Laman Rabu - WADAH WANITA ISLAM

Thursday, January 29, 2004

Kajian teliti kupas masalah penjenayah

Oleh Nor Affizar Ibrahim

KEJADIAN rogol dan pembunuhan kejam terhadap dua kanak-kanak sekolah tidak berdosa dalam tempoh tiga minggu pertama 2004, mengundang banyak persoalan dan tanda tanya.
Masyarakat marah dan bingung memikirkan bagaimana orang dewasa sanggup bertindak sebegitu kejam terhadap mereka yang jauh lemah dan tidak berupaya. Rentetan peristiwa sedih itu banyak reaksi umum menuntut agar penjenayah terbabit dikenakan hukuman berat setimpal perbuatan kejamnya. Ketua Wanita Jamaah Islah Malaysia (JIM), Dr Harlina Harliza Siraj, berkata reaksi marah masyarakat umum yang meluap-luap jelas menunjukkan, satu pendekatan jauh lebih berkesan dan mantap daripada sistem sedia ada diperlukan bagi membendung gejala itu daripada terus menghantui kehidupan rakyat di Malaysia. Bagaimanapun, beliau berkata, wanita JIM berpendapat hukuman berat saja belum cukup untuk membendung masalah itu. Ini berikutan, penjenayah terbabit adalah di kalangan mereka yang mempunyai rekod jenayah atau masalah sosial seperti ketagihan dadah yang kronik. “Golongan yang sering dianggap ‘sampah masyarakat’ itu sebenarnya mereka yang tidak berjaya menangani kemelut serta konflik kehidupan yang semakin mencabar hari ini. Selain itu, kita terpaksa menerima hakikat bahawa sebahagian besar mereka yang terbabit dalam keganasan dan jenayah adalah lelaki,” katanya, ketika ditemui di Kompleks JIM di Taman Melawati, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Dr Harlina menegaskan, sudah tiba masanya masyarakat menumpukan persoalan mengapa lelaki sering menggunakan kekerasan dan keganasan yang menderitakan orang lain; wanita serta kanak-kanak. Katanya, bagi mencapai matlamat itu wanita JIM menyarankan diadakan kajian saintifik terhadap penjenayah rogol dan bunuh untuk mengetahui dengan lebih terperinci mengenai personaliti, sikap, pengetahuan dan mekanisme kawalan diri dalam mengatasi masalah. Begitu juga latar belakang keluarga dan rumah tangga serta hubungan sosial mereka juga amat perlu dikaji, untuk menggambarkan faktor yang mencetuskan tindakan kejam. Selain itu, Dr Harlina turut menyarankan masyarakat dididik dengan fakta tepat mengenai kaitan antara jenayah rogol dengan tingkah laku dan hubungan silang gender yang menjadi norma masyarakat. “Kaedah pencegahan jenayah seks juga harus memberikan fokus kepada usaha mengubah beberapa sikap dan tingkah laku lelaki dan wanita dalam masyarakat. Hubungan antara gender haruslah berlandaskan sifat saling menghormati, melengkapi dan membantu. “Di samping itu, masyarakat mesti mengikis tanggapan bahawa lelaki mesti sentiasa menunjukkan dominasi terhadap wanita dan sering kali diterjemahkan dalam tingkah laku bercirikan keganasan. Tanggapan bahawa wanita mestilah sentiasa menepati ciri-ciri kewanitaan yang menawan dan menghasilkan satu daya tarikan seks atau sering dianggap sebagai objek seks juga perlu dikikis,” katanya. Beliau turut menekankan bahawa analogi wanita sebagai pakaian untuk lelaki dan sebaliknya (surah al-Baqarah ayat 187) atau sebagai tempat bercucuk tanam (surah al-Baqarah ayat 223) haruslah dilihat dalam konteks kebijaksanaan Allah dalam menerangkan sikap dan tanggapan yang kemudiannya, menghasilkan satu hubungan intim, penuh kasih sayang dan lengkap melengkapi. “Wanita harus mampu melihat diri mereka sebagai pasangan hidup lelaki yang sepatutnya berperanan memastikan kesejahteraan hidup satu sama lain. Malahan, tidak keterlaluan jika konteks berpasangan itu dilihat dari sudut pandangan yang lebih jauh dan meluas, iaitu menjadi rakan kongsi dalam semua urusan kehidupan. Bukan hanya dalam rumah tangga tetapi juga dalam organisasi dan masyarakat,” katanya. Dr Harlina berkata, bagi mewujudkan masyarakat sejahtera, pendekatan gerakan maskulinisme yang dibangkitkan pergerakan Evolusi Maskulinis New Zealand menerusi laman web Menz.org.nz juga seharusnya diberi perhatian. Pergerakan itu mendefinisikan maskulinisme sebagai; * Rangkai kerja mesra lelaki bagi memahami permasalahan sosial. * Kepercayaan bahawa persamaan taraf antara jantina memerlukan pengiktirafan dan penilaian semula mengenai prejudis dan diskriminasi terhadap lelaki dan wanita. * Perspektif yang bersifat melengkapi dan bukannya bertentangan dengan feminisme. Menjelaskan lebih lanjut gerakan ‘maskulinisme’ itu, beliau turut memetik kenyataan buku karya Kamla Bhasin, aktivis dari New Delhi yang bertajuk, “Exploring Masculinity’. Antara lain, buku itu memberikan satu perspektif yang wajar diambilkira masyarakat, apabila membincangkan persoalan mengenai gejala itu. “Di dalam buku itu, Kamla menulis bahawa lelaki harus memahami bagaimana kelelakian (masculinity) berhubung kait dengan tingkah laku berisiko terutamanya dalam konteks HIV/AIDS, penagihan dadah dan alkohol serta aktiviti berisiko tinggi. Aktiviti itu bukan hanya membahayakan lelaki yang terbabit malah, ramai lagi terutama wanita,” katanya. Dr Harlina berkata, di dalam buku itu juga menyatakan, walaupun kita sering memperkatakan mengenai wanita yang sering menjadi mangsa keganasan lelaki, kita belum memberikan perhatian sewajarnya kepada sebab musabab mengapa lelaki sering kali menjadi agresif. Ini merangkumi, keganasan yang selalu tercetus di stadium bola sepak atau di penjuru jalan, membunuh dan membakar harta benda begitu saja, sanggup memperkosa wanita kanak-kanak perempuan dan wanita, mengasari isteri serta sebagainya. Katanya, di dalam buku itu, Kamla turut berkata bagaimana pentingnya kita meneliti kesan patriaki (patriachy) terhadap wanita, begitulah juga pentingnya kita mengkaji kesan maskuliniti itu terhadap minda, imaginasi, psikik (psyches) dan tingkah laku lelaki. “Pandangan aktivisme itu harus diberi perhatian. Maskuliniti adalah imej cermin kepada feminiti. Dalam kita sama-sama membangun dan mengislahkan masyarakat, lelaki dan wanita semestinya mampu dan rela memikul tanggungjawab yang seimbang. “Kebanyakan permasalahan dan keruntuhan sosial dalam era globalisasi ini berpunca daripada kegagalan manusia mengatur urusan hidup di tengah kemelut arus deras pembangunan fizikal yang tidak diimbangi dengan peningkatan nilai murni insaniah,” kata Dr Harlina.

Wednesday, January 28, 2004

Pengorbanan Siti Hajar kemuncak ketakwaan

Oleh Prof Madya Maznah Daud
IBADAT korban yang dilakukan pada Hari Raya Haji atau Aidiladha dikaitkan dengan pengorbanan Nabi Ibrahim yang menerima perintah daripada Allah agar menyembelih anaknya, Ismail. Perintah yang begitu berat disambut oleh seorang ayah dan anaknya dengan hati yang tabah dan penuh kerelaan.
Di sebalik pengorbanan agung itu, kita tidak harus melupakan juga pengorbanan hebat seorang wanita, Siti Hajar. Siti Hajar adalah gundik puteri Mesir, yang dihadiahkan oleh Raja Mesir kepada Sarah, isteri Nabi Ibrahim. Siti Sarah kemudian mengahwinkan Hajar dengan suaminya kerana berasa dirinya terlalu tua dan tidak boleh beranak. Usianya ketika itu mencapai 70 tahun. Apabila Hajar mengandung, ditakdirkan sifat cemburu mula memberontak dalam Sarah.
Tiba saat Hajar melahirkan Ismail, perasaan cemburu itu semakin membara, sehingga dia bersumpah tidak mahu tinggal serumah dengan madunya dan menuntut suaminya agar menjauhkan Hajar serta anaknya daripada pandangannya.
Pada suatu hari Nabi Ibrahim mengajak Hajar dan anaknya keluar. Mereka berjalan ke arah selatan, mendaki gunung-ganang dan menuruni lembah, serta melalui pelbagai kesukaran. Perjalanan itu berhenti di Makkah, di mana ketika itu adalah padang pasir kering kontang tanpa manusia, kecuali puak Badwi yang hidup berpindah-randah. Nabi Ibrahim kemudiannya meninggalkan Hajar bersama bayinya yang masih menyusu badan di kawasan gersang, dan meletakkan di sisi mereka satu bungkusan berisi kurma dan satu pundi berisi air. Nabi Ibrahim berpesan kepada Hajar supaya membuat tempat teduhan di situ. Selepas itu, baginda berpatah balik menuju ke arah mana yang dia datang tadi. Hajar terpinga-pinga. Beliau mengamati kesepian dan kesunyian di sekeliling tempat itu. Hatinya dibelit kehairanan. Mengapa mesti dia ditinggalkan sendirian bersama anaknya yang masih kecil? Hajar mengejar suaminya sambil memanggil-manggil dengan penuh keharuan: “Wahai suamiku! Ke mana kanda hendak pergi? Kenapa kanda tinggalkan kami di lembah sepi ini?” Hajar mengulang-ulangi kata itu sambil merayu-rayu meminta dikasihani agar mereka tidak ditinggalkan di situ.
Namun Nabi Ibrahim tidak menjawab. Baginda bimbang kalau perasaan belas kasihan baginda akan mengkhianati dirinya apabila berhadapan dengan ibu yang sedang meratap hiba atau dipatahkan oleh perasaan rahmat terhadap satu-satunya anak yang masih belum mengerti apa-apa. Apabila Nabi Ibrahim tiba pada hujung lembah, terdengar lagi Hajar bertanya dengan suara yang menyayat hati: “Wahai suamiku! Apakah Tuhan yang memerintahkan kamu untuk meninggalkan aku bersama anak kecilku ini di tempat yang sunyi ini?” Tanpa menoleh, Nabi Ibrahim menjawab tegas: “Ya, benar!”
Apabila mendengar jawapan itu Hajar terdiam. Beliau pasrah. Hajar berusaha menenangkan hatinya dengan berkata kepada dirinya sendiri: “Kalau begitu, tentulah Tuhan tidak akan mensia-siakan kami!” Ibrahim mengangkat kedua-dua tangannya ke langit sambil berdoa:
“Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku menempatkan dari keturunanku di lembah yang tiada mempunyai tanam-tanaman berdekatan dengan Rumah Suci Engkau. Wahai Tuhan kami! Ingatkanlah mereka supaya mengerjakan solat dan jadikanlah hati-hati sebahagian manusia tertarik kepada mereka, dan berilah mereka rezeki dari buah-buahan, moga-moga mereka bersyukur. “Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau mengetahui apa yang kami sembunyikan dan apa yang kami terang-terangkan, dan tiadalah tersembunyi kepada Tuhan sesuatu pun, baik yang di bumi atau yang di langit.” (Surah Ibrahim, ayat 37-38).
Selesai berdoa Ibrahim pun meneruskan perjalanannya kembali ke bumi Palestin. Tinggallah Hajar sendirian bersama bayinya, Ismail, yang menyerahkan diri dan kehidupan mereka sepenuhnya kepada Allah. Sambil menyusukan puteranya yang kecil itu, dia menatap wajahnya yang comel untuk menghiburkan hatinya. Beberapa ketika, dia seperti terlupa pada tragedi yang sedang dihadapinya serta keadaan sekelilingnya yang sungguh membahayakan.
Selepas bekalan yang ditinggalkan suaminya kehabisan, dengan pada masa sama jasmaninya juga tidak berupaya lagi mengeluarkan walau setitis susu bagi menghilangkan dahaga putera kesayangan, barulah Hajar keresahan. Tidak tahan mendengar jeritan anaknya, Hajar bingkas bangun mencari-cari air untuk minuman Ismail. Tidak dapat digambarkan betapa Hajar dicengkam kebimbangan melihat anaknya, sedangkan dalam tangannya tidak ada apa-apa untuk menyelamatkannya. Dalam keadaan gerun bercampur hiba, Hajar mula pergi jauh daripada anak itu, tergesa-gesa berlari menuju ke bukit yang paling hampir dengannya.
Beliau berdiri di kemuncak Bukit Sofa, meninjau-ninjau di sekitar lembahnya cuba mencari manusia atau suara mereka. Malangnya tiada apa-apa yang terdengar. Hajar kemudian turun dari Bukit Sofa menuju ke lembahnya seraya berlari-lari tanpa arah tujuan hingga sampai ke Bukit Marwah. Beliau mendakinya sambil melihat-lihat dari atas puncaknya. Namun tiada terlihat orang atau terdengar suaranya. Tiada apa-apapun kecuali sunyi senyap dan pandangan yang sungguh menggerunkan. Pun begitu, Hajar tidak berputus asa. Dia terus berlari beberapa kali berulang-alik antara Sofa dan Marwah sebanyak tujuh kali hingga kepenatan, lalu tersungkur ke bumi kerana tidak bermaya lagi. Tangisan anak dalam keadaan tercungap-cungap benar-benar menghiris hati dan merentap jantungnya. Ibu manakah yang sanggup melihat anak kesayangan menghadapi saat yang sungguh mencemaskan itu? Lalu, dikumpulkan segala kekuatan dalam dirinya, cuba merangkak mendapatkan bayinya yang ditinggalkan agak jauh tadi.
Seluruh alam sunyi sepi menyaksikan kehibaan hati seorang ibu dan seorang anak yang hampir disambar maut. Ketika itulah datang pertolongan daripada Allah. Bumi yang kering tandus tiba-tiba memancutkan air yang jernih lagi dingin. Serta merta semangatnya pulih, kekuatannya kembali bertenaga. Hajar menerpa ke arah pancutan air yang ajaib itu, menadahnya lalu menitikkannya ke mulut bayinya. Hajar kemudian membuat lubang untuk menakung air itu. Setiap kali dia mencedok air dari lubang takungan itu semakin deras air memancut keluar.
Demikian berlakunya mukjizat Ilahi yang menjadi sumber kehidupan seorang ibu dan anaknya yang kemudian mengundang manusia dan hidupan lain mendatangi lembah itu. Hajar, seorang wanita, ditakdirkan Allah menjadi orang yang merintis penempatan di sebuah kota suci yang penuh barakah, iaitu Makkah. Kota yang dipilih oleh Allah untuk dibangunkan Baitullah yang mulia. Kota, tempat lahir penghulu anbia dan mursalin, tumpuan seluruh Muslimin mengerjakan ibadat haji dan umrah sepanjang masa hingga ke hari hancurnya dunia. Kisah ini menjadi bukti Islam mengiktiraf kedudukan wanita yang memainkan peranan secara langsung dalam membangun tamadun umat.
# PENULIS adalah pensyarah bidang syariah di Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor. Sebarang pertanyaan boleh e-mel kepada wanitajim0@yahoo.com

Wednesday, January 21, 2004

Ibu bapa tidak wajar halang anak bernikah

Oleh Azlina Roszy Mohamad Ghaffar
FARAH, 24, (bukan nama sebenar) berada pada tahun akhir pengajiannya. Insya-Allah dalam sebulan dua lagi beliau akan menamatkan pengajian ijazahnya dalam bidang pengurusan perniagaan. Beliau lama bercinta dengan Azrul (bukan nama sebenar) yang juga menuntut di universiti yang sama dalam bidang kejuruteraan. Mereka yang tinggal di kampung sama, bercinta sejak di bangku sekolah lagi. Ibu bapa mereka juga mengetahui percintaan mereka dan masing-masing tidak menghalangnya.
Bagaimanapun, Farah dan Azrul hairan mengapa ibu bapa mereka sering menolak hasrat mereka untuk mendirikan rumah tangga. Pelbagai alasan diberikan seperti mereka masih terlalu muda, masih mentah, belum boleh berdikari lagi dan belum mempunyai kewangan tetap.
Oleh kerana mereka tidak mahu terus hanyut dalam dosa kerana sering bertemu dan berdua-duaan tanpa nikah, mereka mengambil keputusan untuk bernikah di selatan Thailand secara rahsia. Mereka walaupun bernikah, masih dalam dilema. Ini kerana selepas tamat pengajian mereka masih tinggal dengan ibu bapa masing-masing dan tidak dapat menjalani kehidupan seperti suami isteri. Ibu bapa juga mendesak agar mereka menunggu beberapa tahun lagi untuk berkahwin.
Alasannya bekerja dulu untuk mengumpul wang bagi menyara kehidupan. Farah tertekan dengan keadaan ini dan pernah bercadang untuk melarikan diri, tetapi dibantah oleh Azrul yang menasihatkannya agar bersabar. Mereka juga risau apabila memikirkan sekiranya mereka akan dinikahkan buat kali kedua. Pada masa yang sama mereka juga tidak berani untuk berterus terang kerana khuatir akan dipinggirkan oleh keluarga masing-masing.
Raudhatus Sakinah menerima banyak pertanyaan daripada remaja, terutama remaja di institusi pengajian tinggi mengenai hasrat masing-masing untuk bernikah bagi mengelakkan maksiat. Malah, ada yang pernah terlanjur beberapa kali akibat pergaulan bebas atau cinta yang terhalang. Adalah malang sekiranya remaja ini terus hanyut dalam arus percintaan berlandaskan hawa nafsu tanpa mendapat bimbingan daripada ibu bapa mereka. Lebih malang lagi sekiranya niat suci mereka untuk bernikah dihalang oleh ibu bapa dengan pelbagai alasan yang remeh.
Ibu bapa seharusnya boleh mengenali sekiranya si anak tadi bersungguh-sungguh atau tidak dalam permintaannya. Dan permintaan untuk bernikah bukanlah suatu permintaan yang boleh dianggap main-main atau gurauan. Tetapi ia melambangkan ketulusan hati dan kematangan fikiran. Tahap kematangan anak berbeza-beza, tetapi tidak sedikit mereka yang mempunyai kematangan fikiran dan mampu memikul tanggungjawab yang berat lantaran perkahwinan. Kehidupan zaman internet yang memberikan pelbagai kemudahan maklumat dan ilmu pengetahuan kepada manusia menjadikan seseorang itu terdedah kepada lebih banyak maklumat yang menambah tahap kematangan dan kebolehannya membuat keputusan.
Kadang-kadang ibu bapa kurang pasti terhadap kesungguhan anak yang dianggap mentah kerana masih pada peringkat awal pengajiannya. Oleh itu, perkara ini perlu dibawa berbincang dari hati ke hati dan bukannya menolak mentah-mentah permintaan anak. Pastikan anak mempunyai persediaan untuk mengharungi alam rumah tangga iaitu persediaan mental, emosi dan spiritual, di samping persediaan fizikal seperti keadaan kesihatan dan kewangan. Ibu bapa yang prihatin dengan kesejahteraan hidup anak, pasti akan memberikan bantuan terbaik agar mereka dapat mengharungi kehidupan ini dengan sebaiknya.
Bantuan yang diberi bukan setakat memastikan makanan, pakaian dan pelajarannya terjaga. Malah, dalam bentuk perkongsian pengalaman dan kesediaan untuk memahami jiwa anak-anak yang meningkat dewasa serta menunjukkan kematangan untuk memikul tanggungjawab. Sebagai ibu bapa bestari, berilah nasihat dan bimbingan berguna kepada anak agar berwaspada dalam pergaulannya dan menjauhi seks luar nikah. Ibu bapa mesti mempunyai rasa cemburu dan curiga seandainya anak terlalu bebas dalam percintaannya hingga boleh menyebabkan mereka terlanjur.
Jangan terlalu memberat-beratkan urusan yang tidak wajib hingga menyebabkan anak melihat perkahwinan itu terlalu sukar, tetapi berzina pula lebih mudah. Islam memandang mulia institusi perkahwinan kerana ia adalah tunjang kekuatan sesebuah masyarakat. Anjuran berkahwin boleh dilihat melalui firman-Nya bermaksud:
Dan kahwinkanlah orang yang sendirian di antara kamu, dan orang yang layak berkahwin dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan hamba-hamba sahayamu yang perempuan. Sekiranya mereka miskin, Allah akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya. Dan Allah Maha Luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui.(Surah an-Nur, ayat 32)
Rasulullah pernah bersabda maksudnya:
Wahai kumpulan anak-anak muda! Barang siapa antara kamu yang mampu berkahwin, maka hendaklah dia berkahwin! Kerana sesungguhnya perkahwinan itu menutup pemandangan dan memelihara kemaluan. Tetapi barang siapa yang tidak mampu, maka hendaklah dia berpuasa, sebab yang demikian itu akan menahan nafsu.(Hadis riwayat Jamaah).
Dr Abdullah Nasih Ulwan dalam karangannya yang masyhur iaitu Tarbiyyatul Aulad Fil Islam (Pendidikan Anak-anak Di dalam Islam) mengungkapkan bahawa perkahwinan itu adalah fitrah kemanusiaan, pemelihara maslahat kemasyarakatan dan penyucian hubungan antara manusia. Beliau menggariskan hikmah perkahwinan seperti berikut;
Pemeliharaan terhadap benih manusia.
Pemeliharaan terhadap keturunan dan nasab.
Keselamatan masyarakat daripada penyakit sosial dan moral.
Keselamatan masyarakat daripada penyakit yang menular akibat zina.
Ketenteraman jiwa, naluri dan akal fikiran.
Membangunkan kerjasama suami isteri dalam pembangunan keluarga dan pendidikan anak-anak.
Menyuburkan perasaan belas kasihan ibu bapa.
Bagi pasangan muda yang dilamun cinta, perkahwinan berupaya mententeramkan jiwa yang bergelora dan memberikan ketenangan dalam menuntut ilmu. Tidak keterlaluan kalau dikatakan ramai yang berjaya dalam pengajian masing-masing meskipun berkahwin pada usia muda. Ini adalah janji Allah bagi mereka yang mematuhi syariat-Nya seperti dalam firman-Nya bermaksud:
Dan antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar ada tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.(Surah ar-Rum, ayat 21)
Sabda Rasulullah bermaksud:
Apabila datang (melamar) kepadamu orang yang kamu sukai akhlak dan agamanya maka kahwinilah dia. Kalau tidak engkau perbuat demikian, akan terjadi fitnah di bumi dan kerosakan yang luas.(Hadis riwayat Tarmizi, Ibnu Majah dan Hakim).
Hadis ini jelas mengingatkan ibu bapa terhadap tanggungjawab untuk mengahwinkan anak mereka sama ada lelaki atau perempuan apabila sampai masanya. Ini untuk mengelakkan bencana maksiat zina yang lebih dahsyat lagi.
PENULIS adalah pelajar sarjana dalam bidang psikologi mengalu-alukan e-mel remaja bermasalah. Sila hubungi raudhatus_sakinah@yahoo.com

Wednesday, January 14, 2004

Lima komponen diri penentu tumpuan maksimum

Oleh Siti Aishah Mahamad
TUMPUAN sangat penting dalam kehidupan, sama ada ketika solat, belajar, bekerja, beribadat atau bersukan. Sewaktu solat, tumpuan ialah khusyuk. Kita maklum Allah menjanjikan pelbagai kelebihan bagi orang yang khusyuk ketika solat. Dalam sukan pula, kita sering mendapati juara kecundang di gelanggang disebabkan hilang tumpuan ketika pertandingan. Tumpuan sangat penting dalam proses pembelajaran.
Saban tahun kita membaca dalam akhbar cerita kejayaan pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan. Kebanyakan mereka menyatakan bahawa faktor utama mereka lulus cemerlang kerana memberi sepenuh tumpuan ketika guru mengajar.
Tumpuan yang dimaksudkan di sini ialah semua komponen diri iaitu tumpuan jasad, hati, akal, emosi dan roh. Dalam bilik kuliah, tumpuan jasad dimulakan dengan pemilihan tempat duduk yang membolehkan seseorang pelajar mendapat tumpuan maksimum. Tempat duduk terbaik ialah di bahagian mudah dilihat pensyarah dan pelajar senang mendengarnya. Ini disebabkan tumpuan jasad utama ialah tumpuan penglihatan dan pendengaran supaya segala nasihat, panduan dan pelajaran yang disampaikan oleh pensyarah dapat dicerap sepenuhnya.
Tumpuan hati pula perlu dimulakan dengan azam belajar bersungguh-sungguh dan berjaya sebagai pelajar cemerlang. Menghadiri program motivasi, begitu juga membaca cerita kejayaan ahli sains adalah antara cara menumpukan hati terhadap kegiatan berkaitan ilmu pengetahuan. Dalam kelas, keinginan hati perlu dikawal supaya kita hanya memberikan perhatian kepada aktiviti pembelajaran dan hati tidak menyimpang kepada perkara lain yang tiada kaitan dengan ilmu.
Antara cara melakukan tumpuan emosi pula ialah menanamkan tekad untuk berjaya bagi membalas jasa dan memenuhi harapan ibu bapa. Tekad juga termasuk ingin menyumbang kepada agama, negara dan ummah. Pada masa sama, pelajar hendaklah mengawal emosi negatif yang mungkin merencatkan motivasi seperti perasaan tidak sukakan pensyarah, tidak suka sistem atau peraturan universiti. Perkara remeh-temeh ini wujud di mana-mana dan jangan dibiarkan menjejaskan prestasi.
Tumpuan akal pula bermaksud fokus sepenuhnya bagi memahami pelajaran, menyelesaikan soalan latihan, menyiapkan projek, tugasan dan sebagainya. Penumpuan akan menjadikan akal kita kuat. Untuk melakukan penumpuan akal, pelajar hendaklah memberikan sepenuh perhatian kepada pengajaran pensyarah sama ada dalam dewan kuliah atau makmal. Ini bermaksud pelajar hendaklah membaca, mendengar, mencatat dan berfikir dengan penuh minat setiap unit ilmu yang disampaikan pensyarah. Selepas itu, pelajar hendaklah membuat latihan, tugasan, dan sebarang kerja berkaitan dengan topik yang baru diajar itu segera. Kelewatan melakukan kegiatan pengukuhan ini akan mengurangkan kualiti hasilnya. Ini kerana penangguhan boleh menyebabkan kurang motivasi dan kurang daya ingatan. Pelajar perlu mengawal akalnya daripada memikirkan unsur negatif dan kurang utama kerana ini boleh mengurangkan kekuatan dan kualiti pemikiran.
Pembelajaran adalah kegiatan utama pelajar. Kegiatan lain seperti beribadah, bersukan, berekreasi dan sebagainya hendaklah dilakukan untuk menguat atau menyokong aktiviti pembelajaran atau sebagai aktiviti selingan saja. Jangan sekali-kali melakukan kegiatan ini hingga menjejaskan pembelajaran. Contohnya, kegiatan sukan hendaklah dilakukan untuk menyihatkan dan mencergaskan badan. Kita tidak sepatutnya bersukan hingga meninggalkan kelas atau menyebabkan badan terlalu letih. Jika ini berlaku pelajar mungkin tidak dapat memberikan tumpuan kepada pelajaran atau mengulang kaji pelajaran.
Tumpuan roh adalah kemuncak segala tumpuan. Segala ibadat fardu dan sunat yang menjadi amalan orang bertakwa seperti solat, puasa, zikir, membaca al-Quran dan segala aktiviti kebajikan adalah amalan yang mendekatkan diri pelajar dengan Allah. Ia juga dapat menambah kualiti kemanusiaan seseorang. Kegiatan ini akan menguatkan iman, memberikan kesejahteraan hati serta akal dan ketenangan emosi. Juga, insya-Allah segala amalan ini akan memberikan kekuatan dan kesabaran kepada pelajar dalam menghadapi pelbagai dugaan dalam hidup dan cabaran sebagai pelajar remaja.
PENULIS adalah pengetua sekolah dan boleh dihubungi melalui wanitajim0@yahoo.com

Wednesday, January 07, 2004

Bercerita kisah al-Quran bantu bentuk watak anak

Oleh Rosnah Ahmad
SETIAP kali sebelum tidur terngiang-ngiang suara dan terbayang-bayang mimik muka arwah emak bercerita kepada kami lima beradik. Kami berebut-rebut untuk duduk paling rapat dengan emak untuk mendengar kisah dari al-Quran, cerita rakyat yang sarat dengan teladan dan kesusahan hidup emak ketika penjajahan Jepun di Tanah Melayu. Kami adik beradik tidak jemu-jemu mendengarnya walaupun berkali-kali ceritanya diulang. Inilah kegiatan yang kami sukai pada musim tengkujuh apabila tidak dapat bermain di luar rumah. Saat itu mendamaikan jiwa dan masih menenangkan perasaan saya apabila mengenangkan kembali nostalgia itu.
Kini, tradisi ini diteruskan kepada anak saya yang berusia lapan, tujuh dan satu tahun. Mata mereka akan bersinar kegembiraan dan kadang-kadang dahi berkerut kerana cuba memahami apa yang diceritakan. Soalan mereka banyak sekali. Adik kecil yang baru berusia setahun juga seperti mengerti dan sesekali cuba bertanya dengan mengeluarkan bunyi yang belum difahami. Sangat susah untuk berhenti daripada bercerita kerana permintaan anak banyak sekali. Ia kadang-kadang agak meletihkan, tetapi kegembiraan anak dan ucapan sayang serta terima kasih daripada mereka selepas selesai bercerita cukup menghiburkan.
Kanak-kanak dan cerita bagaikan tidak boleh dipisahkan.
Peranan cerita adalah besar dalam proses pendidikan sebuah generasi. Cerita dapat membantu kanak-kanak memperkuatkan imaginasi, meningkatkan pengalaman, mengembangkan penguasaan bahasa serta memberikan pelajaran budi pekerti dan nilai murni melalui peristiwa yang diungkap dalamnya.
Ramai ibu bapa merungut apabila anak seperti tidak mengendahkan kata-kata apabila cuba memberi nasihat atau mendisiplinkan mereka dengan akhlak mulia. Mereka kadang kala tidak menurut kata ibu bapa bukan kerana degil tetapi tidak faham nasihat atau arahan yang diberikan. Contohnya, kanak-kanak berusia lima tahun diberi nasihat supaya jangan menderhaka kepada ibu bapa kerana perbuatan ini dimurkai Allah dan berdosa. Perkataan menderhaka mungkin biasa bagi kita, tetapi ia adalah baru dan susah untuk mereka fahami.
Cara paling berkesan menerangkan maksud menderhaka adalah dengan bercerita. Contohnya, kisah Si Tanggang yang derhaka kepada ibunya. Anak akan lebih mudah memahami sesuatu perkataan apabila mereka dapat mengaitkannya dengan cerita yang disampai atau dibacakan kepada mereka. Aktiviti bercerita juga dapat menyelesaikan banyak masalah emosi anak. Contohnya, apabila menunggu kehadiran adik baru dalam keluarga, anak biasanya mempunyai perasaan yang bercampur baur, gembira serta sedikit gusar dan cemburu. Mereka khuatir perhatian dan kasih sayang ibu bapa akan beralih kepada adik baru.
Buku cerita mengenai adik baru akan membuka ruang kepada anak untuk bertanya apa saja persoalan yang bermain pada fikiran mereka. Ini dapat menolong meyakin dan menyediakan mereka dari segi emosi untuk menyambut kehadiran adik baru.
Zaman kian berubah, kini aktiviti bercerita banyak diambil alih oleh cikgu sekolah, tadika, pengasuh taska, television dan komputer. Apa pun ibu bapa harus memupuk minat dan mencari masa untuk bercerita kepada anak. Bercerita adalah aktiviti masa berkualiti yang sangat berkesan untuk mendekati anak dalam kesibukan ibu bapa sekarang. Secara tidak langsung anak akan merasakan mereka diberi perhatian dan dihargai.
Ada juga ibu bapa yang merasakan apabila anak pandai membaca, kerja mereka semakin mudah kerana mereka mampu membaca sendiri cerita kegemaran masing-masing. Mereka tidak perlu lagi bercerita. Pakar pendidikan mengatakan bahawa ibu bapa masih perlu membacakan cerita kepada kanak-kanak di bawah umur 12 tahun. Kanak-kanak pada usia ini masih memerlukan panduan daripada ibu bapa untuk menerangkan maksud perkataan yang tidak mereka fahami dan untuk memperjelaskan mesej sebenar di sebalik cerita yang dibaca.
Islam sangat menggalakkan aktiviti bercerita. Al-Quran mengandungi banyak kisah. Manusia memperoleh pelajaran berharga daripadanya. Keunggulan al-Quran terbukti mendidik manusia dari generasi ke generasi dan tiada tandingannya. Kita diajak bercerita mengenai kisah nyata yang diceritakan Allah dalam al-Quran seperti firman-Nya yang bermaksud:
Maka ceritakanlah kisah-kisah itu agar mereka berfikir.(Surah al-Araf, ayat 176)
Kisah Al-Quran sentiasa mengajar bahawa kebenaran akan melenyapkan kebatilan. Ini dapat memberi kesan dalam diri anak bahawa orang yang suka membuat dosa dan maksiat akan kecundang akhirnya. Perasaan ini penting untuk membenihkan keimanan dan akhlak mulia anak sejak kecil lagi. Keagungan dan kebesaran Allah boleh disampaikan melalui cerita mengenai kebaikan dan keindahan makhluk ciptaan Allah seperti haiwan, serangga dan tumbuh-tumbuhan sesuai dengan fitrah anak-anak yang sukakan haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Kisah Rasulullah, nabi, sahabat dan pahlawan Islam juga akan dapat membantu anak-anak mencintai dan mencontohi sifat terpuji mereka.
Ibu bapa juga boleh mereka sendiri watak yang boleh disesuaikan dengan mesej yang hendak disampaikan kepada anak-anak. Anak-anak saya sudah mengenali watak Abu yang saya cipta. Ada banyak cerita mengenai Abu seperti Abu balik kampung dan Abu dapat adik baru. Cerita ini saya reka secara spontan ketika cuba menangani masalah anak-anak. Ia banyak mengandungi unsur nasihat dan humor yang disesuaikan dengan mesej dan nasihat yang hendak disampaikan.
Cara ini lebih berkesan kerana ego anak-anak tidak menjadi penghalang mereka menerima nasihat berbanding menasihati mereka secara terus. Banyak teknik bercerita yang boleh digunakan, termasuk bercerita secara lisan, dengan bantuan buku cerita, kad bergambar dan patung. Carilah cerita yang akan memberi manfaat dan mengandungi unsur humor yang dapat menarik perhatian anak-anak.
Apabila bercerita secara lisan, gunakan nada suara dan mimik muka yang sesuai supaya menarik perhatian, mudah difahami dan menyentuh perasaan. Elakkan cerita yang terlampau susah untuk difahami dan banyak mengandungi penafsiran yang belum mampu digarap oleh anak-anak. Jadikanlah bercerita satu aktiviti keluarga yang menarik dan disukai oleh mereka.
PENULIS adalah pengurus taman asuhan kanak-kanak dan boleh dihubungi melalui wanitajim0@yahoo.com

Thursday, January 01, 2004

Semangat perbaiki diri harungi cabaran

Oleh Ir Hjh. Endok Sempo Mohd. Tahir
....Sambungan semalam(31 Dec 03)
Muhasabah masyarakat Masyarakat sekampung kalau dibangunkan oleh keluarga yang bertakwa, akan jadilah masyarakat yang aman, makmur dan mendapat keampunan Allah. Bayangkan pada sekitar 1,500 tahun lalu, pemimpin menjadi payung, melindungi umat daripada panas dan hujan. Ulama menjadi obor, lampu penerang umat dunia akhirat. Dengan ilmu dan takwa, mereka membakar kejahilan, kemungkaran, maksiat, kezaliman dan kepalsuan dalam masyarakat.
Terang benderang kampung itu dengan iman, Islam, ilmu, kebaikan, kasih sayang, akhlak, ukhuwah dan perjuangan. Orang kaya jadi bank, pintu rumah mereka sentiasa terbuka untuk orang miskin, fakir, ibu tunggal, anak yatim, orang berhutang, musafir, susah dan kemalangan. Mereka berebut-rebut untuk menyimpan di bank Allah yakni di akhirat. Takutkan hari hisab dan neraka menyebabkan mereka tidak takut membuang kekayaan di dunia. Mereka rindukan syurga Allah di akhirat. Allah berfirman, maksudnya:
Apabila penduduk satu kampung bertakwa, maka Allah akan bukakan berkat dari langit dan bumi.
Selain itu, kita tidak boleh berbangga dengan masyarakat bijak pandai saja. Sebab realiti masyarakat cerdik pandai ini tidak seindah masyarakat orang soleh. Orang pandai saja tidak mampu tolong menolong, berkasih sayang dan merendah diri kepada orang bawah. Bahkan hari ini orang pandailah yang banyak membuat masalah. Mari kita lahirkan masyarakat pandai yang soleh dan musleh seperti masyarakat orang soleh zaman dulu.
Muhasabah organisasi Sejarah merakamkan peristiwa kemenangan Islam oleh tentera Allah apabila pasukannya bersembahyang malam, bersugi, luruskan saf, berkasih sayang dan sanggup berkhidmat pada semua manusia. Itulah simbol takwa. Maka Allahlah pelindung mereka. Pada awal tahun 2004 ini, semaklah organisasi kita. Apakah sumbangan kita sudah maksimum? Pada tahap mana perpaduan dan kasih sayang kita? Teruskan baiki diri, kemaskan keluarga, kampung, ekonomi, budaya, klinik serta hospital, sekolah, restoran, pasar raya dan kegiatan organisasi lain. Pastikan semuanya berada pada kualiti memuaskan dan dibantu Allah. Moga-moga etika ini akan menjadi alternatif kepada segala kebuntuan yang melanda dunia.
Begitulah sepatutnya kita membetulkan diri secara Islam untuk tempoh setahun yang berlalu. Jika dalam semua bidang itu kita berjaya dengan cemerlang, teruskan. Tetapi jika nasib masih malang, jangan diulang. Yang cacat ditampal, yang baik diteruskan. Yang belum wujud difikirkan untuk tindakan. Jika semua warga negara berfikiran begini, setiap awal tahun masihi dan hijrah melakukan muhasabah diri, yang rosak dibetulkan, yang berlubang ditampal, yang kurang ditambah, yang baik diteruskan, bahkan lebih dibaiki lagi. Insya-Allah, dari tahun ke tahun, dari dekad ke dekad dan seterusnya kita akan mendapat natijah yang kita idamkan. Bangsa dan negara akan maju atas nama Islam. Masyarakatnya mempunyai moral tinggi, kerana Allah disembah, saling berkasih sayang, bekerja sama, berakhlak mulia, dan berbudi tinggi.
Orang bukan Islam pun jatuh hati kerana layanan yang menarik hati. Maka akan berlakulah tamadun jasmani, maknawi dan rohani pada bangsa kita. Inilah semangat tahun baru. Semangat memeriksa diri dan membaiki diri, keluarga, masyarakat, organisasi, negeri dan negara. Ia tidak sama sekali menjadikan pesta, keramaian, perayaan dan berfoya-foya sebagai agenda. Sebab bangsa yang kuat bukan disibukkan oleh program suka ria yang melalaikan. Hanya bangsa yang lemah dan menuju kejatuhan yang ada masa untuk bersuka-suka hanyut dalam hedonisme.
PENULIS ialah seorang Jurutera Professional dan boleh dihubungi di emel wanitajim0@yahoo.com