Laman Rabu - WADAH WANITA ISLAM

Wednesday, December 25, 2002

Bermaafan hapus dosa sesama insan

25/12/2002
Bermaafan hapus dosa sesama insan
Oleh Dr Hafidzah Mustakim

AIDILFITRI kali ini bermakna bagi kami sekeluarga. Di antara yang paling
bergembira adalah kedua-dua orang tua saya.

Buat pertama kalinya selepas sekian lama, semua anak mereka yang sepuluh
orang bersama 26 cucu berkumpul berhari raya bersama di Shah Alam, Selangor.

Malam itu, kami bertakbir memuji kebesaran Allah bersama dengan kumpulan
takbir dari masjid berhampiran. Takbir yang biasanya dibacakan di negara
ini dengan penuh sayu itu mengandungi puji-pujian kepada Allah sempena
merayakan hari kemenangan menjalani latihan mendidik hawa nafsu pada Ramadan.

"Di negara Arab , takbir dibacakan dengan penuh semangat" ujar seorang
kawan yang pernah belajar di sana. Ummi dan kakak yang sibuk memasak di
dapur tidak ketinggalan memuji kebesaran Allah sambil mengacau rendang dan
memasak ketupat.

Malam itu anak-anak saya tidur jam 3 pagi kerana terlalu seronok berjumpa
dan berbual-bual dengan sepupu mereka. Jarang sekali mereka dapat menikmati
suasana sedemikian dan saya kira inilah di antara detik peristiwa yang akan
mengeratkan lagi hubungan mereka.

Pertemuan seperti ini penting dalam keadaan persekitaran keluarga moden
yang kian berubah. Kami tidak lagi duduk sekampung berjiran tetangga,
rayalah hari pertemuan adik beradik yang duduk berjauhan masing-masing di
perantauan sejauh Sabah dan Kelantan.

Esoknya, selepas menjamah sedikit juadah yang disunatkan makan sebelum
solat Hari Raya, kami ke masjid.

Masjid pagi itu penuh sesak dengan jemaah yang melimpah ke luar masjid.
Mujurlah ada khemah yang disediakan di perkarangan masjid. Kalau tidak
kepanasan jemaah disinari mentari pagi itu.

Dalam kegembiraan berhari raya teringat saya akan saudara seIslam di tempat
lain yang dihalau dari kediaman dan tanah air sendiri. Kita bersuka ria,
sedangkan mereka dihujani peluru. Saya menguatkan azam untuk menyambut
seruan perpaduan kerana Allah dengan memulakan usaha mengeratkan hubungan
kekeluargaan tahun ini.

Sekembali dari masjid, kami sekeluarga meneruskan tradisi bermaaf-maafan
secara formal yang diamalkan turun temurun sejak arwah nenek dan datuk
dulu. Bagi yang boleh berbahasa Jawa, ada teks khas yang dilafazkan
merangkumi ucapan memohon maaf yang terdulu dan akan datang, minta
dihalalkan makan dan minum dan sebagainya. Kami akan duduk dalam bulatan
besar. Bermula dengan kakak yang sulung masing-masing kami anak menantu dan
cucu memohon maaf daripada ummi (ibu) dan abuyah (ayah) serta sesama kami
seorang demi seorang.

Sesi ini meninggalkan kesan yang begitu positif dan melegakan jiwa. Segala
yang terbuku di hati dicurahkan, biasanya diiringi deraian air mata. Ada
juga yang mengambil kesempatan menyatakan azam selepas raya ini. Hasilnya
terasa ikatan persaudaraan bertambah erat.

Anak saya yang kecil bertanya: "Ummi, kitakan merayakan kemenangan, mengapa
mesti memohon maaf?" Ye tak ye juga! Kenapa bermaafan ye? Sedang saya
tertanya-tanya, seorang sahabat karib menunjukkan saya sebuah hadis Nabi
riwayat Bukhari dan Muslim dari Huzaifah dan Anas yang menjadi landasan
kepada amalan bermaafan ini.

Kisah ini berlaku pada diri Rasulullah saw dan sahabatnya. Saat itu malam
Aidilfitri seperti biasanya baginda dan sahabat membaca takbir dan tahmid
di Masjidil Haram. Saat sedang bertakbir, tiba-tiba Rasulullah keluar dari
kelompok dan menepi ke arah dinding. Kemudian Rasulullah mengangkat
kedua-dua tangannya (seperti orang berdoa). Ketika itu Rasulullah
mengatakan amin sampai tiga kali.

Selepas baginda mengusapkan kedua-dua tangan pada mukanya (seperti orang
selesai berdoa ) sahabat mendekat dan bertanya: "Ya Rasulullah saw apa yang
berlaku sehingga engkau mengangkat kedua-dua belah tanganmu sambil
mengatakan amin sampai tiga kali?" Jawab Rasulullah:" Tadi saya didatangi
Jibril dan meminta saya mengaminkan doanya?" Apa gerangan doa yang
dibacakan Jibril itu ya Rasul?" tanya sahabat kemudian Rasul menjawab:
"Kalau kalian ingin tahu inilah doa yang disampaikan Jibril dan saya
mengaminkan?:

l Ya Allah ya Tuhan kami, janganlah diterima amal ibadah kaum Muslimin
selama Ramadan apabila dia masih bersalah kepada orang tuanya dan belum
dimaafkan? Rasulullah mengatakan "amin."

l Ya Allah ya Tuhan kami, janganlah diterima amal ibadah kaum Muslimin
selama Ramadan apabila suami isteri masih berselisih dan belum saling
memaafkan? Rasul mengatakan "amin."

l Ya Allah ya Tuhan kami, janganlah diterima amal ibadah kaum Muslimin
selama Ramadan apabila dia dengan tetangga dan kerabatnya masih berselisih
dan belum saling memaafkan? Rasul mengatakan "amin."

Begitulah rupa-rupanya...bermaaf-maafan bukan saja-saja. Kita diperintah
untuk bermaaf-maafan terutama kepada tiga golongan iaitu ibu bapa, suami
isteri dan kerabat serta jiran sebagai syarat untuk puasa dan amal ibadah
pada Ramadan diterima Allah.

Cantik sungguh ajaran Islam. Saya percaya kalau semua umat Islam
bersungguh-sungguh memohon maaf sesama kita saban tahun dalam konteks
mencari reda dan kasih sayang-Nya , tiada lagi kes bermusuh-musuhan, dendam
berdendam dan kita semua akan hidup aman dan harmoni.

Bertitik tolak dari sinilah kita dianjurkan untuk kunjung-mengunjung pada
Syawal ini.

Selain merapatkan hubungan, kita bermaaf-maafan supaya dosa sesama insan
ini terhapus dan boleh meneruskan kehidupan dalam keadaan fitrah suci lagi
bersih.

l Penulis adalah seorang doktor perubatan. Sebarang maklum balas sila e-mel
wadah_wjy2k@y...

Wednesday, December 18, 2002

Antara dua kecintaan

18/12/02
Antara Dua kecintaaan
Oleh
Norhayati Siddikah bt Abu Bakar

Alhamdulillah, bagi orang-orang yang telah Allah cukupkan keperluannya maka pada hari ini mereka beramai-ramai sedang menjadi tetamu Allah di Baitullah ,Makkah Al Mukarramah.

“Orang yang mengerjakan haji dan melakukan umrah adalah tetamu Allah. Jika mereka berdoa nescaya Allah menerima doa mereka dan jika mereka memohon ampun nescaya Allah mengampuni mereka”
(diriwayatkan al Nasai, Ibnu Majah, Ibnu Khuzaimah, dan Ibn Hibban daripada Abu Hurairahr.a)
.
Ibadah haji adalah ibadah yang paling agung. Ia merupakan manifestasi keimanan seseorang . Puncak ketaatan seorang Hamba kepada Tuhannya.

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman hanyalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan rasulNya kemudian mereka tidak ragu-ragu dan berjihad dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah, mereka itulah orang-orang yang benar”
(al Hujurat:15)

Sabda Nabi Muhammad SAW: “Haji adalah jihad yang paling besar”

Jihad membawa erti pengorbanan,yakni pengorbanan yang bukan sedikit ,dilakukan semata-mata kerana Allah. Tidak dapat tidak tetamu Allah ini perlu mengorbankan harta yang banyak,masa yang panjang ,kerehatan yang sedikit dan perasaan ketika melangkah ke Baitul Allah.

Bagi kebanyakan orang,peluang untuk menjadi tetamu Allah ini hanyalah sekali seumur hidup. Maka wajarlah haji yang pertama dan wajib ini dijaga dan diperlakukan bersungguh-sungguh dengan tenaga zahir,tetapi disertai dengan keimanan dan ketaqwaan,penuh keikhlasan dan kesabaran serta menuntut keredaan Allah .Idamkanlah haji yang mabrur dan bukan haji yang mardud.

Haji mabrur adalah haji yang diterima , diberi ganjaran pahala dan dijaminkan syurga manakala haji mardud adalah haji yang ditolak,menjadi sia-sia dan kerugian semata-mata.

Sayangnya, sejak akhir-akhir ini perlakuan ibadah haji dan kurban yang dilakukan oleh tetamu-tetamu Allah ini tidak turut dihayati oleh umat Islam yang lain. Malah satu budaya baru sedang hebat disambut oleh ramai orang Islam di seluruh dunia. Iaitu budaya baru menyambut Hari Kekasih atau Valentine’s Day .

Pada tahun ini tarikh yang dianggap keramat 14 Februari 2003 akan jatuh bertepatan pada hari Jumaat bersamaan 12 Zulhijjah atau Hari Tasyrik ke 2. Ketika Allah sedang meraikan berjuta-juta tetamu Nya di Mina bagi menyempurnakan ibadat melontar di 3 Jumrah maka sibuklah juga pasangan yang sedang berkasih-kasihan memperbaharui ikrar cinta mereka.Jika ibadat melontar ini diwajibkan Allah ke atas jemaah haji bagi memperingati bagaimana Nabi Allah Ibrahim a.s pernah melontar syaitan yang cuba menggagalkan usaha nya untuk menyempurnakan ibadatnya kepada Allah maka, dimasa yang sama juga syaitan berlumba-lumba menyesatkan anak-anak Adam di mana saja.

Ketika hari dimana Nabi Allah Ismail a.s pernah menyerahkan lehernya untuk dikurbankan tanda kepatuhan kepada Allah atas nama cinta juga ramai pasangan yang sanggup mengurbankan maruah diri dan agama atas nama cinta.Sesungguhnya penyembelihan kurban adalah sunnat muakkad bagi yang mampu dan wajib jika dinazarkan.

Jadi adakah wajar Hari Valentine ini disambut oleh umat Islam? Budaya asing ini semakin popular dan kian menular ke dalam masyarakat Islam di Malaysia. Jika kita berjalan-jalan di Kompleks Membeli-belah kelihatan simbol hati yang besar dipamerkan dimana-mana. Penanam bunga di Cameron Highlands kabarnya menghadapi masalah membekal kuntuman-kuntuman mawar segar untuk memenuhi permintaan para kekasih yang sedang bercinta. Media cetak dan elektronik turut menyediakan ruangan ucapan ,SMS dan peraduan bagi menggalakkan masyarakat melahirkan perasaan kasihsayang mereka.

Ia seolah-olah satu hari yang amat penting. Pada hari ini lafaz kasih-sayang diucapkan dan diperbaharui.Tidak ketinggalan juga budaya bertukar-tukar hadiah.. Maka berebut-rebutlah para usahawan mencipta dan menjual pelbagai cenderamata yang berlambangkan hati yang merah membara. Hotel-hotel, restoran dan pusat-pusat peranginan turut sama mempergiatkan promosi untuk sambutan tersebut. Antaranya mengadakan jamuan malam dengan hanya disinari kerdipan lilin. Bagi pasanagan yang ingin meraikannya dalam suasana mewah dan sungguh romantik pelbagai pakej ditawarkan. Contohnya bermalam di hotel dengan sarapan pagi percuma atau hi-tea bersama pasangan dan dihiburkan pula oleh artis-artis terkenal dari dalam dan luar negara.

Ratusan , ribuan dan mungkin jutaan ringgit akan dilaburkan bagi memenangi sekeping hati. Amatlah malang sekali jika sambutan ini turut diraikan oleh pasangan Islam yang belum diijabkabulkan. Sungguh bermakna rasanya hati pada hari tersebut,masing-masing dibuai arus “Happy Valentine Day.” Malah kian ramai pasangan Islam yang sanggup menunggu hari tersebut untuk melamar pasangan masing-masing atau bangga jika melakukan ijab dan kabul pada hari tersebut.

Persoalannya perasaan cinta, kasih dan sayang yang dilafazkan pada hari tersebut adakah benar-benar ikhlas dan paling penting menepati tuntutan syariah?Sayang menyayangi adalah fitrah semua insan. Perlu diingati bahawa silaturrahim dalam Islam adalah diutamakan.Penerapan nilai kasihsayang dalam Islam adalah menyeluruh, tidak hanya sesama insan malah kepada seluruh isi alam..

Mungkin kepada ibu yang mempertarung nyawa melahirkan, bersengkang mata saban malam menjaga anak yang kesakitan, ataupun kepada si ayah yang saban hari mencari rezeki hingga sanggup meredah lautan bergelora mencari sesuap nasi buat keluarga di rumah. Tidak salah kita jika ingin menyatakan dan membuktikan kasih sayang kepada seseorang yang disayangi. Tetapi mestilah menepati batas-batas yang telah Islam ajarkan.

Dalam lipatan sejarah kita pernah diceritakan tentang seorang musafir yang dijanjikan syurga hanya kerana sifat kasihannya terhadap seekor anjing yang kehausan. Beralaskan kasutnya ia telah menceduk sedikit air dan memberikan kepada anjing tersebut. Alangkah tingginya nilai kasih sayang yang tersemai dijiwa.Kasihsayang bukan boleh diukur seperti berapa bintang hotel yang dijejaki atau berapa kuntuman mawar merah yang diberi,tetapi ia adalah ukuran antara perasaan dan jiwa yang murni.

Kerana sifat kasih sayang inilah para rasul sanggup dihina , dicerca ,disiksa dan dibunuh ketika menyampaikan dakwah kepada ummat mereka. Kerana sifat kasihsayang inilah Allah sentiasa melimpahkan rahmatNya kpd seluruh umat manusia tanpa mengira agama dan bangsa. Tanpa sifat inilah juga kita melihat pihak yang berkuasa sanggup menindas puak yang lemah. Negara yang kaya dan gagah sanggup melancar serangan ke atas negara yang miskin dan lemah.

Namun budaya memperatkan kasihsayang pada Hari Kekasih atau Valentine’s Day bukanlah budaya Islam dan tiada hubungan langsung dengan ajarannnya.

Valentine atau Valentino adalah nama seorang paderi Kristian yang sangat berpengaruh dan giat menyebarkan ajaran Kristian. Pada masa itu Rom diperintah oleh Claudius II, baginda memenjarakan ramai orang Kristian kerana mengamalkan ajaran yang bertentangan dengan agama yanag dianutinya. Paderi Velentino tidak terkecuali.

Meskipun di dalam penjara Valentino tetap menyebarkan agamanya kepoada banduan-banduan di penjara. Kegiatan ini akhirnya diketahui oleh oleh Raja Rom. Lalu diperintahkan disiksa dan dibunuh pada 14 Februari, 296M. Orang Kristian menganggap paderi ini orang yang mulia, sanggup berkorban dan mati kerana mempertahankan agama Kristian.

Jesteru besarnya pengorbanan Valentino beliau di beri gelaran Saint atau St . Kedudukannya sama dengan Jesus yang mati disalib kerana menebus dosa yang dilakukan oleh penganutnya.Pada tahun 350M sebuah gereja dibina berhampiran kuburnya,

Dari sumber lain juga didapati ketika di dalam penjara Valentino jatuh cinta dengan seorang anak pegawai penjara. Kesalahan ini menyebabkan beliau boleh dibunuh,tetapi sebelum dibunuh Raja Claudius II memberi dua pilihan .Meninggalkan agama Kristian atau dibunuh. Namun beliau lebih rela dibunuh tetapi sebelum itu beliau sempat menulis surat cinta kepada gadis tersebut dengan menurunkan tanda tangan “From Your Valentine”.

Sejak peristiwa itu orang Kristian mengambil sempena 14 Februari setiap tahun untuk merayakan hari kasih sayang bagi memperingati kematain St Valentine.Idola kesayangan mereka.

Jadi adakah wajar kita sebagai orang Islam turut merayakan hari tersebut? Tambahan pula pada tahun ini ia jatuh pada hari Tasyrik iaitu pada hari kita masih lagi dituntut melafazkan takbir dan tahmid tanda membesar dan memperagungkan Allah disamping melakukan penyembelihan kurban . Adakah wajar ketika saudara-saudara kita di Mina sedang mempertaruhkan nyawa untuk mencari redha Allah kita sanggup membiarkan diri kita hanyut dek runtunan syaitan dan hawa nafsu?

Firman Allah:

“ Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsu sebagai Tuhannya? Dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmunya dan meletak tutupan hati penglihatannya. Maka siapakah yang akan memberinya petunjuk sesudah Allah membiarkanya sesat ? Maka mengapa kamu tidak mengambil pengajaran?”

al:Jasiah:23

Sepatutnya gambaran-gambaran perlakuan ibadah haji membantu mengingatkan kita kepada kematian. Seawal melangkah kita memakai pakaian putih.Seolah-olah mengambarkan bahawa kita akan mati.Maka berjalanlah kita di lapangan terbang dan diperiksa satu persatu seolah-olah disoal Mungkar dan Nakir di dalam kubur.

Bila tiba di Jeddah pula, berbondong-bondong kita bersama ramai lagi saudara-saudara kita dari lain negara,ia mengingatkan kita kepada detik kita keluar dari kubur masing-masing. Dari Jeddah, kita berhimpun pula di Mekah, Padang Arafah, Muzdhalifah dan Mina. Perhimpunan ini mengambarkan kepada kita keadaan manusia berhimpun di Padang Mahsyar dimana kita akan dihitungkan segala amalan semasa hidup di dunia.

Kesukaran demi kesukaran terpaksa ditempuh ,berasak-asak dan berebut-rebut kerana terlalu ramainya manusia yang ingin mencari perlindungan. Jika di Padang Arafah kita masih mampu berteduh di bawah khemah, pokok-pokok dan payung-payung,tetapi di Padang Mahsyar sudah pasti tidak akan ada sebarang perlindungan melainkan mereka yang dipilih Allah untuk bernaung di bawah naungan Al qur’an dan Al Arasyh sahaja.

Sesungguhnya, pengajaran dari perlakuan ibadat haji dan kurban sememangnya banyak. Perlu diingat, mulianya kita ummat Islam ini selagi kita sanggup berkurban menjunjung syariat Allah .Andainya budaya-budaya lain kita terima dan akur tetapi budaya yang diajarkan Al Qur’an dan rasulullah kita ketepikan sampai bila-bila pun ummat Islam tidak akan mampu mencapai darjat ummat yang terbaik dan terpilih yang dijanjikan Allah.

Kepada pasangan kekasih sayugia diingatkan janganlah sampai kita sanggup melakukan kurban untuk perkara keji dan mungkar. Usahlah terdera dalam jerat percintaan sesungguhnya kembalilah kepada tatacara yang telah Islam gariskan.Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat .

“Wahai orang-orang yang beriman,ingatlah Allah sebanyak-banyaknya,dan bertasbihlah akan Allah pada waktu pagi dan petang. Dia beserta malaikat-malaikatNya tentu memberi rahmat kepadamu.,dikeluarkan kamu dari kegelapan kepada cahaya yang terang. Dan,Dia Maha Penyayang kepada orang-orang yang beriman”

al Ahzab:41-43

Penulis adalah Sukarelawan Dakwah

Thursday, December 12, 2002

Hapuskan tabiat suka beri alasan

12/12/02
Hapuskan tabiat suka beri alasan
Oleh Sabariah Faridah Jamaludin


MEMBERI alasan adalah suatu tabiat negatif yang seharusnya dihapuskan dalam
hidup setiap insan. Manusia sering memberi pelbagai alasan dalam perkara yang
sebenarnya dia tidak suka atau tidak mahu melakukannya.

Boleh dikatakan manusia membesar dengan memberi pelbagai alasan ‘kreatif’.
Manusia juga memberi pelbagai alasan pada Allah di akhirat kelak seperti yang
diceritakan pada kita dalam al-Quran.

Alasan yang sering didengar apabila diberi satu tugasan adalah seperti berikut:

“Tak bolehlah...” “Takutlah...” “Aku tak mampu...” “Saya kurang
berpengalaman...” “Ini bukan bidang saya...” “Eh, aku ni dah tua...” “Tapi saya
masih muda lagi...” “Aaa...sibuklah” “Tak cukup masa, tak ada masa...” “Tak
cukup duit...” “Kami dah bincang, tapi...”

Alasan yang disenaraikan di atas adalah sangat membosankan apabila kita
mendengarnya setiap hari, keadaan dan gerak kerja.

Alasan itu jika selalu diucapkan akan menjadi tabiat yang sebati dalam diri dan
akan membentuk rupa diri atau personaliti yang bertentangan dengan kehendak
Allah.

Cuba renungkan firman Allah bermaksud:

“Hampir-hampir (neraka) itu terpecah-pecah lantaran marah. Setiap kali
dilemparkan ke dalamnya sekumpulan (orang) kafir, penjaga (neraka itu) bertanya
kepada mereka: “ Apakah belum pernah datang kepada kamu (di dunia) seorang
pemberi peringatan? Mereka menjawab: “ Benar ada”, sesungguhnya sudah datang
kepada kami seorang pemberi peringatan, maka kami mendustakan(nya) dan kami
katakan: Allah tidak menurunkan sesuatu pun: Kamu tidak lain hanyalah di dalam
kesesatan yang besar”

“Dan mereka berkata: Sekiranya kami mendengarkan atau memikirkan (peringatan
itu) nescaya tidaklah kami termasuk penghuni neraka yang menyala-nyala.” –
(Surah al-Mulk, ayat 8-10)

Nauzubillah minzalik, semuga kita tidak tergolong dalam golongan ahli neraka
yang masih sempat lagi memberi alasan.

Alasan boleh ditangkas dan diberkas apabila kita mempunyai perasaan
bertanggungjawab pada diri sendiri.

Kita insan yang dianugerahkan Allah bakat, kepandaian, kemahiran, potensi dan
kecantikan.

Cuba kita renung dan fikirkan mengenai anugerah bakat serta potensi diri
bagaimanakah harus kita gunakan? Berbincanglah dengan keluarga dan sahabat
handai terhadap jati diri kita. Fikirkan apakah yang boleh menimbulkan minat dan
motivasi diri?

Dalam setiap perjalanan kehidupan manusia, matlamat kita adalah sesuatu yang
sangat berharga. Tanpa matlamat, impian dan cita-cita, kita tidak ubah seperti
layang-layang yang putus talinya, tiada arah, tiada tuju, akhirnya tersungkur ke
bumi. Maka, wujudkan matlamat yang murni dalam kehidupan dan keluarga kita.
Wujudkan rasa ghairah dan cinta untuk mencapai matlamat itu. Buangkan semua
alasan yang pernah diucap dan cuba sedaya upaya diiring doa agar matlamat kita
tercapai.

Nabi Ibrahim apabila diperintahkan Allah agar meninggalkan isteri, Siti Hajar
dan anak, Ismail di satu tempat gersang, menurut perintah Allah tanpa sebarang
bantahan, tanpa mengemukakan sebarang alasan. Baginda hanya ada satu matlamat.
Mengikut perintah Allah agar dirinya mendapat keredaan Allah yang sangat
dicintai. Baginda hanya mampu berdoa:

“Ya! Tuhan kami, sesungguhnya aku sudah menempatkan sebahagian keturunanku di
lembah yang tidak mempunyai tanam-tanaman dekat rumah Engkau (Baitullah) yang
dihormati, ya Tuhan kami (yang demikian itu ) agar mereka mendirikan solat, maka
jadikanlah hati sebahagian manusia cenderung kepada mereka dan beri rezeki
mereka daripada buah-buahan, mudah-mudahan mereka bersyukur.”

Berkat doa Baginda dan matlamat yang disertai dengan komitmen dan pengharapan
jitu, tanah gersang itu dikurniakan Allah dengan pelbagai nikmat dan kemudahan
untuk dikecapi bukan saja oleh anak cucunya.

Malah, kita yang ada talian akidah dengan baginda juga dapat mengecapi nikmat
anugerah Allah kepada hamba-Nya yang sabar.

Untuk mewujudkan alasan sifar dalam diri, kita perlu mengubah cara pemikiran dan
membina keyakinan diri. Cintai dan kasihilah diri sendiri, barulah dapat
mengasihi dan menerima orang lain.

Jangan salahkan orang lain, keadaan atau masa. Jangan jatuhkan hukuman pada diri
sendiri jika sesuatu ujian menimpa.

Ketahuilah bahawa Allah sentiasa akan menguji hambanya dan Dia ingin melihat
siapakah di antara kita yang lebih baik amalannya.

Jangan sekali-kali lepaskan impian kita. Kejayaan hanya datang bagi mereka yang
bersungguh-sungguh dan yang berani mengenepikan alasan.

Terimalah cabaran, ketahuilah setiap cabaran itu ada hikmahnya.

Berani mencuba, tanpa mencuba, tiada pengalaman. Hati-hati terhadap perasaan
takutkan kegagalan dan penolakan.

Jika bisikan negatif melanda dan skrip alasan menjelma, ubah pemikiran kita,
cepat-cepat fikirkan yang positif. Buangkan alasan itu, berjanji pada diri
sendiri supaya tidak akan menggunakannya lagi. Gantikan dengan pemikiran yang
aktif seperti:

Apa yang boleh saya buat?

Apa yang boleh saya tolong?

Apa amalan yang baik yang saya harus lakukan?

Untuk mencapai alasan sifar pada diri, kita juga harus menghormati orang lain
terutama keluarga dan sahabat.

Kita harus belajar memberi kasih sayang. Kita harus belajar memberi tanpa
mengharapkan balasan. Kita harus belajar menghargai tanpa diminta dihargai.
Berilah tanpa syarat kepada mereka yang dicintai kerana kita tidak tahu bila
akan pergi.

Ikhlas dengan mereka, jauhi perasaan dengki, benci dan buruk sangka. Setia,
jujur dan mesra, itulah tunggak keluarga bahagia. Tetapi ingat, kita tidak perlu
menggadai prinsip, fikrah dan mengorbankan diri untuk orang lain.
Bersama-samalah berbincang dan berkomunikasi dengan mereka agar satu
persefahaman yang baik sentiasa diwujudkan.

Akhir sekali untuk mencapai alasan sifar dalam diri kita, kita haruslah
menambahkan ilmu di dada. Minda kita adalah seperti payung terjun. Ia tidak akan
berfungsi untuk mencapai matlamat jika tidak dibuka.

“Tuntutlah ilmu hingga ke liang lahad,” saranan Nabi Muhammad saw. Sahutlah
saranan Nabi yang mulia. Cuba kita lakukan yang berikut ini untuk menambahkan
ilmu di dada:

l Sentiasa membaca 15-30 minit sehari dari buku yang boleh membentuk peribadi
diri.

l Dengar kaset yang boleh membentuk minda, terutama ketika memandu. Jadikanlah
kenderaan kita sebuah universiti bergerak.

l Hadiri seminar dan kursus yang anda minati.

l Sentiasa bersama orang soleh dan bertakwa kerana merekalah orang yang
berkeyakinan dan berpotensi tinggi.

l Carilah guru yang baik yang sudi mendidik kita.

l Berani mencuba kerana pengalaman kunci kematangan

l Sentiasa berada dalam jemaah atau kumpulan yang mempunyai matlamat yang sama
dengan anda.