Laman Rabu - WADAH WANITA ISLAM

Wednesday, December 31, 2003

Ambang tahun baru paling sesuai bermuhasabah diri

Oleh Endok Sempo Tahir

ALLAH berfirman: “Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang yang beriman dan beramal soleh. Dan yang nasihat menasihati terhadap kebenaran dan yang ingat-mengingat akan kesabaran.” – (Surah al-Ashr). Masa membawa kita bertemu 1 Januari 2004, esok. Masa berjalan tidak pernah berehat. Banyak kisah yang berakhir, tetapi masa belum lagi mahu berhenti. Ambil perhatian dengan masa kerana ia menjadi penentu dan kayu ukur perjalanan hidup kita. Allah sendiri bersumpah dengan masa! Kini tahun baru masihi 2004 tiba. Masa ini memberitahu bahawa suatu hari nanti, seperti yang sudah ditetapkan oleh Allah, masa untuk kita sudah habis. Hidup ini ada penghujungnya. Perjalanan kita pasti sampai ke destinasi. Masa yang jadi penentunya. Jika begitu pada permulaan awal tahun baru, mari kita lihat ke belakang dan ke depan. Masa yang dihabiskan dan akan dihabiskan. Apakah sudah memenuhi maksud serta tujuan hidup dan mati kita nanti. Untuk apa kita minta ditambah lagi umur, kalau ia merugikan? Mari kita lakukan ‘bedah siasat’ atau muhasabah sebenar-benarnya agar ditemukan kebenaran dan kesabaran yang Allah maksudkan dalam surah al-Ashr. Mudah-mudahan kita selamat daripada kaum yang menyambut awal tahun hanya dengan pesta melalaikan dan keramaian yang merugikan. Muhasabah bukannya boleh dibuat setahun sekali, bahkan setiap hari. Namun menjelang 2004, alangkah bagusnya kalau kita jadualkan muhasabah kepada kategori harian, mingguan, bulanan, tahunan, dekad dan abad. Perkara yang dimuhasabahkan pula boleh dibahagikan kepada peringkat peribadi, keluarga, organisasi, masyarakat, negeri, negara dan dunia. Satu tahun ada 12 bulan. Elok setiap 12 bulan sekali kita melakukan muhasabah pada diri, keluarga, organisasi, bangsa dan negara. Ini supaya himpunan muhasabah harian, mingguan dan bulanan itu dapat dirumuskan pencapaian secara menyeluruh. Yang gagal, perlu dikaji sebabnya, kemudian dibaiki. Manakala kejayaan itu hendaklah terus disuburkan. Diharapkan dengan sistem penilaian begini, umat Islam khususnya tidak lagi jadi umat yang ketinggalan dalam bidang pendidikan, politik, ekonomi, sosial dan sebagainya. Mereka bahkan boleh menempah sejarah gemilang global menjadi empayar kemuliaan dan ternama menaungi Timur dan Barat. Diterima di dunia dan di akhirat. Sungguh umat Islam perlu berubah. Elakkan cara hidup yang sia-sia dan tidak bermanfaat. Jadikan awal tahun untuk muhasabah bukan bagi keramaian membazir dan berpesta yang melalaikan lagi mengandungi unsur dosa. · Muhasabah peribadi. Peribadi berkualiti, seorang yang boleh mengalahkan 10 orang dengan izin Allah (iaitu dalam bidang ekonomi, pendidikan dan semua aspek) hanya dapat dibina oleh ajaran wahyu. Peribadi ini yang fikiran dan jiwanya berteraskan tauhid. Kita hendaklah sentiasa berasa kehadiran Allah. Otak kita hendaklah sentiasa memikirkan untuk menjunjung kalimah tayibah dan wawasan Rasulullah supaya ia terlaksana dalam kehidupan ini. Ini kerana ia dapat menghasilkan patriotisme sejati. Patriotisme itu berteraskan cinta kepada Allah, bukan cinta kepada duit, perempuan, lelaki, dunia dan peribadi. Tanyalah diri, sejauh mana pencapaian cinta kepada Allah itu sudah dilaksanakan. Semaklah Rukun Iman dan Rukun Islam, setakat mana dipelajari, difahami, dihayati dan diperjuangkan. · Muhasabah keluarga. Sebuah keluarga yang memiliki pemangkin kuat yang dibangunkan oleh peribadi agung akan menjadi keluarga cemerlang. Suami amat bertanggungjawab, adil dan empati. Isteri sungguh setia, taat dan cerdik. Anak bakal meneruskan perjuangan dan menjadi benteng keluarga. Keluarga begini boleh menjadikan kasih sayang dan bertolak ansur budaya dan cara hidup mereka. Begitu juga dengan hidup berjiran yang saling menghormati, bantu membantu, berlapang dada, bersikap pemaaf dan sangat mengambil berat hak kejiranan. Andainya keluarga besar kita sudah berada pada kualiti ini, sesungguhnya orang Islam akan diserahkan kembali kekuasaan dunia oleh Allah. Tetapi kalau keluarga masih porak peranda, segeralah diusahakan untuk dibaik pulih. – Bersambung. PENULIS boleh dihubungi pada e-mel wanitajim0@yahoo.com

Wednesday, December 24, 2003

Amalan isteri digantung jika mencela suami

Oleh Noraishah Mohd Ali

“KAK Yati, bukannya tak nak pakai tudung lagi, teringin juga nak bertudung, tapi suami tak benarkan, sebab tak nampak cantik dan bergaya.” Alasan itu kerap didengari bagi wanita berkahwin mengapa mereka tidak bertudung, menutup aurat. Isteri baik sememangnya perlu patuh dan mentaati suami. Bagaimanapun, ketaatan isteri terhadap suami tidak dalam semua perkara. Memakai tudung menutup aurat adalah perintah Allah. Isteri seharusnya mengutamakan perintah Allah sebelum mematuhi perintah suaminya. Firman Allah bermaksud: “Hendaklah mereka itu (kaum wanita) melabuhkan tudungnya sampai ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya.” (Surah an-Nur, ayat 31) Setiap wanita Islam wajib menutup kepalanya dengan tudung dan belahan dada, termasuk leher supaya tempat yang boleh membawa fitnah itu tidak terbuka yang mungkin boleh dilihat oleh lelaki bukan mahram. Sekiranya perkara yang diperintahkan oleh suami itu bertentangan dengan hukum Allah dan boleh membawa dosa, maka isteri dibenarkan membantah atau tidak mematuhi arahan itu. Demikianlah dalam perkara memakai tudung, isteri tidak seharusnya mematuhi arahan suami yang melarangnya memakai tudung. Rasulullah saw bersabda bermaksud: “Tidak boleh mentaati makhluk dalam perkara menderhakai Allah.” (Hadis riwayat Ahmad) Ketaatan isteri terhadap suami ialah kepatuhan yang dituntut Islam. Suami, di samping bertanggungjawab memberikan nafkah lahir dan batin, bertanggungjawab membimbing isterinya ke jalan benar. Sekiranya tidak mampu untuk mengajarnya, hendaklah dibenarkan isteri keluar rumah untuk menuntut ilmu. Oleh itu, isteri harus setia kepada suami yang soleh dan sedia mengikuti segala perintahnya. Firman Allah bermaksud: “Wanita yang solehah ialah yang taat kepada Allah, lagi memelihara diri (tidak berlaku curang serta memelihara rahsia dan harta suaminya) di belakang suaminya, oleh kerana Allah telah memelihara mereka.” (Surah an-Nisaa’, ayat 34) Isteri yang tidak patuh kepada nasihat suami, malah mencela dan tidak menghargai suaminya, di samping tidak mendapat keberkatan di dunia, akan menerima pembalasan di akhirat kelak. Saidina Umar berkata bahawa Rasulullah bersabda: “Wanita yang berkata kepada suaminya bahawa dia tidak melihat kebaikan yang ada pada suaminya, maka Allah menggantungkan amalan baiknya selama tujuh puluh tahun, walaupun dia berpuasa sepanjang hari dan beribadah pada malam hari.” (Hadis riwayat Ibnu Majah dan Nasa’i) Sabda Rasulullah lagi bermaksud: “Aku melihat dalam neraka, ramai antara ahlinya adalah wanita. Maka seorang wanita bertanya: Mengapa ya Rasulullah? Rasulullah menjawab: Mereka banyak bersumpah dan tidak berterima kasih kepada suaminya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim) Tanggungjawab wanita sebagai hamba Allah adalah dengan melaksanakan ketaatan kepada ibu bapanya sebelum berumah tangga. Apabila berumah tangga ketaatan paling utama selepas Allah dan rasul-Nya ialah kepada suami. Isteri adalah orang paling hampir yang boleh memberikan ketenangan dan kedamaian dalam jiwa suaminya. Allah menjanjikan balasan paling istimewa kepada isteri solehah dan taat kepada suaminya. Memuliakan suami balasannya adalah syurga. Sabda Rasulullah bermaksud: “Tiap-tiap wanita yang menolong suaminya dalam urusan agama, maka Allah memasukkan dia ke syurga lebih daripada suaminya, kerana dia memuliakan suaminya di dunia, maka mendapat pakaian dan wangi-wangian syurga untuk turun ke mahligai suaminya dan mengadapnya.” (Hadis riwayat Ibnu Mas’ud) Sekiranya dikaji kisah isteri Rasulullah dan sahabat, selain mengurus rumah tangga dan anak, mereka membantu dalam meninggikan syiar Islam. Ini adalah hasil iman mendalam serta didikan yang berlandaskan al-Quran dan sunnah. Cuba hayati kisah Ummu Sulaim atau nama sebenarnya Ramlah Mulaikah, iaitu isteri kepada Abu Talhah. Ketika Abu Talhah melamar Ummu Sulaim, beliau belum memeluk Islam. Namun Ummu Sulaim sedia menerima pinangan Abu Talhah asalkan beliau mahu memeluk agama Islam. Ummu Sulaim berkata: “Aku sanggup berkahwin denganmu tanpa mahar berbentuk barang, tetapi kerana Islammu.” Ini berlainan dengan sesetengah wanita Islam hari ini yang berkata: “Tinggallah agama dan saudara kerana cinta, aku sanggup turutkan.” Mereka sanggup menukar agama Islam, semata-mata untuk mendapatkan cinta seorang lelaki bukan Muslim. Dalam medan perjuangan, Ummu Sulaim terkenal sebagai pembantu Mujahidin. Beliau mengurus makanan, menyediakan air serta mengubati mereka yang cedera parah. Hasil perkahwinan dengan Abu Talhah, mereka dikurniakan seorang putera yang diberi nama Umair. Abu Talhah sangat menyayangi anaknya itu. Pada suatu hari, ketika Abu Talhah tiada di rumah, Umair meninggal dunia. Ummu Sulaim menerima kenyataan itu dengan hati tabah. Ummu Sulaim kemudian dengan tenang menceritakan kejadian itu kepada Abu Talhah. Bagaimanapun, suaminya marah dan kecil hati. Dengan tenang, Ummu Sulaim berkata : “Wahai suamiku, bagaimana jika seorang meminjam sesuatu daripada orang lain, namun ketika pemiliknya ingin meminta kembali haknya itu, orang yang meminjam tadi menjadi marah?” Suaminya menjawab: “Sangat tidak wajar dia bersikap demikian.” Kemudian Ummu Sulaim memberitahu: “Anak kita itu adalah pinjaman belaka dan tiba saatnya Allah meminta agar dia dikembalikan.” Selepas mendengar ucapan Ummu Sulaim itu, maka Abu Talhah reda menerima ketentuan Allah. Begitulah contoh isteri yang sentiasa berbakti kepada suami serta taat kepada perintah Allah dan Rasulullah. Rumah tangga akan bahagia, jika suami isteri dan anak menjalankan perintah Allah. Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya lelaki dan perempuan Muslim, lelaki dan perempuan yang mukmin, lelaki dan perempuan yang tetap dalam ketaatannya, lelaki dan perempuan yang benar, lelaki dan perempuan yang sabar, lelaki dan perempuan yang khusyuk, lelaki dan perempuan yang bersedekah, lelaki dan perempuan yang berpuasa, lelaki dan perempuan yang memelihara kehormatannya, lelaki dan perempuan yang banyak menyebut nama Allah, Allah telah menyediakan untuk mereka ampunan dan pahala yang besar.” (Surah al-Ahzab, ayat 35) Sepuluh syarat dalam surah al-Ahzab ini jika dilaksanakan dalam kehidupan rumah tangga, insya-Allah akan diberikan keberkatan dan pahala besar oleh Allah. Rumah tangga bukan saja bahagia, malah dilimpahi dengan ketenangan, kasih sayang dan mendapat keredaan Allah. PENULIS ialah seorang guru berijazah dan boleh dihubungi melalui wanitajim0@yahoo.com

Wednesday, December 17, 2003

Sifat pemaaf beratkan timbangan amal

Oleh: Azlina Roszi Mohd Ghaffar

TAHUN ini adalah tahun ketiga Mariah tidak berhari raya di kampung. Bukan tidak rindu kepada kedamaian dan keheningan desa yang tenang daripada hiruk-pikuk kota, tetapi hatinya sakit dengan perbuatan Abang Long yang sengaja melambat-lambatkan urusan pembahagian harta pusaka seolah-olah ingin membolot semuanya. Sejak pemergian arwah ibu, 10 tahun dulu diikuti ayah enam tahun kemudian, Mariah dan adik beradik berasa Abang Long seperti terlalu mengikut telunjuk isteri dan mengetepikan mereka. Apabila disebut mengenai pembahagian tanah pusaka, pergaduhan pasti meletus dengan tuduh menuduh yang tidak berkesudahan. Namun dalam diam, rupanya Abang Long yang sudah bergelar haji sedang mendirikan rumah banglo di atas tanah pusaka itu. Berita terbaru yang diterima membuatkan hati Mariah marah. Beliau bercadang mengambil tindakan dengan mengemukakan saman terhadap abangnya. Kita masih meraikan bulan Syawal yang semakin menuju penghujung. Syawal yang diertikan sebagai bulan kemenangan, kemaafan dan kunjung mengunjung mengeratkan silaturahim sesama insan. Sesungguhnya Ramadan lalu yang penuh makrifat berjaya mengangkat darjat mereka yang berupaya menempuhinya ke peringkat ketakwaan. Maka, pertingkatkan lagi ciri-ciri ketakwaan pada bulan mulia ini dengan menyuburkan kasih sayang sesama insan melalui kemaafan dan keampunan. Sifat hasad dengki dan dendam kesumat adalah sifat keji yang tidak sesuai bagi Muslim. Sesungguhnya salah satu tanda Muslim yang hakiki ialah kesucian jiwanya daripada sifat khianat dan hasad dengki serta tipu daya. Daripada Anas bin Malik berkata: “Kami duduk-duduk bersama Rasulullah lalu baginda bersabda: ‘Sekarang muncul kepada kamu seorang lelaki daripada ahli syurga’. Maka muncullah seorang lelaki Ansar yang basah janggutnya lantaran berwuduk sambil memegang selipar dengan tangan kirinya. Keesokannya, baginda bersabda lagi seperti demikian, lalu muncul lelaki itu seperti kali yang pertama. Tatkala hari ketiga Rasulullah bersabda lagi seperti demikian, lalu muncul semula lelaki tadi seperti keadaan yang pertama. Ketika Rasulullah bangun, dia (lelaki itu) diikuti oleh Abdullah Amru, lalu dia berkata kepadanya: ‘Sesungguhnya aku sudah bertengkar dengan bapaku dan aku bersumpah tidak akan memasuki rumahnya tiga hari, jika engkau sudi melindungiku sehingga lalu tiga hari itu, saya hendak mengikut engkau.’ ‘Ya’, katanya. Anas berkata lagi: ‘Maka Abdullah memberitahu bahawasanya dia tidur bersama lelaki itu tiga malam. Dia tidak melihat beliau bangun bersembahyang tahajud tetapi apabila dia bangun tidur dia bergolek di atas tikarnya berzikir kepada Allah dan bertakbir sehingga dia bangun sembahyang subuh. Berkatalah Abdullah: “Lain daripada itu, aku tidak mendengar dia berkata-kata kecuali yang baik saja. Apabila aku tidur tiga malam, hampir-hampir aku merendahkan amalnya, aku pun berkata kepadanya: “Ya Abdullah, sebenarnya tidak ada di antaraku dan bapaku satu pertengkaran atau pemulauan. Akan tetapi aku mendengar Rasulullah bersabda mengenaimu sebanyak tiga kali, iaitu akan muncul kepadamu sekarang seorang lelaki dari ahli syurga”. Lalu engkau yang muncul pada ketiga-tiga kali itu. Jadi aku hendak bernaung kepadamu supaya aku boleh mengikutimu. Tetapi aku tidak melihat engkau membuat amal yang besar. Jadi apakah yang membawa engkau seperti apa yang dikatakan oleh Rasulullah saw? Dia menjawab: “Tidak ada kecuali apa yang engkau lihat. Tatkala aku berpaling dia memanggil aku lalu berkata; ‘Tidak ada kecuali apa yang engkau lihat, akan tetapi aku tidak khianat dan hasad dengki kepada seseorang di atas satu kebaikan yang dikurniakan oleh Allah kepadanya”. Maka berkatalah Abdullah: ‘Inilah yang membawa engkau kepada syurga yang dikatakan oleh Rasulullah dan inilah yang kami tidak mampu.” (Riwayat Muslim) Hadis panjang ini menukilkan bagaimana kesucian jiwa daripada hasad dengki dan keselamatan hati daripada dendam kesumat dan khianat boleh menentukan darjat manusia di akhirat kelak meskipun dengan amal ibadat yang sedikit. Ganjaran itu semata-mata kesucian jiwa dan selamatnya manusia daripada gangguan syaitan. Kisah ini boleh dibandingkan dengan seorang wanita yang ditanya kepada Rasulullah mengenainya. Dia adalah seorang wanita yang sentiasa bersembahyang tahajud dengan banyaknya di malam hari dan berpuasa di siang hari, akan tetapi dia menyakiti jirannya dengan lidah dan perbuatannya lalu Rasulullah menjawab: “Dia masuk neraka” (Riwayat Bukhari fil adabil mufrad). Demikianlah, manusia yang berat timbangannya menurut neraca Islam ialah manusia yang benar, menyucikan jiwanya daripada khianat, tipu daya, hasad dengki dan dendam kesumat serta memenuhi dadanya dengan bersangka baik, ikhlas dan memaafkan semua manusia sekalipun amalannya sedikit. Dia umpama batu bata yang bersih dan kukuh di dalam sebuah bangunan masyarakat Islam. Namun, manusia yang memenuhi jiwanya dengan kebencian dan api permusuhan, semarak dadanya dengan hasad dengki, iri hati, dendam dan menipu manusia lain walaupun banyak ibadatnya adalah batu bata yang lemah dan rosak dalam bangunan masyarakat Islam. Malah, merekalah yang merosakkan struktur bangunan Islam yang indah lalu mengakibatkan kemusnahan masyarakat Islam. Perbalahan sesama manusia perlu diselesaikan dengan sebaik-baiknya dengan merujuk kepada pihak tertentu yang bertanggungjawab mengadilinya menurut syariat Islam. Selepas pengadilan dilakukan dengan cermat dan saksama, setiap pihak hendaklah berpuashati dan saling memaafkan. Perbalahan adik beradik yang berlaku lantaran berebutkan harta pusaka banyak merosakkan hati manusia dan memutuskan ikatan silaturahim. Malah, mereka yang tidak terbabit dengan perbalahan itu seperti anak-anak dan saudara mara turut berasa tempias lantaran bahang kebencian yang sering diapi-apikan. Marilah sama-sama kita memanfaatkan Syawal yang mulia ini dengan membantu melunaskan semula hutang lama menggunakan cara yang berlandaskan syariat Islam. Jika perlu, carilah seorang hakam (juru pendamai) di kalangan ahli keluarga atau tokoh masyarakat setempat yang dihormati oleh kedua-dua belah pihak. Setiap pihak haruslah berlapang dada, merendahkan keegoan diri, saling bermaafan dan menerima keputusan yang dibuat dengan saksama serta melupakan persengketaan yang pernah berlaku. Buang yang keruh ambil yang jernih. Jadikan Aidilfitri tahun ini sebagai tahun kejayaan kita sekeluarga memerangi syaitan dan hawa nafsu. l Penulis adalah pelajar sarjana dalam bidang psikologi dan boleh dihubungi di emel wanitajim0@yahoo.com

Wednesday, December 10, 2003

Berfikiran positif prasyarat utama capai kecemerlangan

Oleh Sabariah Faridah Jamaludin

MANUSIA ciptaan Allah dianugerahkan sifat dan ciri yang pelbagai keistimewaannya. Sifat dan ciri inilah yang akan membentuk peribadi seseorang insan, selain menatijahkan dua sikap bertentangan arusnya iaitu positif dan negatif. Kedua-duanya sentiasa bergelut dalam jiwa manusia. Firman Allah bermaksud: “Jiwa serta penyempurnaannya, maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu jalan kefasikan dan ketakwaan.” (Surah As-Syams, ayat 7-8) Fenomena ini akan menyebabkan kita sentiasa berjihad dalam diri untuk memenangkan salah satu daripada sikap itu. Andainya sikap negatif yang dikalahkan, maka akan lahirlah manusia yang terbentuk dalam dirinya sikap positif. Jika sikap negatif yang bertakhta di jiwa, segala tindak-tanduk akan menunjukkan gerak geri serta peri laku negatif. Seperti yang disebutkan dalam surah At-Tin, ayat 4, Allah menjadikan manusia sebaik-baik makhluk yang berbekalkan sumber peribadi dan bakat semula jadi. Sumber ini dapat dirangsangkan untuk menyerlah potensi diri seseorang insan. Allah yang Maha pencipta telah menciptakan manusia serba lengkap fizikalnya, ditambah pula dengan anugerah akal dan minda, iaitu anugerah yang paling berharga. Marilah kita merenung sejenak kehebatan anatomi fizikal ini. Kita mempunyai lima pancaindera; 500 jenis otak; 200 jenis tulang; 24,000 saraf pendengaran (telinga); 100 juta sel reseptor (mata); 10.5 kilometer urat saraf; 90,000 kilometer saluran darah; 1,600 gelen darah sehari yang dialirkan oleh jantung dan sebagainya. Cuba kita hayati pula kehebatan minda kita: # Boleh berfikir untuk membuat sesuatu keputusan. # Berupaya mencipta sesuatu idea atau barangan. # Mampu membuat penilaian yang baik atau buruk. # Mampu membuat perancangan dan pelaksanaan. # Bertanggungjawab ke atas segala usaha pemikiran, perasaan dan tindakan. # Mampu berfikir pada kadar 800 perkataan seminit dengan setiap sel otak mempunyai kapasiti seperti suatu komputer peribadi. # Berupaya menampung 120 kemahiran. Walaupun kita tahu keupayaan fizikal dan minda masing-masing, kajian mendapati bahawa kita hanya menggunakan lima hingga 10 peratus daripada potensi diri. Ini bererti 90 peratus lagi potensi diri masih belum lagi digunakan dan bersedia untuk diperkembangkan. Ketahuilah bahawa fitrah insan mempunyai sifat positif dan cemerlang. Benih kecemerlangan sudah tersemai, kita cuma perlu memupuk dan membaja benih sifat positif ini agar membesar dengan subur dan seimbang. Sebenarnya, sifat positif boleh dipelajari. Malangnya pengalaman seluruh dunia menunjukkan bahawa sekitar dua peratus saja manusia yang pernah mengikut kursus atau belajar untuk membentuk sifat cemerlang. Tahukah anda, mengikut kajian ada hampir 95 peratus manusia di serata dunia yang berfikiran dan bersifat negatif? Kenapakah sifat negatif terpahat pada diri kita? Ini kerana sejak lahir, kita mengumpulkan beratus-ratus idea mengenai diri sama ada baik atau buruk, pandai atau bodoh, berani atau pengecut dan sebagainya. Melalui ulangan memori buruk, terngiang-ngiang ungkapan yang melukakan hati, sedikit demi sedikit kita memaparkan imej kendiri yang negatif, yang menghantui diri kita sepanjang hayat. Imej kendiri ini adalah palsu dan sentiasa diulang tayang dan dibisik-bisikkan oleh syaitan yang terkutuk agar mengikut jejak langkahnya. Kesedaran adanya potensi positif dalam diri dan keupayaan untuk menjadi insan yang lebih baik adalah tanda atau bukti yang kita harus melakukan suatu reformasi dalam kehidupan. Unsur yang paling penting dalam tindakan reformasi diri ialah perubahan. Perubahan yang dimaksudkan ialah paradigma atau cara berfikir agar perlu maju. Perubahan ini memerlukan kesedaran, persetujuan dan komitmen pada diri sendiri. Bukan mudah untuk melakukan perubahan ini kerana kita cepat dan mudah berasa selesa, senang dan selamat dengan keadaan, idea, sistem, sikap dan cara yang menjadi kebiasaan dan rutin kita. Lantas kita merasakan perubahan adalah sesuatu yang menyakitkan. Perubahan paradigma ini perlu agar dapat mengubah kebiasaan serta rutin yang tidak ada sifat berdaya saing kepada tindakan serta berfikir menurut cara yang boleh menuju kepada kecemerlangan dunia dan akhirat. Justeru, untuk membina kecemerlangan diri ada tiga aspek yang perlu dibuat: # Memahami diri minda. # Mengenali dan menganalisis sistem nilai kehidupan. # Memilih dan membina sasaran, matlamat atau pelan tindakan kehidupan. Kesedaran mengenai potensi diri hanya langkah pertama untuk mencipta kejayaan dan kecemerlangan. Ketahuilah 90 peratus kejayaan kita adalah melalui sikap positif serta 10 peratus menerusi ilmu dan kebolehan. Dalam erti kata lain, faktor yang menentukan kecemerlangan ialah memiliki sifat positif. Sikap positif pula boleh terbentuk 90 peratusnya melalui mengadakan matlamat hidup, hala tuju serta strategi ke arah pencapaian matlamat kendiri. Sepuluh peratus perubahan sikap positif adalah melalui persembahan ilmu dan pengalaman. Seperti mana negara mempunyai Wawasan 2020, kita juga mesti mempunyai wawasan diri. Adakan visi dan misi seimbang dan jalankan ia dengan bersemangat untuk menghasilkan natijah yang cemerlang. Rasulullah saw dan sahabat adalah insan yang berfikiran dan bertindak positif. Mereka yakin akan syurga yang seluas langit dan bumi yang dihias dengan pelbagai keindahan yang tidak dapat dibayangkan oleh mata. Walaupun pelbagai rintangan melanda, Baginda tempuhi dengan sabar dan tidak pernah berputus asa. Matlamat kaum mukminin jelas yakni mencari keredaan Allah. Wawasan mereka adalah syurga. Tindakan mereka sentiasa berhati-hati agar perintah Allah sentiasa diikuti. Rasulullah dan sahabat contoh unggul kehidupan insan. Justeru, usah banyak bicara atau membuang masa, marilah kita terus mulakan tindakan bagi menjayakan hasrat dan cita-cita! Orang yang cemerlang menunjukkan hasil. Orang yang gagal memberikan seribu alasan. PENULIS adalah pakar motivasi kecemerlangan diri wanita dan boleh dihubungi melalui e-mel wanitajim0@yahoo.com atau 013-3682553.

Wednesday, December 03, 2003

Ziarah ibadat pererat hubungan sesama manusia

Oleh Endok Sempo Mohd Tahir

SETIAP kali menjelang Aidilfitri, amalan ziarah -menziarahi diteruskan. Ramai penduduk kota kembali ke kampung halaman. Di samping bercuti, mereka mengukuhkan silaturahim. Ada yang mempamerkan kejayaan dan kemewahan yang diraih di kota, tetapi berapa ramaikah daripada kita yang melakukan ziarah sebagai satu ibadat? ‘Ziarah yang dikira ibadat ialah ziarah yang ‘diniatkan’ kerana Allah dan tidak melampaui batasan yang digariskan Allah dan Rasul. Ia dikaitkan dengan silaturahim dan sangat dianjurkan agama. Ini dapat dilihat daripada pengertian silaturahim. Kerap kali hubungan antara mereka yang berada di kota dengan di kampung menjadi renggang bahkan ada yang terputus disebabkan pelbagai faktor. Ziarah-menziarahi yang bermotifkan silaturahim akan mengeratkan hubungan, iaitu menyambung kembali hubungan yang selama ini terputus dan menghimpunkan yang terlerai. Itulah hakikat silaturahim iaitu menyambungkan yang putus. Sabda Rasulullah bermaksud: “Tidak silaturahim (namanya) orang yang membalas kunjungan atau pemberian, tetapi (dinamakan silaturahim adalah) yang menyambung apa-apa yang putus”. (Hadis Riwayat Bukhari). Abul Laits As Samarqandi meriwayatkan dengan sanadnya daripada Abu Ayyub berkata: "Seorang badwi menghadang Rasulullah dan memegang kendali untanya lalu berkata: "Ya Rasulullah, beritahukan kepadaku apakah yang dapat mendekatkan aku ke syurga dan menjauhkan diriku dari api neraka? Jawab Baginda: "Menyembah Allah dan tidak mensyirikkan-Nya dengan suatu apa pun dan mendirikan sembahyang dan mengeluarkan zakat dan menghubungi kerabat”. Abul Laits juga meriwayatkan dengan sanadnya daripada Abdullah bin Abi Aufa berkata: "Pada suatu waktu petang hari Arafah, kami bersama Rasulullah. Tiba-tiba Baginda bersabda: "Jangan duduk bersama kami siapa yang memutuskan hubungan kekeluargaan, bangunlah dari tengah-tengah kami. Maka seorang yang berada di belakang Baginda bangun dan pergi tetapi tidak lama kemudian, ia kembali di tempat duduknya, maka ditanya Rasulullah: “Mengapakah engkau? tidak ada orang yang bangun kecuali engkau? Jawabnya: "Ya Rasulullah, ketika saya mendengar sabdamu itu, saya terus pergi ke rumah mak saudara saya yang memutuskan hubungan dengan saya. Dia bertanya: “Mengapa kau datang, ganjil sekali kedatanganmu ini? Maka saya beritahukan kepadanya apa yang saya dengar daripadamu, maka dia membaca istighfar untukku dan aku juga membaca istighfar untuknya. Rasulullah bersabda: "Bagus engkau, duduklah sekarang sebab rahmat tidak akan turun pada suatu kaum jika ada di antara mereka seorang yang memutuskan hubungan kekeluargaan". Abul Laits menjelaskan bahawa hadis ini sebagai dalil bahawa memutuskan hubungan kekeluargaan adalah dosa besar dan menjadi sebab tertolaknya rahmat baginya serta bagi sahabat yang duduk bersamanya. Ini kerana kewajipan kita sebagai Muslim seharusnya bertaubat daripada memutuskan hubungan kekeluargaan dan hendaklah segera beristighfar serta segera menghubungi keluarga untuk mencari rahmat Allah dan menjauhkan diri dari api neraka. Itulah kemuncak silaturahim yang dapat diwujudkan oleh mereka yang menziarahi kaum kerabat, tidak kira di kota atau desa. Masing-masing berusaha ingat-mengingati, siapakah yang pernah terluka angkara perbuatannya atau selama ini jarang dikunjungi sebab terlalu sibuk. Justeru, ziarah dan kunjungan seperti ini dinamakan menyambung kembali yang putus dan menghangatkan bahkan mencairkan yang beku. Adalah baik jika ketika berkunjung, kita membawa sesuatu sebagai hadiah tanda ingatan kerana ia bukti paling kukuh kasih sayang dan pemberian. Tidak ada salahnya seorang yang berziarah menampakkan kejayaan yang diraih selama ini asalkan tidak mengandungi unsur riak, sengaja menunjuk-nunjuk, berbangga dan boros. Apalagi jika perbuatan itu menimbulkan cemburu masyarakat sekeliling. Menampakkan kejayaan adalah salah satu cara mensyukuri nikmat Allah, seperti sabda Rasulullah bermaksud: “Allah suka melihat nikmatnya (ditampakkan) oleh hamba-Nya”. Allah berfirman bermaksud: ”Ada pun nikmat Tuhanmu maka ucapkan (sampaikanlah)”. (Surah Ad-Dhuha, ayat 11). Sebahagian ahli tafsir menjelaskan ayat itu sebagai perintah menyampaikan kepada orang lain dalam bentuk ucapan atau sikap betapa besar nikmat Allah. Menziarahi adalah hari gembira yang berganda kerana berhari raya dan bertemu kaum kerabat serta sahabat handai. Kesimpulannya, silaturahim mengandungi 10 kebaikan iaitu mendapat keredaan Allah. Al-Hasan berkata: "Rasulullah pernah bersabda: "Dua langkah manusia yang disukai Allah ialah langkah menuju sembahyang fardu dan langkah menuju silaturahim kepada kerabat yang mahram”. Kedua ialah menambah atau memanjangkan umur dan ketiga ialah menggembirakan mereka kerana ada hadis yang menyatakan bahawa amal yang paling utama ialah menyenangkan hati orang mukmin. Kebaikan lain ialah kegembiraan malaikat kerana malaikat sukakan silaturahim dan mendapat pujian (ucapan terima kasih bercampur doa) daripada kaum muslimin dan menjadikan berkat kepada rezekinya. Ibn Umar berkata: "Siapa yang bertakwa kepada Tuhan dan menghubungi keluarganya maka akan ditambah umurnya dan diperbanyak harta kekayaannya serta disayang oleh keluarganya". Kebaikan lain ialah mensejahterakan orang yang sudah mati kerana anak cucu mereka menyambung silaturahim di samping memupuk rasa cinta di kalangan keluarga sehingga suka membantu apabila diperlukan. Abul Laits berkata: "Jika seorang itu dekat dengan kerabatnya, maka hubungan kerabat itu berupa hidayah dan ziarah, jika tidak dapat membantu dengan harta, maka cukup dengan tenaga, jika jauh maka hubungi mereka dengan surat serta jika dapat mendatangi, maka itu lebih utama”. Kebaikan lain ialah bertambah pahala jika ia mati kerana selalu diingati orang dan sentiasa disebut kebaikannya dan mendoakannya. Anas berkata: "Tiga macam orang yang akan berada di bawah naungan Allah pada hari kiamat iaitu: Orang yang menyambung hubungan kekeluargaan diberkati umurnya dan dilapangkan kuburnya serta rezekinya. Wanita yang ditinggal mati oleh suaminya dan ditinggalkan anak yatim lalu dipeliharanya sehingga kaya mereka atau mati. Orang yang membuat makanan lalu mengundang anak-anak yatim dan orang-orang miskin”. Akhir sekali, berziarah menjengkelkan iblis. Semoga kita dapat mengambil hikmah dan pahala (selepas membetulkan niat) daripada silaturahim yang dilakukan sepanjang cuti hari raya yang lalu dan hari akan datang. – wanitajim0@yahoo.com