Laman Rabu - WADAH WANITA ISLAM

Wednesday, July 30, 2003

Ibu bapa, anak wajar bincangkan masa depan

23/7/03
Ibu bapa, anak wajar bincangkan masa depan
Oleh Rozaini Mohd Rosli

“SAYA pun tak tahu mengapa saya ambil kursus ini di universiti,” kata seorang pelajar institut pengajian tinggi (IPT) mengadu kepada pensyarahnya.

“Tetapi kenapa awak mendaftar juga,” pensyarah itu bertanya.

Jawab pelajar itu: “Emak saya paksa saya, saya tak mahu emak saya patah hati dan kecewa.”

“Beginilah, awak balik dan fikirlah masak-masak, apakah yang awak mahu dalam hidup ini dan apakah yang hendak awak capai dalam cita-cita awak,” kata pensyarah itu.

“Tetapi, nanti emak saya kecewa macam mana,” kata pelajar itu lagi.

“Emak awak tidak akan kecewa jika awak berjaya dalam apa lapangan yang awak pilih, Jika awak tunjukkan kecemerlangan dalam apa jua bidang yang awak akan ambil.

“Awak kena buktikan dulu kesungguhan awak,” jawab pensyarah itu dengan panjang lebar.

Ini adalah di antara contoh perbualan yang biasa kita dengar. Berdasarkan perbualan itu, kita perlulah berfikir berapa ramai anak yang mengalami dilema sebegini dan berapa ramai ibu bapa yang menjeruk hati dalam menentukan kerjaya anak-anak?

Kebanyakan kita sama ada sedar atau tidak terlalu menurut kehendak dan pandangan masyarakat sekeliling dalam menentukan masa depan anak. Anak-anak pula tidak mempunyai satu hala tuju yang jelas sedangkan kedua-duanya perlu berbincang, saling memahami antara satu dengan lain serta merancang dan menganalisis tujuan sesuatu langkah diambil.

Islam menganjurkan agar sebarang tindakan itu dijalankan secara sedar seperti mana sabda Rasulullah yang bermaksud: “Sesungguhnya setiap amalan itu dengan niat.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Dalam kehidupan hari ini, niat boleh diterjemahkan sebagai misi dan objektif. Misi setiap keluarga Muslim ialah untuk mencapai kesejahteraan dunia dan akhirat.

Ia harus dilengkapi dengan langkah khusus secara objektif. Allah berfirman yang bermaksud: “Peliharalah dirimu dan keluargamu dari seksaan api neraka” – (Surah at-Tahrim, ayat 6). Bagi mengelakkan diri dari bencana yang besar, tentunya memerlukan perancangan yang rapi.

Namun, dalam merancang, kita diingatkan supaya mendahuluinya dengan penilaian diri, ahli keluarga dan suasana yang sedang menyelubungi keluarga serta jangkaan persekitaran di masa akan datang.

Ingatan itu terkandung dalam ayat al-Quran di mana Allah tidak membebani seseorang daripada melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Umpamanya, kita mahu anak-anak menjadi soleh dan mengajak orang lain berbuat yang.

Tujuan itu wajarlah bermula sebelum kelahiran anak lagi dan mengambil kira keupayaan anak-anak dan diri sendiri untuk mendidiknya. Persefahaman antara ibu dan bapa amatlah mustahak dalam memastikan segala misi dan matlamat pendidikan anak tercapai.

Setiap keluarga boleh mempunyai matlamat berbeza dan antara contoh itu ialah:

l Anak-anak faham mengenai rukun iman dan rukun Islam sejak umur lima tahun.

l Anak-anak boleh membaca sejak umur empat tahun.

l Anak-anak boleh mengerjakan solat bersendirian dengan sempurna pada usia enam tahun.

l Anak-anak mula berpuasa sejak berusia empat tahun.

l Menghafaz juzuk ke-30 selewat-lewatnya pada umur 11 tahun.

l Anak-anak boleh menguasai emosinya sejak berusia enam tahun.

l Cemerlang dalam peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah rendah (UPSR) dengan memperoleh 5A

l Cemerlang dalam Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) dengan memperoleh 8A.

l Cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan memperoleh 9A.

Setiap matlamat di atas memerlukan kita berfikir bagaimana untuk melengkapkan diri pada mulanya dan kemudian mempraktikkan pendidikan bersesuaian kepada anak-anak untuk mencapai semua matlamat itu.

Berkenaan peristiwa yang berlaku kepada Rasulullah bukanlah secara kebetulan, tetapi dengan perancangan Allah.

Ia mengukuhkan hujah agar kita senantiasa peka dan merancang sebaik mungkin kehidupan di dunia ini.

Termasuk juga dalam proses perancangan ialah penyeliaan rapi.

Sebarang kesilapan atau perkara yang terkeluar dari landasan akan diberi perhatian seawal mungkin.

Dengan itu, ia dapat menjadikan rumah tangga Islam yang tidak hanya bersifat reaktif kepada gejala dan masalah ahli keluarganya, tetapi dapat menanganinya sebelum ia menjadi tidak terkawal.

Aspek lain juga seperti fizikal, rohani, emosi dan intelek setiap ahli keluarga haruslah menjadi medan penelitian yang berterusan dalam mencapai misi dan matlamat sesebuah keluarga Muslim serta jauh sekali untuk membiarkannya kepada nasib.

Akhir sekali, segala usaha wajarlah diiringi dengan doa. Maka berdoa secara khusus bersesuaian dengan apa yang dihajati. Kadang-kadang berlaku sesuatu tanpa diduga atau di luar perkiraan dan kawalan kita.

Justeru, Allah juga mengilhamkan kepada sesiapa yang keprihatinannya dengan perancangan terhadap medan yang diceburi dalam usaha mencapai kesempurnaan diri, keluarga dan masyarakat.

Janji Allah mengenai perkara ini dirakamkan dalam al-Quran yang bermaksud: “Sesiapa di antara kamu yang bertakwa kepada Allah, maka Allah akan tunjukkan jalan keluar kepada masalahnya dan juga Allah akan curahkan rezeki kepadanya dari jalan yang tidak difikirkan olehnya.” – (Surah at-Thalaq, ayat 2 hingga 3).

Penulis adalah aktivis sosial dan boleh dihubungi melalui e-mel: wanitajim10@yahoo.com

Wednesday, July 23, 2003

Tudung bukan simbol penindasan, kongkongan

23/7/03
Tudung bukan simbol penindasan, kongkongan
Oleh Endok Sempo Mohd Tahir

BERTUDUNG adalah cara menutup aurat yang sangat dituntut kepada wanita. Bagaimanapun dalam masa bertudung, ramai di kalangan wanita berdepan dengan pelbagai cabaran dan ranjau yang menguji keimanan serta kekuatan akidah mereka.


Pengalaman dan kisah ini diceritakan mereka sendiri dalam buku Bagaimana Akhirnya Saya Bertudung. Antara pengakuan dan luahan serta pengalaman yang dialami mereka sepanjang bertudung ialah:

l Bekas artis popular tanah air Noorkumalasari berkata: “Bukan saja saya bertudung, malah saya rasa perlu berpakaian seperti mana dituntut Allah. Iaitu bajunya mestilah longgar, daripada kain berwarna yang tidak jarang, akhirnya muncullah fesyen yang menjadi identiti saya iaitu jubah hitam dengan tudung hitam lebar seperti di pakai wanita Arab.

“Kita mestilah berani untuk lain dari yang lain. Memang dari dulu lagi saya terkenal dengan selalu berpakaian hitam. Jadi saya lakukan semua ini kerana Allah, di samping rasa gembira melakukannya.

“Kelebihannya berpakaian begini ialah saya sentiasa bersiap sedia untuk ke masjid di mana saja saya berada. Sebaik terdengar seruan azan, saya akan terus ke masjid dan bersembahyang walaupun tidak membawa telekung. Ia mudah hinggakan sekarang ini saya sentiasa berwuduk.”

l Pakar perubatan sakit puan, Dr Harlina Halizah pula berkata: “Hari ini saya begitu yakin dengan ketrampilan saya sebagai wanita Islam yang bertudung.

“Tudung saya ibarat pakaian seragam saya agar saya boleh dikenali di mana saja sebagai wanita Islam. Memang benar, tudung tidak melambangkan dan mengukur tahap iman seseorang. Namun bagi saya, pemakaian tudung adalah satu langkah pengisytiharan kepada dunia betapa saya mahu dikenali sebagai wanita Islam yang komited dan serius terhadap agamanya.

“Tidak ada sesiapa yang memaksa saya menutup kepala. Tudung kepala saya bukanlah simbol penindasan suami atau bapa saya terhadap kebebasan diri dan hak asasi saya.”

l Warga Amerika Syarikat, Dr Katherine Bullock, menulis dalam sebuah artikel sebaik saja memeluk Islam, beliau berkata: “Satu hari iaitu pada 1991, saya berada di hadapan televisyen menonton berita mengenai wanita Turki yang dikatakan mula kembali ke zaman dulu kerana memakai tudung.

“Saya amat terkejut dan berasa sayu. Kasihan mereka. Fikiran mereka sudah dicandu adat lama pusaka. Seperti orang Barat yang lain, saya beranggapan bahawa Islam menindas wanita dan tudung adalah simbol penindasan dan kongkongan.

“Cuba bayangkan, empat tahun kemudian, sungguh memeranjatkan! Ketika saya berdiri merenung cermin di kedai melihat bayangan diri saya yang berpakaian saling tak tumpah seperti wanita yang tertindas itu!”

l Perunding swasta yang mahu dikenali sebagai Umm Hannan berkata: “Saya sangka emak saya tidak akan marah kerana setahu saya emak seorang yang konservatif. Tidak pernah terfikir bahawa emak saya tidak akan bersetuju dengan keputusan saya untuk bertudung.

“Walaupun begitu, saya bersedia untuk menghadapi dugaan sebegitu seperti yang dikatakan di dalam al-Quran iaitu dugaan akan dilalui oleh orang yang berjuang di jalan-Nya.”

l Pegawai perubatan klinik swasta yang mahu dipanggil Dr Noraini juga berkata: “Saya dituduh bertudung kononnya disebabkan saya sudah hamil sebelum bernikah.”

l Peguam, Zain Azura berkata: “Mengenai rasional bertudung, tidak semua suruhan Allah mesti ada rasionalnya. Kita sebagai makhluk Allah pun tidak tahu secara mutlak apakah rasional sebenarnya. Hanya Allah yang tahu. Tetapi dengan memakai tudung mungkin beberapa manfaat yang boleh diperoleh.”

Demikianlah antara petikan penulisan beberapa wanita Islam profesional dalam buku Bagaimana Akhirnya Saya Bertudung.

Penulis wanita ini menyedari kepentingan berkongsi pengalaman dan suka duka dalam mengharungi kehidupan sebagai wanita Islam bertudung.

Wanita terbabit yang cintakan dakwah dan Islam membukukan pengalaman mereka dalam bentuk penulisan yang mengusik jiwa serta maklum balas yang menginsafkan.

Mereka juga melalui beberapa peringkat kehidupan yang mencabar dalam menghayati salah satu suruhan Allah yang termaktub dalam al-Quran yang menuntut kaum wanita dan lelaki memelihara kehormatan diri mereka.

Firman Allah yang bermaksud: “Katakanlah kepada lelaki yang beriman agar mereka menundukkan pandangan dan memelihara kesopanan mereka. Itulah yang lebih suci untuk mereka dan Allah Maha Mengetahui apa yang mereka lakukan. Dan katakanlah kepada wanita beriman agar mereka menundukkan pandangan dan memelihara kesopanan mereka dan agar mereka tidak memperlihatkan kecantikan mereka serta perhiasan kecuali apa yang biasa dilihat dan hendaklah mereka melabuhkan tudung hingga menutupi dada mereka dan tidak mempamerkan kecantikan mereka kecuali kepada suami mereka.” – (Surah an-nur, ayat 30 hingga 31).

Allah mengemukakan beberapa pendekatan dalam mengolah persoalan akidah dan panduan bergaul.

Salah satu dari pendekatan itu ialah menerusi kisah dalam al-Quran. Pendekatan ini adalah di antara pendekatan yang menarik untuk diperhatikan. Kadang-kadang seseorang itu beroleh petunjuk dengan mudah umpamanya hanya melalui cerita.

Tidak dinafikan sesebuah cerita yang menyentuh perasaan boleh mengubah paradigma insan.

Allah bukan hanya memaparkan sejarah sebaliknya Allah juga menganjurkan kepada umat manusia agar turut meriwayatkan sejarah itu.

Allah berfirman yang bermaksud: ”Maka ceritakanlah (kepada manusia) akan kisah itu agar mereka dapat berfikir.” – (Surah al-A'raf, ayat 176).

Apakah cara terbaik untuk mengingati kembali nostalgia silam dan memberi pengajaran?

Bukankah ia dapat dilakukan dengan kaedah penulisan yang boleh dikongsi bersama orang lain?

Untuk itu, diharapkan pembaca buku ini dapat menelusuri dan memahami isi hati dan mengambil manfaat beberapa pengalaman penulis yang mahu mengamalkan salah satu suruhan Allah.

Semoga kita lebih memahami dan mengambil manfaat. Malah, sama ada kita sedar atau tidak, koleksi penulisan ini boleh memberikan inspirasi, motivasi, mencetuskan cita-cita Islam, menjadi dorongan kepada orang lain, menolong wanita lain menghadapi kehidupan yang penuh dengan dilema dan konflik.

Dalam pada itu, diharapkan juga ia membuka minda dan mencelikkan mata terhadap masyarakat bukan Islam terutama terhadap apakah yang ada di sebalik minda wanita bertudung.

Benarkah mereka tertindas, kolot, tertutup minda, pendek fikiran atau sebaliknya?


l Penulis seorang jurutera profesional boleh dihubungi melalui e-mel wadah_wjy2k@yahoo.com.



Wednesday, July 16, 2003

Fungsi wanita bukan sekadar seorang isteri, ibu

16/7/03
Fungsi wanita bukan sekadar seorang isteri, ibu
Oleh Sumilah Marto

WANITA kerap dikaitkan dengan pelbagai peranan penting dalam menjamin keharmonian rumah tangga, masyarakat dan negara. Namun, hakikatnya, sama ada kita sedar atau tidak, peranan yang dikhususkan kepada wanita itu diselewengkan sehingga menimbulkan pelbagai kesan buruk.

Ini terbukti dengan bertambahnya jumlah wanita yang rosak akhlak, kadar kes perceraian, serta berleluasanya perbuatan jenayah yang dilakukan oleh anak muda akibat daripada salah asuhan atau pengaruh persekitaran. Fenomena ini sewajarnya dipandang serius kerana keutuhan masyarakat pada masa akan datang banyak bergantung kepada sejauh mana wanita menangani permasalahan ini secara bijaksana.

Peranan utama wanita

Firman Allah bermaksud: “Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia, melainkan supaya mereka menyembahKu.” (Surah Adz-Dzaariyat, ayat 56).

Ayat di atas jelas menunjukkan bahawa peranan atau tanggungjawab utama wanita adalah sama dengan lelaki iaitu mengabdikan diri kepada Allah. Adalah menjadi kewajipan wanita Muslim untuk berusaha sebaik mungkin agar dapat menjadi seorang insan yang tunduk dan patuh kepada-Nya, semata-mata dengan melaksanakan segala perintah Allah dan rasul-Nya. Mereka juga hendaklah menjauhi segala perkara yang ditegah.

Kekuatan iman yang jitu adalah aset terpenting bagi seorang wanita agar menjadi benteng bagi mengharungi sebarang bentuk cabaran.

Wanita dan keluarga/rumah tangga

Peranan wanita dalam keluarga atau rumah tangga adalah amanah yang diperintahkan oleh Allah, sebagaimana firman-Nya, yang bermaksud:

“Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Surah an-Nisaa’, ayat 58)

Dalam sesebuah rumah tangga, dua peranan utama yang sewajarnya dimainkan oleh seseorang wanita iaitu sebagai isteri dan ibu. Seorang isteri sentiasa mendampingi suaminya sama ada dalam keadaan susah atau senang. Ibu pula terbabit secara langsung dalam memberi pendidikan kepada anak-anak serta menjaga hal ehwal rumah tangga dengan bantuan suami.

Wanita dan kerjaya

Islam membenarkan wanita keluar bekerja berdasarkan kepada keperluan seperti ketika ketiadaan suami, ketidakupayaan suami atau bekerja dalam jawatan yang memerlukan khidmat wanita seperti doktor, tenaga pengajar kepada kaum wanita serta bidang lain yang bersesuaian.

Bagaimanapun menurut Islam, keharusan wanita untuk keluar bekerja mestilah mengikut batas syarak iaitu:

Kerja itu mesti bersesuaian dengan sifat kewanitaan.

Kerja itu tidak menjejaskan peranannya sebagai isteri dan ibu

Bertujuan murni sama ada untuk membantu keluarga atau menyampaikan kesedaran Islam kepada wanita lain

Sentiasa memelihara kehendak syarak seperti menutup aurat.

Sentiasa menjaga tata susila dan terhindar daripada berlakunya pergaulan bebas dengan lelaki.

Mendapat restu daripada penjaga, bapa atau suami.

Mengelak daripada melakukan perkara yang boleh membawa fitnah sama ada dari segi tindakan, cara berpakaian atau mengenakan perhiasan.

Apa yang pasti dengan keluarnya wanita bekerja tidak akan mengubah atau mengabaikan tanggungjawabnya utama sebagai serikandi dan bidadari dalam rumah tangga.

Wanita dan tanggungjawab sosial

Apabila memperkatakan peranan dan sumbangan wanita dalam pembangunan masyarakat dan negara, sejarah membuktikan bahawa sejak zaman Rasulullah, wanita secara aktif memainkan peranan mengikut batas ditetapkan. Misalnya, wanita bersama-sama lelaki mempelajari ilmu dan petunjuk Islam. Ada di antara mereka meriwayatkan hadis, bahkan Saidatina Aishah menunjukkan ketokohannya sebagai seorang yang mencapai kedudukan ilmu tinggi, sehingga sahabat seperti Abu Bakar, Umar dan Osman bertanya kepadanya mengenai ilmu faraid.

Wanita juga berperanan sama dengan lelaki dalam usaha membendung keburukan yang berlaku dalam masyarakat kerana ini adalah tanggungjawab setiap Islam.

Firman Allah bermaksud: “Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar dan beriman kepada Allah.” (Surah Ali Imran, ayat 110).

Kepincangan dan kebejatan, terutama di kalangan muda-mudi hari ini sewajarnya menarik perhatian wanita untuk sama-sama berganding bahu mencari penawar paling mujarab.

Tugas ini berat dan memerlukan kesabaran, ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus dan tepung tidak berselerak.

Menangani peranan wanita secara bijaksana

Keadaan semasa secara tidak langsung memaksa wanita memainkan peranan seimbang di antara alam rumah tangga dan dunia masyarakat luar. Hal ini sebenarnya cabaran besar kepada wanita dan meletakkan wanita di persimpangan.

Persoalannya ialah sejauh mana seseorang wanita itu mampu melaksanakan semua tanggungjawab di atas serentak atau wajarkah mereka mengabaikan salah satu daripadanya? Jawapannya, pasti terletak di tangan wanita.

Sesungguhnya wanita sentiasa memerlukan bantuan dan sokongan daripada semua pihak agar dapat menjalankan tanggungjawab dengan lebih berkesan.

Perkara berikut adalah di antara panduan yang boleh digunakan oleh wanita untuk membantu mereka menjalankan tanggungjawab itu:

Sentiasa memantapkan keimanan kepada Allah dan meyakini akan pertolongan-Nya. Keimanan mendalam akan dapat melahirkan wanita yang yakin pada dirinya sendiri dan mampu meneroka segala potensi anugerah Allah.

Melengkapkan diri dengan tiga ciri utama.

Ilmiah iaitu mengetahui sebanyak mungkin ilmu agama dan ilmu lain, termasuk hak sebagai wanita menurut perspektif Islam.

Siasah iaitu cuba memahami perkembangan politik tempatan dan antarabangsa untuk meluaskan fikiran dan pandangan sebagai seorang wanita yang peka kepada isu semasa.

Amaliyyah iaitu mengamalkan apa yang dipelajari dan difahami secara ilmiah.

Mendapatkan sokongan dan pengiktirafan dari orang yang paling hampir sama ada suami, ibu bapa atau keluarga. Sokongan dan kebersamaan mereka ini menjadi penggerak utama kepada tugas seorang wanita.

Mempelajari secara bersungguh-sungguh bagaimana untuk menguruskan masa dengan lebih sistematik.

Perlu ada perancangan kerja dan melaksanakan kerja mengikut susunan keutamaan.

Sentiasa menjalin hubungan yang baik dengan keluarga mentua seperti menjaga hubungan baik dengan keluarganya sendiri.

Sentiasa menilai perlakuan diri sendiri atau memuhasabah untuk mengukur sejauh mana baik buruknya sesuatu tindakan atau perkara yang dilakukan.

Sentiasa beristighfar dan memohon keampunan kepada Allah di atas kesilapan yang dilakukan sama ada disedari atau tidak.

Berlapang dada di atas teguran-teguran membina yang diberi oleh sesiapa saja untuk memperbaiki diri.

Melakukan kerja kebajikan umum secara amal supaya pelaksanaannya menjadi lebih mudah dan tersusun.

Berbahagialah wanita yang dapat menjalankan tugas di atas dan memainkan peranannya sebagai seorang wanita cemerlang mengikut kaca mata Islam. Yakinlah dengan janji Allah sebagaimana firman-Nya bermaksud: “Sesiapa yang mengerjakan amal salih, sama ada lelaki atau wanita dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik, dan sesungguhnya akan kami berikan balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang sudah mereka kerjakan.” (Surah an-Nahl, ayat 97).

PENULIS adalah pensyarah maktab perguruan dan boleh dihubungi melalui e-mel wadah_wjy2k@yahoo.com

Wednesday, July 02, 2003

Keluarga bahagia mampu elak perbuatan bunuh diri

2/7/03
Keluarga bahagia mampu elak perbuatan bunuh diri
Oleh Dr Suriya Osman

ANI membawa adiknya Rosie ke klinik saya. Rosie kelihatan masam dan memang jelas, raut mukanya menunjukkan perasaan marah dan ingin membantah.


Rosie diam membisu ketika Ani menceritakan apa yang berlaku.

“Doktor, adik saya ini kepala batu! Oleh kerana sikapnya yang terlalu degil, ayah selalu memarahinya. Pagi tadi, dia mengadu sakit perut kerana menelan 20 biji Panadol!”

“Betulkah Rosie?,” saya bertanya.

“Kenapa Rosie buat macam tu? Rosie tak tahu ke, menelan begitu banyak pil boleh membawa kematian. Sekarang saya minta Ani bawa Rosie ke jabatan kecemasan untuk cuci usus dan dirawat sekarang juga,” arah saya kepada Ani.

“Kenapa Rosie, buat begini,” saya bertanya lagi untuk kepastian.

“Kenapa tidak? Kawan saya selalu buat macam ini, telan Panadol banyak-banyak...barulah keluarga tahu. Mereka hanya tahu nak marah, tak tentu arah,” jawab Rosie bagi menjelaskan tindakannya itu.

Muka Rosie kelihatan marah dan muram. Nyata dia terlalu marah dan tidak insaf atas perbuatannya. Malah, Rosie kelihatan seolah-olah merasakan bahawa keluarganya memang patut terima kesusahan yang berlaku kerana perbuatannya itu. Rosie berpendapat dia tidak patut dimarahi.

Remaja yang menelan racun, kerap kali Paracetamol jarang sekali terniat untuk membunuh diri dan melakukannya sebagai suatu jeritan meminta tolong atau simptom penderita perasaan yang tidak dapat ditangani oleh diri sendiri.

Kebelakangan ini, ramai anak remaja yang menghadapi masalah akan

cuba lakukan sesuatu yang memudaratkan diri sendiri. Cara yang paling mudah ialah dengan menelan ubat dengan kadar berlebihan.

Ubat yang paling mudah diperoleh adalah Paracetamol. Ada juga yang akan mengambil ubat daripada ahli keluarga serumah. Umpamanya, ubat darah tinggi atau ubat kencing manis dengan kadar yang membahayakan dan toksik.

Perbuatan menelan ubatan ini adalah lebih mudah daripada melompat dari bangunan tinggi atau memotong lengan dengan pisau, namun penderitaan kesakitan yang akan dialami mungkin menyeksa mangsa sebelum benar-benar maut.

Jika mangsa tidak mati, akan menyebabkan kerosakan pada organ badan dan membawa masalah seumur hidup!

Kerap berlaku, orang yang mengambil ubat dengan kadar berlebihan tidak tahu apa yang akan terhasil daripada perbuatannya itu! Kerap juga mangsa mengambil ubat ini pada saat perasaannya terlalu tertekan dan dia tidak mempunyai pertimbangan waras pada masa pengambilan itu.

Mengambil sebarang ubat dengan kadar berlebihan menyebabkan keracunan. Organ yang akan terjejas pada mulanya adalah hati, buah pinggang dan otak akan turut terjejas. Keracunan yang berlaku dari memakan bahan beracun secara sengaja atau secara tidak sengaja adalah di antara kes keracunan yang kerap dirujuk di klinik atau jabatan kecemasan hospital.

Apa yang harus anda lakukan jika diberitahu seorang kenalan makan racun? Adakah anda akan menghukumnya dengan berkata “kamu bunuh diri ini keluar daripada Islam?” Adakah anda terus menolongnya dalam masa yang kritikal ini?

Jika diketahui awal, langkah yang paling mustahak ialah menolong mangsa memuntahkan semula racun itu.

Seterusnya mangsa perlu dibawa ke hospital untuk rawatan selanjutnya. Dalam kes anak yang menelan minyak tanah, tidak digalakkan menjolok tekaknya atau menyebabkannya muntah sebab ini boleh membawa komplikasi kepada paru-parunya!

Bagi kes keracunan kerana menelan Paracetamol melebihi dos, rawatan awal boleh menyelamatkan nyawa mangsa.

Pada mulanya ia kelihatan tidak mengalami apa-apa kesan tetapi beberapa jam kemudian mangsa akan berasa mual dan loya serta sakit perut.

Selepas beberapa jam, akan tiba masa seolah-olah mangsa tidak mengalami apa-apa sakit. Tetapi, jika mangsa tidak mendapat rawatan selepas ini, mangsa akan mengalami radang hati dan akan menjadi kuning, mungkin demam dan sakit di bahagian kanan di bawah tulang rusuk, iaitu bahagian hati. Jika tidak juga dirawat, mangsa akan terus tidak sedarkan diri dan mungkin tidak akan kencing.

Maut akan tiba pada hari kelima. Jika mangsa dapat bertahan pada peringkat kuning, selepas seminggu mangsa akan mula pulih.

Hari keempat dan hari kelima selepas keracunan adalah masa yang paling kritis yang akan menentukan sama ada mangsa akan pulih atau tidak.

Keracunan dengan Paracetamol boleh dirawat sebaik diketahui mangsa menelan pil walaupun belum dapat keputusan ujian darah yang menunjukkan kadar keracunan. Ini kerana penawar atau antidote pada keracunan dengan Paracetamol (Panadol) adalah selamat diberi dan tidak memudaratkan.

Penawar bagi keracunan dengan Paracetamol, N Acetyl Cysteine diberikan melalui saluran intra venous. Jika penawar diberikan secepat mungkin, kesan buruk pada hati akan dapat terhindar!

Kerap kali ramai yang mengambil ringan kes keracunan dengan Paracetamol sebab mangsa masih boleh bercakap dan berjalan serta tidak dalam keadaan tidak sedarkan diri. Perkara ini kerana racun ini mengambil masa untuk bertindak.

Oleh itu, jika anda mendapat panggilan atau diberitahu oleh seorang kenalan yang dia akan cuba membunuh diri, jangan anggap ringan perkara ini. Beritahu kepada keluarganya yang terdekat dan bawanya berjumpa dengan profesional yang boleh menolongnya.

Keluarganya bertanggungjawab untuk memastikan dia mendapat rawatan dan kaunseling sewajarnya serta keluarga bertanggungjawab menolongnya dengan apa cara juga pun untuk mengatasi masalah yang sedang melanda mangsa.

Keluarga mangsa perlu banyak bersabar dan menerima hakikat masalah yang timbul serta berlapang dada dalam menanganinya.

Sikap menuding jari kepada orang lain tidak akan membuahkan hasil yang baik. Sebaliknya, saling membantu dan memberi sokongan di antara ahli keluarga dengan semangat kasih sayang akan banyak menyelesaikan bukan saja masalah mangsa, malah mengeratkan hubungan keluarga.

Di sini saya teringat sepotong pepatah yang saya pernah jumpa tetapi tidak tahu asal usulnya: “Apa-apa dugaan yang tidak membunuh kamu akan memperkukuhkan kamu.”



PENULIS adalah doktor perubatan

di klinik persendirian dan boleh dihubungi di e-mel wadah_wjy2k@yahoo.com.