.Keempat, persediaan emosiLahirkan rasa syukur yang tidak terhingga kerana dipanjangkan usia dan diberikan kesempatan sekali lagi untuk menyambut kedatangan bulan yang mulia. Nantikan kehadiran Ramadan dengan perasaan yang bercampur antara harap dan takut. Harap supaya Allah memberikan pertolongan, mempermudahkan kita melaksanakan ibadah, mengampunkan segala dosa, menghadiahkan syurga dan menyelamatkan kita daripada seksa api neraka.Sesungguhnya Rasulullah menyatakan dalam sabdanya: “Barang siapa berpuasa Ramadan kerana iman dan mengharap pahala daripada Allah, nescaya diampuni dosanya yang lalu.” (Hadis Muttafaq 'Alaih). Di samping itu, kita berasa takut amalan yang dilakukan tidak sempurna, tuntutan puasa yang sebenarnya tidak dapat kita penuhi. Sesungguhnya puasa yang hakiki bukan sekadar meninggalkan makan dan minum pada siang hari, malah meninggalkan segala yang haram dan dilarang oleh agama, baik perbuatan atau perkataan. Sabda Rasulullah bermaksud: “Barang siapa tidak meninggalkan perkataan dan perbuatan dusta, maka Allah tidak berhajat dengan puasanya meninggalkan makan dan minum.” (Hadis riwayat Al-Bukhari) Dengan persiapan itu diharapkan Ramadan tahun ini lebih bermakna dan kita akan termasuk dalam golongan hamba yang berjaya, insya-Allah. Diriwayatkan bahawa Nabi bersabda : “Setiap amal yang dilakukan anak Adam adalah untuknya, dan satu kebaikan dibalas 10 kali ganda bahkan sampai 700 kali ganda. Allah berfirman, ‘Kecuali puasa, itu untuk-Ku dan Aku yang membalasnya. Ia telah meninggalkan syahwat, makan dan minumnya kerana-Ku. Orang yang berpuasa mendapat dua kegembiraan, iaitu kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan ketika berjumpa dengan Tuhannya. Sesungguhnya, bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada aroma kasturi.” (Hadis Muttafaq 'Alaih).(PENULIS ialah pensyarah Universiti Teknologi Mara dan boleh dihubungi melalui wanitajim0@yahoo.com. Jawapan terhadap permasalahan boleh di baca di www.wanitajimceria.blogspot.com)

Wednesday, October 06, 2004

Bijak agih tanggungjawab raih keberkatan Ramadan

Oleh Masdiana Hashim

SAHL bin Saad berkata, Nabi Muhammad saw bersabda, maksudnya : “Sesungguhnya dalam syurga ada pintu yang dinamakan Ar-Rayyan. Orang yang berpuasa akan masuk melalui pintu itu pada hari kiamat kelak. Tidak boleh masuk bersama mereka seorang pun selain mereka.
“Kelak akan ada pengumuman: ‘Di manakah orang yang berpuasa?’ Mereka lalu berduyun-duyun masuk melalui pintu itu. Selepas orang yang terakhir daripada mereka masuk, pintu tadi ditutup kembali. Tiada lagi orang lain yang akan memasukinya.” (Hadis riwayat Muslim)Allah berfirman yang bermaksud: “ (Masa yang diwajibkan kamu berpuasa adalah) Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan perbezaan antara yang benar dengan yang salah. “Oleh itu, sesiapa daripada kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa pada bulan itu dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir, maka (bolehlah dia berbuka, kemudian wajiblah dia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari yang lain. “(Dengan ketetapan itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran serta juga supaya kamu mencukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya dan supaya kamu bersyukur.” (Surah al-Baqarah, ayat 185)Ramadan adalah bulan yang sangat dinanti oleh setiap Muslim. Betapa besarnya peluang ibadat dan seterusnya peluang pahala yang dijanjikan Allah kepada hamba-Nya pada bulan ini. Alangkah sayangnya jika peluang yang datang setahun sekali itu disia-siakan begitu saja. Namun, hakikat pada masa moden kini ialah kita terlalu disibukkan dengan hal duniawi hingga tidak dapat menumpukan 100 peratus terhadap ibadat berkaitan pada Ramadan. Perkara ini lebih ketara bagi seorang wanita bekerjaya yang berkeluarga.Haid adalah satu fitrah kurniaan Allah terhadap wanita. Kelonggaran diberikan kepada wanita yang uzur syarie untuk tidak perlu berpuasa serta melakukan sebarang ibadat, tetapi ibadat puasa saja yang perlu diganti. Diriwayatkan oleh Muslim bahawa Ma’adzah berkata: “Saya bertanya kepada Aisyah: ‘Mengapa orang haid diwajibkan menggantikan puasa, dan tidak diwajibkan menggantikan solat?’ Jawab Aisyah balik sambil bertanya: ‘Apakah engkau orang Haruriyah?’ “Jawabku: ‘Tidak! Aku bukan Haruriyah tetapi aku bertanya.’ Kata Aisyah: ‘Itulah keuntungan kita. Kita diperintah men qada puasa, tetapi tidak mengqada solat.” Hukum itu dipersetujui oleh jumhur ulama. Hikmah yang tersembunyi di situ untuk wanita itu sendiri kerana puasa wajib Ramadan hanya datang setahun sekali, sedangkan solat lima waktu sehari dan purata waktu haid wanita adalah lima hingga tujuh hari dalam sebulan.Penulis pernah mendengar pengalaman wanita yang begitu ingin menjalani ibadat sepanjang bulan tanpa gangguan (yakni tanpa terkena uzur syarie). Lalu, beliau bersolat hajat dan berdoa kepada Allah sepanjang Rejab dan Syaaban supaya dilewat atau diawalkan waktu haidnya supaya tidak terkena Ramadan. Dengan izin Allah, doa itu dimakbulkan. Mungkin juga ada yang bertanya mengenai penggunaan ubat untuk menahan haid seperti yang diamalkan mereka yang menjalani ibadat haji. Haya binti Mubarok al-Barik dalam Ensiklopedia Wanita Muslimah ada menerangkan bahawa hal ini tiada dalilnya dalam Islam dan diterima oleh ulama mutakhir yang ia dibolehkan. Bagaimanapun, sebaik-baiknya untuk merujuk pandangan doktor ginekologi akan kesan sampingan. Sebagai wanita, sedikit sebanyak kita akan disibukkan dengan persiapan hari raya. Menjadi norma (yang tidak sepatutnya) semakin hampir ke penghujung Ramadan maka semakin kurang bilangan saf Muslimah bersolat Tarawih disebabkan persiapan hari raya, sedangkan dinyatakan dalam al-Quran dan hadis bahawa Lailatul Qadar yang terlalu tinggi nilainya terletak pada 10 malam terakhir Ramadan. Pekara ini dinyatakan dalam satu surah yang dikhaskan untuk malam itu iaitu surah al-Qadr, ayat 1 hingga 5 yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami menurunkan (al-Quran) ini pada Lailatul Qadar, dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Lailatul Qadar itu? Lailatul Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut). Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar.” Sebaik-baik persiapan seperti menjahit atau membeli baju atau langsir dan perhiasan rumah lain disiapkan sebelum Ramadan lagi. Membuat kuih dan sebagainya boleh dilakukan pada siang (pada hujung minggu bagi yang bekerja). Perkara ini kerana kita mengikut resipi yang tidak perlu merasa (sekiranya puasa) atau dimanfaatkan waktu ‘cuti’ yang diberikan Allah. Adanya pelbagai jenis kuih yang dijual juga menyenangkan kaum wanita. Tidak kurang juga pentingnya pertolongan suami. Suami boleh menolong dalam persediaan berbuka, bersahur atau berkemas selepas berbuka dan bersahur. Begitu juga menjaga anak-anak bagi meringankan beban isteri supaya tidak terlalu penat untuk melakukan ibadat lain seperti solat Tarawih dan qiamullail.Pendek kata sebagai Muslim cemerlang, menjaga dan mengatur masa dengan bijaksana sangat penting. Semua lelaki dan perempuan diberi peluang yang sama untuk menanam benih di dunia ini untuk dinikmati di akhirat kelak. Ini dinyatakan Allah dalam surah at-Taubah, ayat 71 dan 72 yang bermaksud: “Dan orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sesetengahnya menjadi penolong bagi sesetengah yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang berbuat kejahatan dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. Allah menjanjikan orang yang beriman, lelaki dan perempuan, (akan beroleh) syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; mereka kekal dalamnya dan beroleh tempat yang baik dalam "Syurga Adn" serta keredaan dari Allah yang lebih besar kemuliaannya; (balasan) yang demikian itulah kejayaan yang besar.”PENULIS ialah seorang Eksekutif Telekom Malaysia Sarawak dan boleh dihubungi melalui e-mel, wanitajim0@yahoo.com. Jawapan terhadap permasalahan boleh dibaca di www.wanitajimceria.blogspot.com.