Laman Rabu - WADAH WANITA ISLAM

Wednesday, March 26, 2003

Cabaran wanita untuk lahirkan generasi cemerlang

CABARAN WANITA UNTUK LAHIRKAN GENERASI CEMERLANG

Setiap kali saya bertanya pesakit mengenai kerja mereka, ramai suri rumah menjawab bahawa mereka tidak bekerja. Pada hakikatnya mereka adalah seorang pengurus rumah tangga. Tetapi profesionalkah mereka?
Tugas pengurus rumah tangga tidak pernah habis dari pagi sampai malam. Tanggungjawab mereka berat dan rencam. Justeru, kerja rumah tangga perlu diurus secara profesional. Seorang wanita berkeluarga tidak boleh lari daripada menjadi pengurus rumah tangga walaupun dia seorang yang berkerjaya atau seorang yang professional dalam bidangnya di luar rumah.
Seorang pengurus rumah tangga mempunyai tanggungjawab berat sebagai seorang isteri, ibu (jika mempunyai anak), pengurus rumah tangga dan keluarga. Apatah lagi, jika dia mempunyai kerjaya lain. Justeru, untuk menunaikan pelbagai tanggungjawab ini dengan berkesan, seorang wanita perlukan pelbagai kemahiran dan kecekapan. Mereka juga perlukan sokongan moral suami dan lebih daripada itu, pengorbanan, kerana ia bukan kerja mudah.
Sebagai seorang pengurus, kita harus pandai merancang. Contohnya, merancang masa, mengatur kegiatan harian, mengawal kewangan, mengatur kebajikan serta keperluan suami dan anak-anak.Sediakan masa setiap hari, misalnya 15 minit selepas solat Subuh untuk merancang kegiatan harian.Tetapkan juga satu hari dalam sebulan, contohnya, setiap hari minggu terakhir, untuk merancang kegiatan keluarga, senarai barang keperluan dapur dan rumah serta senarai bil untuk dibayar.
Kita juga perlu melakukan perancangan tahunan. Sebaik-baiknya berbincanglah dengan suami, misalnya, perancangan akademik anak-anak dan jadual peperiksaan, masa untuk balik kampung, atau melancong. Perancangan sangat penting kerana sumber kita sentiasa terhad. Kepentingan perancangan dapat dilihat dalam firman Allah, yang bermaksud: “Wahai orang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang diperbuatnya untuk hari esok(akhirat).” (Surah al-Hasyr: 18).
Sebahagian proses perancangan dan pengurusan rumah tangga ialah merancang keluarga, iaitu merancang masa sesuai untuk hamil dan melahirkan anak. Jika kita tidak merancang, sebenarnya kita merancang untuk gagal. Sebaik-baiknya, berbincanglah suami isteri mengenai batas kemampuan masing-masing untuk memastikan pengurusan rumah tangga dan pendidikan anak-anak lebih teratur dan sempurna.
Jika isteri tidak bekerja, tanggungjawabnya sebagai pengurus dan pendidik di rumah, bukan mudah. Tugas isteri tidak sepatutnya dibebankan dengan kelahiran anak setiap tahun. Suami juga harus prihatin dengan kemampuan isteri mengurus rumah dan anak-anak, sama ada dia seorang yang cekap dan berkesan mengurus, atau sebaliknya. Bantulah dia memilih kaedah merancang keluarga yang sesuai.
Kita perlu ingat bahawa pendidikan anak bukan setakat memenuhi keperluan fizikal iaitu makan dan pakai sahaja, malah keperluan emosi, mental dan rohaniah.
Dalam menangani urusan harian, kita perlu mengambil berat keperluan diri sendiri dan pengurusan diri. Berapa ramaikah di antara kita yang mengurus keluarga dengan baik, tetapi lupa untuk menjaga diri sendiri?
Jagalah masa makan, rehat tidur yang cukup. Makanlah makanan berkhasiat dan seimbang. Minum air secukupnya. Sebaik-baiknya sediakan masa untuk beriadah, misalnya pergi ke kelas aerobik atau berjoging tiga kali seminggu. Selain membantu menghalang kegemukan dan meningkatkan kecergasan, ia juga melambatkan proses pereputan tulang atau ‘osteoporosis’. Sediakan masa untuk diri kita. Uruskan supaya hal rumah tangga dan anak-anak tidak menjadi penghalang.
Kesihatan dan kecergasan diri akan meningkatkan keyakinan diri dan membolehkan kita melaksanakan urusan rumah tangga dan melayan suami dengan lebih berkesan. Sekiranya kita sentiasa letih, kita akan mudah marah dan merungut, serta tidak tenang menghadapi karenah suami dan anak-anak. Jagalah kesihatan kulit, muka dan rambut serta kekemasan dan penampilan diri supaya sedap mata suami memandang dan menjadi contoh kepada anak-anak.
Dalam kegiatan harian, utamakan solat apabila tiba waktu. Tinggalkan apa juga kerja yang sedang dibuat. Biasanya, kita akan menetapkan solat selepas habis membasuh pinggan, cuci kain dan sebagainya. Namun, selalunya ada saja kerja baru timbul dan akhirnya kerja kita tidak beroleh keberkatan Allah, dan urusan rumah tangga pun tidak berjalan lancar. Rancang kerja supaya waktu rehat ada. Gunakan waktu solat untuk berehat dengan mengerjakan solat yang khusyuk dan diikuti membaca al Quran dengan tenang.
Sediakan peralatan rumah tangga yang mampu kita miliki. Misalnya, mesin basuh automatik, ketuhar gelombang mikro dan pembantu rumah. Kesemua ini penting supaya kita boleh menumpukan lebih perhatian kepada kerja pengurusan dan pembinaan keluarga daripada perkara teknikal. Berusahalah mengumpul duit untuk menyediakan kemudahan itu kerana ia membantu keberkesanan pengurusan rumah tangga untuk tempoh panjang. Ia lebih baik daripada menghabiskan duit membeli barang kemas atau pakaian mahal.
Sediakan juga masa untuk pengisian minda dan kegiatan sosial bermanfaat yang boleh meningkatkan ilmu pengetahuan, kemahiran komunikasi dan keyakinan diri. Jangan kita membiarkan diri kita hanyut dalam arus sembang kosong atau mengumpat bersama jiran di tepi pagar.
Pengisian minda dapat membantu kita mengurangkan tekanan perasaan apabila berselisih faham dengan suami atau kecewa dengan kerenah anak. Misalnya, aktiviti perbincangan sesuatu isu seperti pendidikan anak remaja atau kemahiran teknologi maklumat serta komunikasi. Sesi ini boleh diadakan bersama majlis minum petang dengan jiran. Kita boleh menjemput seseorang yang pakar dalam isu itu di kalangan jiran atau kawan lain.
Kegiatan membina begini boleh dikembang dengan membabitkan anak remaja sebagai kegiatan pembinaan remaja. Ini supaya remaja tidak hanyut dengan perbuatan sia-sia. Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum itu hingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka.” (Surah ar Ra’ad : 11). Jika setiap daripada kita menjadi pengurus rumah tangga dan keluarga berkesan, insya Allah setiap institusi keluarga terbina dengan kukuh. Setiap ahli keluarga akan menjadi ahli masyarakat berkesan. Akhirnya, akan terbentuk umat cemerlang.



Oleh: Dr Lily Fariza Karim
26.03.2003

Wednesday, March 19, 2003

Raudhatus Sakinah bantu remaja terlanjur

19/3/03
Raudhatus Sakinah bantu remaja terlanjur
Oleh Azlina Roszy Mohamad Ghaffar

ANITA, 19 tahun (bukan nama sebenar) baru saja tamat peperiksaan akhir Matrikulasi di sebuah universiti awam tempatan. Hatinya melonjak-lonjak ingin bertemu kekasihnya, Herman, 21, (pelajar tahun 2 sebuah institusi pengajian tinggi awam) sebelum balik ke kampungnya untuk bercuti panjang.

Herman terlalu sayangkan Anita dan cuba melamarnya untuk mengikat tali pertunangan. Namun, orang tua Anita menolaknya dengan alasan dia masih belajar dan tidak mempunyai pendapatan tetap. Setelah berjumpa Herman, bas akhir yang ingin dinaiki Anita terlepas, menyebabkan dia terpaksa bermalam di rumah sewa Herman. Lalu berlakulah apa yang sepatutnya tidak berlaku pada seorang gadis belasan tahun yang masih mentah dalam bercinta.

“Saya rasa sangat menyesal kerana tidak tahu apa yang harus dibuat untuk menolak ajakan teman lelaki saya. Dia berjanji akan mengahwini saya, tetapi saya mahu melanjutkan pelajaran dulu”. kata Anita.

Anita mengesyaki dirinya hamil selepas tiga bulan tidak kedatangan haid. Pada masa itu, dia baru saja mendapat keputusan matrikulasi yang melayakkan beliau memasuki kursus yang dikehendakinya. Namun, dia terpaksa menangguhkan dulu pengajiannya apabila diterima masuk ke Raudhatus Sakinah yang akan menguruskan kelahiran bayinya.

Ruzaimah, 23, (bukan nama sebenar) lama bercinta dengan Amir, 22, (bukan nama sebenar) yang tinggal di taman bersebelahan kawasan perumahannya. Percintaan mereka bermula sejak selesai Sijil Pelajaran Malaysia dan diketahui keluarga kedua-dua pihak. Kebetulan, mereka sama-sama dapat melanjutkan pelajaran ke salah sebuah politeknik di Pantai Timur. Hubungan mereka seperti ‘belangkas’ dan diketahui oleh masyarakat kampus. Ruzaimah seorang pelajar pintar dan telah dua kali naik pentas menerima hadiah kecemerlangan pelajaran.

Malang nasibnya, apabila dia hamil akibat pergaulan bebas tanpa batasan, dia dan Amir disingkirkan dari kampus apabila penolong pengetuanya terhidu berita itu. Mereka terpaksa bernikah rahsia kerana ibu bapa Amir melarangnya berkahwin. Kini, Amir terpaksa bekerja di sebuah kedai runcit untuk menampung kehidupan mereka serta bayi yang bakal lahir.

Raudhatus Sakinah, yang menerima kemasukan Ruzaimah, membantu menguruskan perkahwinan mereka dan memberi khidmat kaunseling kepada pasangan remaja itu.

Kisah benar di atas hanya secebis daripada pelbagai kisah pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) terbabit dengan gejala zina akibat pergaulan terlalu bebas tanpa batasan. Sungguh malang dan menyedihkan, mereka yang pintar ini, seharusnya menjadi contoh bagi remaja lain, Namun, disebabkan kejahilan terhadap kesihatan reproduksi, sikap ibu bapa yang terlalu mengongkong dan enggan memahami cinta remaja, serta pergaulan bebas, menyebabkan penyakit sosial ini semakin menular kebelakangan ini.

Statistik Raudhatus Sakinah menunjukkan, 15 peratus daripada pelatihnya adalah pelajar IPT. Namun, kami percaya jumlahnya lebih besar lagi.

Banyak maklumat yang kami terima daripada pelatih bahawa ada rakan mereka yang hamil, pergi ke klinik swasta untuk menggugurkan kandungan dengan hanya membayar sejumlah wang. Alangkah malangnya wang biasiswa yang diterima, digunakan pula untuk tujuan yang terkutuk itu!

Allah berfirman, maksudnya: “Dan janganlah kamu menghampiri zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk. Dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya), melainkan dengan suatu (alasan) yang benar.” (Surah al-Isra : 32-33).

Ayat di atas menunjukkan kaitan zina yang dilakukan dengan kesalahan membunuh, yang biasanya terpaksa dilakukan untuk menutup malu. Relakah kita melihat remaja kita menanggung dua dosa besar yang dilakukan? Kepada adik-adik remaja yang terlanjur, bertaubatlah segera dengan taubat nasuha. Hentikan segala tindakan yang akan membawa kepada berlakunya zina sekali lagi.

Islam mengharuskan hubungan halal di antara lelaki dan wanita melalui perkahwinan. Malah, Islam menganggap perkahwinan sebagai sebahagian daripada amal salih dan ibadat kepada Allah. Islam mahu menjadikan perkahwinan itu, satu pekerjaan yang mudah dibuat dalam masyarakat serta menjadikan zina itu sebagai pekerjaan paling sukar dilakukan.

Kerana itu, Islam menggariskan konsep hijab yang juga kod etika atau pedoman bagi lelaki dan wanita berurusan dalam masyarakat.

Sistem hijab menekankan kepada menjaga batas pergaulan, adab berpakaian di kalangan ahli keluarga lelaki dan perempuan, dan adab menutup aurat di hadapan mereka yang halal dinikahi. Ia juga menekankan supaya menjauhi diri daripada syahwat yang tersembunyi, dengan cara menundukkan pandangan terhadap media lucah, pandangan berahi dan pendedahan aurat.

Remaja harus dididik supaya bertanggungjawab di atas segala tindakan mereka, yang akan memberi kesan pada kemudian hari. Sekali mereka terjebak, kesudahannya penyesalan sepanjang hayat! Apakah kesan bagi remaja IPT ini apabila berlaku kehamilan di luar nikah?

1. Mereka dibuang dari IPT atau digantung pengajian. Bayangkan perasaan malu yang menimpa serta masa depan yang gelap! Mereka juga terpaksa bekerja dengan kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia saja.

2. Mereka menggugurkan kandungan dan dalam keadaan jahil, berterusan melakukan zina, hingga ada yang telah berkali-kali ke klinik untuk melakukan pengguguran! Perlu ditegaskan, melakukan pengguguran berulang kali dalam tempoh terdekat pada usia remaja boleh menyebabkan kerosakan kepada sistem reproduksi dan mendatangkan pelbagai komplikasi pada masa depan.

3. Menghidap penyakit kelamin seperti herpes, sifilis dan Aids. Ini biasa berlaku kepada remaja perempuan yang berpasangan dengan lelaki dewasa yang sering pula bertukar-tukar pasangan.

4. Dibuang keluarga yang malu akibat perbuatan aib mereka.

5. Terpaksa bernikah secara tergesa-gesa tanpa persediaan mental dan emosional yang stabil.

6. Mengalami penderitaan emosi, terutama apabila si lelaki tidak mahu bertanggungjawab atau menghilangkan diri.

7. Gangguan mental juga dialami remaja perempuan apabila memikirkan masa depannya yang gelap.

Raudhatus Sakinah kerap menerima kes di mana ibu bapa masih enggan menikahkan anak mereka yang terlanjur atas alasan anak terlalu muda, masih lagi belajar dan belum bekerja. Apakah pekerjaan lebih penting dari bertanggungjawab atas dosa yang dilakukan?

Ibu bapa pelajar lelaki juga didapati ‘mengajar’ anak lelaki mereka agar jangan mengaku, sebaliknya menyalahkan remaja perempuan yang mengandung, dengan tuduhan yang tidak wajar. Ini menyebabkan pernikahan tidak dapat diteruskan dan usaha menyelesaikan masalah pasangan itu menemui jalan buntu, sedangkan mereka sudah benar-benar insaf dan mahu bertanggungjawab.

Kami ingin meminta sekalian ibu bapa agar bersikap prihatin dan memahami remaja. Sekiranya anda melarang mereka daripada berkahwin ketika masih menuntut, nyatakan secara jelas sebabnya dan keprihatinan anda. Jangan galakkan mereka bertemu dan seterusnya hanyut dalam hawa nafsu.

Sekiranya mereka meminta izin untuk berkahwin demi mengelakkan maksiat, itulah yang sebaik-baiknya. Mudah-mudahan dengan berkat restu dan doa anda sebagai ibu bapa, keberkatan dan rahmat Allah akan melimpah dalam kehidupan mereka.





l RAUDHATUS Sakinah menawarkan bantuan kaunseling siber kepada remaja bermasalah dan boleh dihubungi e-mel raudhatus_sakinah@yahoo.com

PENULIS adalah sukarelawan Raudhatus Sakinah.

Wednesday, March 12, 2003

Batas pergaulan lelaki, wanita ketika bekerja

12/3/03
Batas pergaulan lelaki, wanita ketika bekerja
Oleh Umi Kalthum Ngah

ADAKAH wanita berkerjaya memahami batas pergaulan seharian agar kerja mereka mendapat pahala dan rumah tangga kekal terpelihara.

Timah (bukan nama sebenar) dan Ahmad (bukan nama sebenar) bekerja di pejabat yang sama, tetapi di bahagian lain. Timah dan Ahmad walaupun bukan suami isteri begitu intim dalam dan luar pejabat.

Mereka sebenarnya sudah berumah tangga dengan pasangan masing-masing. Pernahkah kita terdengar atau melihat fenomena begini?

Mungkin ada atau mungkin tidak. Tetapi apa pun, perhubungan seperti ini bukanlah perkara baru.

Mengapa boleh berlaku begini? Kadang kala keadaan yang memungkinkan berlakunya fenomena demikian wujud tanpa disedari.

Kerja bertimbun memaksa wanita berada di pejabat lebih daripada waktu biasa. Selalunya akan ada seorang dua rakan yang sama-sama dalam urusan kerja itu atau bos yang terpaksa memberi tumpuan untuk menghabiskan kerja mendesak.

Bayangkan sekiranya rakan atau bos itu seorang lelaki. Sedikit sebanyak interaksi dan ruang lingkup kerja sebegitu, jika wanita pula tidak berhati-hati, maka amat malang baginya.

Mula-mula mungkin keluar makan bersama atau makan nasi bungkus di pejabat. Kemudian, timbul rasa selesa bersama dan menjadi tempat luahan hati pelbagai masalah.

Jika wanita tidak pandai menjaga diri, tentu akan melarat sehingga menimbulkan bibit perhubungan yang tidak diduga. Kisah dua insan ini mungkin berlarutan dan begitu ketara sehingga menjadi bahan bualan di pejabat.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa wanita penyumbang sumber tenaga manusia yang besar dalam pembangunan negara.

Wanita memang perlu berganding bahu dalam melaksanakan tugas, di samping tidak mengabaikan tugas asasi di rumah.

Oleh itu, wanita berkerjaya harus mengetahui beberapa perkara sebelum ia memegang sebarang jawatan.

Di samping itu, lelaki perlu memahami adab pergaulan kerana menjaga adab pergaulan lelaki dan wanita adalah tanggungjawab bersama. Tetapi sebagai wanita cerdik dan bijaksana, kita perlu melakukannya kerana kalau bukan kita yang mulakannya, siapa lagi. Kita boleh mengawal diri tetapi tidak boleh mengawal apa yang ada dalam diri orang lain. Oleh itu kita mulakan dengan diri kita dulu.

Beberapa panduan berikut harus jelas difahami.

- Niat ikhlas kerana keredaan Allah.

Wanita berkerjaya harus mengikhlaskan niat dan meletakkan tumpuan mengapa dia memegang sesuatu jawatan. Ini kerana ingin mendapat keredaan Allah dengan berhubung terus dengan masyarakat dan melaluinya boleh dijadikan 'role model' seorang Muslimah sejati.

- Isteri dihormati.

Wanita berkerjaya harus sentiasa menjaga akhlaknya sebagai seorang isteri setia dan berperibadi tinggi. Jangan sekali-kali mengkhianati keizinan suami untuk melakukan perkara yang boleh menimbulkan fitnah.

Perlu diingat bahawa bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Kuasa untuk mengatakan tidak berada di tangan wanita itu. Jika berlaku gejala gangguan seksual, banyak cara dan saluran yang boleh dilakukan untuk mengatasinya.

- Ibu yang dimuliakan.

Wanita berkerjaya yang mempunyai anak, tentunya tahu apa itu perasaan kasihan belas, sifat timbang rasa, pemaaf dan berhikmah apabila berbicara. Sebaik mungkin sifat keibuan ini jelas terpancar dalam tindak tanduk berurusan sama ada dengan rakan setugas, orang bawahan mahupun orang luar pejabat.

Dengan itu akan timbul rasa hormat dan jika ini berlaku, pekerja bawahan terutamanya akan senang untuk melakukan tugas secara suka dan rela tanpa perlu dipaksa dan diarah-arah. Pendek kata, jadilah ibu yang boleh dijadikan contoh dalam hal pendidikan, pembentukan akhlak dan tempat rujukan dalam hal menangani masalah berkaitan dengan anak-anak.

- Kerjaya bukan jalan keluar mengatasi kebosanan.

Malang jika wanita berkerjaya beranggapan bahawa dia bekerja untuk mengelak atau melarikan diri daripada tugas suri rumah yang dianggapnya membosankan.

- Kedudukan di sesuatu tempat kerja adalah aset.

Wanita yang mempunyai kedudukan dalam organisasinya perlu sedar bahawa dia memang boleh diharap dan mempunyai mutu kerja tinggi. Ini bermakna organisasinya akan kehilangan seseorang yang berharga jika dia tiada.

- Perlu ada suasana nasihat menasihati.

Masyarakat seharusnya memberi perhatian dan perlu memberi kata-kata nasihat. Oleh itu, wanita perlu ada rakan wanita lain yang ikhlas nasihat-menasihati.

- Jagalah sepenuhnya agar tidak berada dalam suasana yang menyebabkan fitnah iaitu menimbulkan curiga.

Kadang kala wanita lain agak cemburu dan selalu suka menjatuhkan di antara satu sama lain. Paling tidak, ada yang suka melihat perkara sumbang ini berlaku dan menjadikan rakan sebagai bahan bualan.

Kita harus menjauhi wanita yang tidak boleh dibuat kawan seperti ini.

- Wujudkan persekitaran komunikasi yang baik dalam rumah tangga

Peranan suami juga tidak kurang pentingnya. Suami memang sibuk dengan urusannya. Adakah suami wanita berkerjaya mengambil berat dan suka mendengar luahan rasa hati isteri? Oleh itu, komunikasi rumah tangga menjadi keutamaan. Suami isteri harus dapat menyelami sanubari masing-masing tanpa perlu mencurahkannya kepada orang lain, apatah lagi suami atau isteri orang. Suami isteri kenalah semarakkan semula api cinta yang terbenam dalam sekam dimamah usia perkahwinan. Jadilah teman berbicara dan telinga yang mendengar untuk pasangan masing-masing.

Perkara di atas jika dapat dihayati oleh wanita dwikerjaya, maka Allah akan memberi keredaan kepadanya.


PENULIS adalah pensyarah Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Universiti Sains Malaysia. Beliau boleh dihubungi melalui e-mel wadah_wjy2k@yahoogroups.com

Wednesday, March 05, 2003

Ibu bapa, guru prasekolah wajar bekerjasama

5/3/03
Ibu bapa, guru prasekolah wajar bekerjasama
Oleh Zulaina Mohd Zawawee

ADI berusia empat tahun, belajar di sebuah tadika. Ibunya membekalkannya kuih dan sebotol susu. Makanan yang dibawa tidak habis dimakan, lalu disimpan semula dalam beg.

Keesokannya guru mendapati Adi membawa semula makanan itu dan berkongsi dengan rakannya. Alhamdulillah guru menyedari keadaan ini. Dia memberitahunya bahawa kuih itu basi dan menggantikannya dengan yang baru.

Begitulah di antara kisah yang perlu dijadikan iktibar. Ibu bapa mesti meluangkan masa ‘menjenguk’ beg sekolah anak dari semasa ke semasa untuk memastikan mereka tidak menghadapi sesuatu yang tidak baik.

Pendidikan prasekolah adalah fasa muqadimah kepada tahap pendidikan bagi seseorang anak. Ia seperti meletakkan batu asas untuk sebuah bangunan.

Falsafah pendidikan prasekolah menekankan kepada membimbing kanak-kanak mencapai potensi cemerlang dalam aspek kognitif, sosio-emosi, fizikal, estetika dan moral. Dalam erti kata lain, pendidikan prasekolah adalah proses persediaan menyeluruh kanak-kanak sebelum melangkah ke alam persekolahan sebenar. Ia melalui proses bimbingan jauh sekali daripada ciri paksaan, deraan atau tekanan .

Hakikatnya, tidak semua ibu bapa, pengusaha tadika dan guru prasekolah mengetahui dan memahami, apatah lagi menghayati falsafah yang didukung itu.

Kita harus sedar, anak-anak adalah individu unik yang mempunyai potensi, kemampuan dan kebolehan tersendiri. Howard Gardner, dalam teori ‘multiple intelligence’ berpendapat bahawa setiap orang dikurniakan potensi berbeza dalam fitrahnya. Mengikut Gardner, potensi manusia mempunyai tujuh kecerdasan dalam dirinya iaitu kecerdasan linguistik , logikal-matematikal, visual ruang, muzik, tubuh kinestetik, interpersonal dan intrapersonal.

Kecerdasan dalam diri anak-anak ini mestilah dikenal pasti dari awal dan diberi peluang untuk berkembang serta dapat dimanfaati oleh masyarakat, negara dan dunia.

Sesungguhnya manusia yang baik itu adalah seseorang yang boleh memberi manfaat kepada diri sendiri dan orang lain.

Tunggak kepada proses mencapai keseimbangan potensi yang optimum ini terletak di bahu kerajaan, pengurus tadika dan ibu bapa. Kerajaan menggariskan kurikulum seimbang sebagai panduan pengajaran dan pembelajaran.

Kesedaran terhadap kepentingan pendidikan prasekolah ini harus ditingkatkan dengan mengadakan seminar untuk guru prasekolah, menawar dan mengiktirafkan kursus sepenuh masa, separuh masa atau Pendidikan Jarak Jauh sama ada di peringkat sijil, diploma, ijazah, sarjana mahupun doktor falsafah bagi memartabat dan meletakkan bidang prasekolah setaraf dengan bidang atau kursus lain.

Bagaimanakah, kita hendak melahirkan generasi berilmu dan berakhlak mulia, sedangkan ‘jentera’ (guru) untuk memproses dan membimbing kanak-kanak ini tidak dilengkapkan dengan ilmu yang sepatutnya.

Guru prasekolah mestilah mempunyai sifat penyayang, belas kasihan, komited dan minat dalam bidang kerjaya ini.

Tidak semua orang sanggup melayani kerenah kanak-kanak yang datang dari pelbagai latar belakang, sosio-ekonomi dan budaya. Hanya guru yang mempunyai berniat ikhlas, sabar dan berilmu dapat ‘bertahan lama’ di prasekolah atau tadika.

Persediaan kegiatan yang pelbagai dalam pengajaran dan pembelajaran harus dirancang dan dibuat lebih awal dengan mengambil kira semua domain yang diperlukan. Kadang-kadang guru mendapati sesetengah kanak-kanak lambat memahami pelajarannya. Harus diingat bahawa kanak-kanak melalui kadar pertumbuhan dan perkembangan berbeza.

Kegiatan kreatif, suasana dan persekitaran yang diwujudkan guru boleh menjadi pemangkin kepada motivasi kanak-kanak.

Ibu bapa adalah sekolah utama dan pertama dalam pendidikan kanak-kanak. Berpegang kepada pesanan Rasulullah ‘tuntutlah ilmu sejak dari dalam buaian hingga ke liang lahad’, wajarlah ibu bapa dan guru prasekolah serta kanak-kanak bekerjasama demi mewujudkan generasi berkualiti dan bertakwa.

Dalam konteks prasekolah, guru dan ibu bapa adalah rakan. Jadi tidak wajar semua beban mengasuh, membimbing dan mendidik diserah kepada pihak tadika sepenuhnya.

Kerap kali kedengaran keluhan guru kerana ibu bapa tidak mahu membabitkan diri dalam kegiatan prasekolah.

Pendidikan adalah proses berterusan sama ada formal atau tidak formal. Oleh itu, rumah juga tidak terkecuali daripada menyediakan suasana dan persekitaran yang merangsang perkembangan harmoni kanak-kanak.

Ibu bapa perlu melengkapkan diri dengan ilmu dalam seni dan sains membimbing dan mendidik anak-anak. Ini dapat membantu mereka untuk lebih memahami peranan masing-masing, meningkatkan kemahiran dan membentuk sikap positif kepada kemurnian perkembangan anak-anak.