Laman Rabu - WADAH WANITA ISLAM

Wednesday, June 26, 2002

Tanggungjawab suami lindungi isteri, bukan menganiaya

26/6/2002
Tangungjawab suami lindungi isteri, bukan menganiaya
Oleh:
Dr Suriya Osman

Isteri yang didera suami kerap mahu melindungi perkara itu daripada pengetahuan umum, lebih lebih lagi dikalangan ahli keluarganya. Mereka sanggup menghadapi segala penderitaan samada dengan alasan mahu mengekalkan rumahtangga atau takutkan suami . Inilah dilema yang kerap berlaku dalam masyarakat sekarang.

Pada minggu ini dipaparkan kisah untuk renungan bersama mengenai wanita yg didera suami..

Zaiton (bukan nama sebenar) mendakwa dia jatuh tangga, dan kepalanya terhantuk. Lebam pada lehernya tidak consistent dengan cerita yg diberi kerana lebam pada lehernya itu mempunyai kesan kesan jari. Saya bertanya,” siapakah yang melakukan ini terhadapnya?”. Zaiton menangis sambil berkata:” Doktor, sebenarnya suami saya yang mencekik saya semalam. Kini leher saya sakit, saya tidak dapat pergi kerja. Saya terpaksa meminta rawatan dan surat cuti sakit.”

Zaiton bekerja sebagai kerani. Suaminya graduan mengannggur , tinggal dirumah sementara zaitoin bekerja. Semua wang gajinya diserahkan kepada suaminya. Suaminya bersifat cemburu dan terlalu mengawal serta sering memukul dan menengking apabila menyangka zaiton sengaja pulang lewat atau membreikan wang yang kurang.

Zaiton menguruskan semua urusan rumahtangga, memasak dan juga bekerja di luar rumah.. Suaminya lebih suka bermenung dan menonton television. Dua anaknya di jaga oleh ibu Zaiton ketika dia keluar bekerja.

Zaiton akan menghantar dan mengambil anak anak mereka setiap hari. Ini kerana beliau kurang yakin suaminya berupaya menjaga anak-anak mereka dirumah.

Dalam kes lain, Linda (bukan nama sebenar) baru lima bulan berkahwin. Linda berumur 17 tahun., belum bersedia mendirikan rumahtangga dengan jejaka yang menjadi temannya sehingga dia mengandung. Kedua belah pihak bersetju bahwa jalan keluar adalagh menyuruh mereka berkahwin.

Anak kecil berusia dua bulan di dokong Linda dengan erat.” Suami saya marah bila anak ini menangis kerana mengganggu tidurnya. Bila dia naik berang , hampir melemparkan anak ini “., kata Linda dengan linangan air mata.
“Saya tidak tahan doctor, suami saya garang dan panas baran. Saya tinggal dirumah mentua sebab suami saya tidak mampu menyewa rumah berasingan . Saya lihat emak mentua saya sering kena pukul dengan bapa mentua saya .saya tidak ada tempat hendak mengadu.”

Begitulah secebis kisah dari fail klinik saya. Ramai wanita tidak mahu melapurkan perbuatan suami mereka dan membiarkan serta menyembunyikan peristiwa yang berlaku. Ada juga yang menyangka dan yakin bahwa suami mereka berhak memukul mereka kerana ada ayat quran yang membenarkan suami memukul siteri.

Selain itu ada pesakit wanita saya yang tidak tahan dengan penderaan berjumpa dengan pegawai di pejabat agama, untuk membuat aduan. MAlangnya mereka dinasihatkan supaya jangan lari dari rumah sebab perbuatan itu adalah nusyuz dan derhaka kepada suami.

Ayat 34 surah An Nisa’ sering dijadikan hujah bagi mereka yang mempertahankan hak lelaki memukul isteri.. Ayat ini diterjemahkan begini:” Lelaki adalah pelindung kepada wanita (Qawwamuna) sebab Allah melebihkan sesetengah mereka daripada yang lain dan kerana mereka memberi belanja daripada hartanya. Wanita yang baik (qanitat) menjaga dengan baik kehormatannya. Perempuan yang kamu khuatirksan nushuz , maka nasihatlah mereka, dan pisahkan daripada tempat tidur dan pukullah (daraba). Kemudian jika mereka mentattaimu jangan lah kamu mencari jalan untuk mneyusahkan mereka” .

Dari ayat ini ada penafsir memberikan dua fakta:
1. Suami berhak memberi perintah kepada isteri dan menuntut isteri mengikut perintahnya
2. JIka isteri tidak patuh, suami berhak memaksanya patuh dengan memukulnya.

Jika dilihat pada seluruh ayat yang sebenarnya bermula dengan menyebut kan bahwa lelaki yang bergelar ‘rajul’ adalah pelindung wanita. Ini disebabkan kelebihnaynan berbanding wanita ia itu dia membelanjakan pendapatannya untuk wanita. Ini berarrti bulkan sebarang lelaki yang mempunyai kelebihan ke atas wanita tetapi lelaki yang memberi nafkah kepada isterinya.

Ayat ini seterusnya membicarakan mengenasi kehormatan wanita . Perkataan nusyuz bererti wanita yang tidak menjaga kehormatan atau maruah dirinya dan bukan wanita yang tidak dengar kata sebagaimana yang difahami oleh umum.

Rajul adalah fungsi social seorang lelaki yang mencapai kelebihan dengan menunjukkan ciri ciri tangungjawab yang dikaitkan dengan istilah ‘rajul’.

Ini berrti kanak kanak lelaki tidak boleh di gelarkan ‘rajul’. Begitu juga lelaki yang tidak mempunyai ciri ciri rajul bukanlah rajul.
Perkataan ‘daraba’ yang ditafsirkan dsebagai ‘pukul’ mempunyai lebih dari satu erti, antaranya mendididk, memelihara, atau memberi contoh. Pemahaman ayat ini secara literal tanpa merujuk kepada amalan rasulullah saw dan juga tanpa meneliti ayat lain dalam AL Quran adalah tidak mengikut lunas penafsiran.

Lebih banyak ayat Al Quran menyebutkan mengenai rahmat, kasih sayang, kesetaraan dan persefahaman antara pasangan suami isteri.
Riwayat hadis baginda menunjukkan Rasulullah saw tidak pernah memukul isteri isteri baginda malah ada sebuah hadis Rasulullah saw yang berbunyni begini;” “Aku tidak tahan melihat lelaki yang memukul isterinya”. Dan juga Rasulullah bersabda” Yang terbaik antara kalian adalah yang bersikap paling baik terhadap isterinya”.

Ulama juga mengaskan ‘pukul’ yang dimaksudkan ialah pukul yang tidak boleh menyakiti atau mencederakan bukan seperti yang sering berlaku apabila suami memukul isteri.

Mengapa berklaku penganiyaan ke atas isteri? Jawapannya ada dalam budaya kita yang mempunyai pelbagai anggapan dan pendirian yang meletakkan kuasa mutlak suami ke atas isteri dengan tiada pertimbangan terhadap hak isteri ke atas suami.

Masyarakata beranggapan penderaan dalam sebuah rumahtangga adalah hal ehwal dalam rumah dan perlu diselesaikan antara suami isteri tanpa campur tangan orang lain.

Ada juga sikap yang meminta wanita bersabar atas kerenah melampau suami ini konon memelihara keutuhan rumahtangga. Masyarakat lebih cenderung melihat si isteri yang didera mengekalkan kedudukannya sebagai isteri daripada menjadi janda disebabkan perceraian (akibat mengadukan hal kepada orang luar).

Isteri yang didera juga takut pada status janda yang mempunyai stigma tersendiri. Ramai wanita yang bergantung rezeki sepenuhnya kepada suami, tidak beupaya menyelamatkan dirinya daripada keadaan keganasan yang dialami.

Kurang kesedaran terhadap tanggungjawab dan lebih penekanan terhadap kelebihan lelaki juga menghasilkan lelaki yang tidak berciri rajul seperti yang disebutkan sebelum ini.

Dalam satu masyarakat dan umat Islam yang cintakan kedamaian dan kasih sayang seharusnya anggota nya menunjukkan contoh keperihatinan apabila melihat gejala penganiyaaan dan keganasaan rumahtangga yang berleluasa sekarang, hendaklah sama sama membenteras nya bukan dibiarkan.

Antara usaha usaha yang boleh di lakukan ialah meningkatkan kesedaran terhadap hak saumi dan isteri serta memupuk rasa tangungjawab, kasih sayanag dan saling hormat mengormati sesame psangaana

Paling diperklukan adalah adiidkan agama sempurna yang menghidupakn sifat penyayang, tangungjwab dan adil dalam sanbnubari yang mana sifat ini terserlah dalam watak Rasulullah saw.

Wednesday, June 19, 2002

Keimanan yang mendalam Bantu wanita hidup yakin dan bebas

19/6/2002
Keimanan yang mendalam Bantu wanita hidup yakin dan bebas
Dr. Harlina Halizah Hj Siraj

Laporan mengenai kematian seorang wanita Singapura yang dikaitkan dengan penggunaan pil pelangsing baru-baru ini mendapat liputan meluas media umum. Terdapat juga laporan mengenai wanita-wanita lain yang menderita kegagalan fungsi organ-organ penting seperti hati dan ginjal akibat dari pengambilan pil pelangsing ini. Sebagaimana yang dijangkakan, reaksi umum lebih menjurus kepada persoalan mengapa dan bagaimana perkara sedemikian boleh berlaku. Umum mahu tahu mengapakah produk-produk yang boleh membahayakan kesihatan dan nyawa itu dapat menembusi pasaran tanpa kawalselia yang ketat. Tidak menghairankan sekiranya tindakan undang-undang diambil oleh pesakit dan keluarga mereka terhadap pengeluar produk tersebut. Sekalipun terdapat amaran dan nasihat yang jelas meminta sesiapa sahaja yang ingin menggunakan sebarang produk untuk menguruskan berat badan haruslah terlebih dahulu mendapatkan khidmat nasihat dari doktor perubatan, tidak ramai yang berbuat demikian. Apa yang lebih membimbangkan, tanpa ilmu pengetahuan asas tentang fisiologi tubuh badan manusia, pemakanan dan kesihatan, amatlah mudah orangramai mempercayai bulat-bulat semua `testimonial’ atau dakwaan kejayaan yang dibuat oleh pengeluar produk-produk tersebut.

Persoalan pokok dalam isu ini adalah bagaimana dan kenapa orangramai terutamanya wanita sanggup menggunakan segala cara yang ada dan membelanjakan wang yang banyak untuk mengatasi masalah berat badan mereka. Adakah usaha ini terbit dari kesedaran yang mendalam untuk memastikan kesihatan tubuh badan mereka terjamin atau semata-mata satu jalan pintas ( short cut ) untuk mendapatkan bentuk badan menarik yang menjadi kegilaan dan obsesi para wanita dan remaja hari ini? Golongan yang sememangnya peka dan prihatin tentang kesihatan diri dan cenderung kepada gaya hidup sihat lazimnya menggunakan kaedah betul yang disyorkan oleh para doktor dan pakar pemakanan. Dengan kata lain, mereka ini mempunyai pengetahuan mendalam mengenai pemakanan dan jumlah kalori yang diambil sehari, tahap kecergasan yang dipupuk melalui aktiviti senaman yang konsisten dan sentiasa peka terhadap perkembangan sains dan teknologi yang berkaitan dengan penjagaan kesihatan. Namun terdapat pula kelompok wanita yang mahukan hasil yang segera dan pantas serta tidak sabar untuk memiliki bentuk badan yang langsing dan menarik. Mereka inilah yang sering tertipu dan mudah percaya akan keajaiban atau `miracle’ yang digembar-gemburkan di dalam media. Akibatnya, mereka mungkin akan menghadapi komplikasi kesihatan yang boleh membawa maut ataupun menjadi kecewa dan semakin rendah diri jika hasil yang diharapkan tidak menjadi kenyataan.

Tanpa disedari oleh kebanyakan dari kita, sebenarnya wanita pada hari ini disogokkan dengan satu keyakinan dan kepercayaan bahawa untuk menjadi wanita yang berdayasaing dalam alaf baru ini, mereka mestilah mempunyai penonjolan fizikal dan perawakan menarik lagi anggun. Wanita hari ini dinilai lebih melalui ketrampilan bergaya tubuh badan yang langsing, kulit muka yang putih melepak serta keupayaan menjadi daya tarikan lelaki terutamanya. Dalam media cetak dan elektronik serta di alam siber , imej dan citra sebeginilah yang ditonjolkan sebagai `trend’ dan sesuatu yang tidak dapat tidak mesti ada pada wanita hari ini. Wanita-wanita yang tidak memenuhi kriteria-kriteria ini sering digambarkan sebagai tidak berjaya dalam hidup dan kerjaya serta mengharungi kehidupan yang membosankan tanpa teman istimewa. Momokan ini berjaya menguasai pemikiran wanita moden hari ini, mengakibatkan wanita sanggup mencuba segala kaedah yang ada dan membelanjakan wang yang banyak untuk kelihatan cantik dan menarik. Menurut statistik, wanita sedunia membelanjakan lebih 33 billion USD setahun untuk produk diet atau menguruskan berat badan, 20 billion USD untuk bahan kosmetik dan 300 juta USD untuk pembedahan kosmetik. Tentu sekali perniagaan yang berkaitan dengan produk diet, kecantikan , kosmetik dan fesyen wanita menjanjikan pulangan yang begitu lumayan bagi para peniaga yang menceburkan diri dalam bidang ini. Nyatalah, ada pihak yang menangguk di air keroh, mengambil kesempatan di atas rasa bersalahnya kaum wanita apabila mereka merasa sedikit tidak ramping, kulit sudah sedikit berkedut dan tidak lagi kelihatan cantik serta menarik.

Wanita harus mampu membebaskan diri dari tekanan yang begitu mencengkam ini. Konsep dan filosofi `kecantikan’ serta `keanggunan’ yang dipelopori Barat ini sebenarnya menghakis keyakinan dan merosakkan wanita secara moral, psikologi dan spiritual.Kita harus mampu menonjolkan keupayaan sebenar yang mencerminkan citra yang cemerlang dalam memainkan peranan kita selaku anggota masyarakat yang berjaya. Janganlah sampai segala tumpuan daya dan kewangan dijuruskan kepada obsesi untuk mendapatkan `kecantikan’ ini hinggakan terabai usaha mempertingkatkan ilmu dan kemahiran berfikiran yang kritis dan konstruktif. Sesungguhnya isu ini bukanlah isu yang kecil. Ia sebenarnya menyentuh tentang satu bentuk kebebasan yang asasi : kebebasan untuk mencorakkan masa hadapan sendiri dan peluang untuk berbangga dengan kehidupan yang dijalani, tanpa perlu dikongkong oleh satu aliran pemikiran yang penuh kepura-puraan.

Dalam hal ini, Islam memberikan jawapan kepada mereka yang masih tercari-cari identiti dan citra diri mereka sendiri. Dengan memberikan penekanan kepada keseimbangan perkembangan fizikal dan rohaniah dalam manifestasi iman, seorang wanita Islam mampu menjalani kehidupan penuh yakin dan bebas. Keimanan yang mendalam akan dapat melahirkan individu yang yakin terhadap dirinya sendiri dan mampu menerokai segala potensi yang dianugerahkan Allah SWT.Penilaian dan analisanya tidaklah hanya berligar dangkal di sekitar dunia yang sempit , malah mampu menerjah jauh dan menghasilkan buah fikiran yang bernas untuk diwariskan kepada generasi yang akan datang. Jennifer Calvo, seorang wanita Amerika yang memeluk Islam dua tahun lepas telah menyatakan,` Islam memberikan sesuatu yang hilang dalam hidup saya selama ini. Sebelum ini, saya sering murung apabila terpaksa menyesuaikan diri dalam budaya gila yang menentukan bentuk imej wanita tentang bagaimana kami harus kelihatan menarik dari gaya rambut,solekan dan pakaian. Hidup saya sentiasa terasa kosong. Sekarang, semuanya lebih mudah. Saya hanya perlu mematuhi perintah Allah dan menyesuaikan diri dengan pengabdian saya kepada-Nya. Buat sekelian kalinya, saya rasa cukup aman dan merdeka.( rujuk National Geographic keluaran Januari 2002 dalam artikel ` In Focus : The World of Islam’ - mukasurat 85 ) .

Bagi mereka yang berazam untuk mengurangkan berat badan terutamanya jika mereka tergolong dalam kelompok yang mengalami masalah berlebihan berat badan, berikut adalah beberapa saranan yang wajar dipertimbangkan :

· Niatkan usaha anda untuk Allah. Dengan mengurangkan berat badan, anda akan mendapatkan tahap kesihatan optimum dan seterusnya dapat menjalankan ibadah dengan baik. InsyaAllah, niat murni itu pastinya akan mendapat ganjaran dari Allah SWT.
· Dapatkan nasihat doktor untuk mengetahui apakah sebab utama anda mempunyai berat badan yang berlebihan. Sebaiknya, jalani pemeriksaan menyeluruh untuk mengetahui tahap kesihatan anda sekarang sebelum menjalani sebarang program khusus.
· Ikuti program khusus untuk menguruskan badan – selain pemakanan, amalan senaman yang sesuai juga penting.
· Lakukan riadah berkumpulan atau bersama-sama pasangan anda. InsyaAllah, motivasi yang tinggi akan dapat dikongsi bersama dan anda akan lebih istiqamah dalam mengikuti program.
· Jangan tergesa-gesa atau mahukan hasil yang segera. Anda sebenarnya perlu mengubah banyak lagi aspek kehidupan seperti sikap, cara hidup dan amalan negatif yang sudah sebati dengan gaya hidup anda.

Semoga anda dapat mempertingkatkan amal dan usaha mencari keredhaan Allah SWT.

Penulis adalah merupakan seorang doktor pakar sakit puan dan boleh dihubungi di emel , wjim@pd.jaring.my

Wednesday, June 12, 2002

Ke arah mewujudkan keluarga bahagia

12/06/2002
Ke arah mewujudkan keluarga bahagia
By Dr Niekmah Adam

APABILA seorang ibu melahirkan anak, bermulalah satu perhubungan antara
ibu dan anak serta bapa dan anak. Tidak kurang penting juga, perhubungan
suami isteri antara ibu dan bapa memasuki era yang serba baru dan tidak
sama dengan perhubungan sebelumnya.
Pada peringkat bayi sehingga praremaja, perhubungan ibu dan anak adalah
lebih kepada perhubungan untuk mencukupkan keperluan biologi si anak.
Tidak dinafikan keperluan mendidik mengambil sebahagian besar daripada
perhubungan itu.
Jika diteliti dengan lebih mendalam, yang berlaku sebenarnya ialah
pembinaan asas penerimaan ilmu pengetahuan seperti membina tubuh badan
sihat dan pemakanan seimbang untuk sel otak membesar dengan sempurna. Ini
adalah satu bentuk untuk mencukupkan keperluan biologi si anak.
Untuk menjaga sense of security kanak-kanak, ibu bapa akan sentiasa
berada di sisi. Jika ada sebarang tanda tekanan seperti tangisan, ibu bapa
akan segera mengurangkannya dengan mendukung atau mendodoi si anak.
Apabila anak melepasi umur mumaiyiz dan menjangkau umur sembilan tahun,
perkembangan emosinya berkembang dengan amat pesat sekali.
Mereka mula mahu membuat penemuan sendiri dalam kehidupan. Mereka tidak
mahu dilihat terlalu bergantung kepada ibu bapa.
Mereka berasa bahawa mereka cukup dewasa untuk berdikari. Cuba kita
perhatikan kanak-kanak ketika ditegur atau dileter oleh ibu atau bapa,
mereka kelihatan gelisah.
Sebabnya ialah mereka tidak mahu tekanan. Ada juga remaja, terutama
lelaki yang berasa bahawa apa yang dileterkan itu sudah dibuat, oleh itu
tidak perlu ditegur lagi.
Perhubungan ibu bapa dengan anak remaja memang mencabar. Anak yang
selama ini dididik dengan kasih sayang serta taat kepada ibu bapa, tiba-
tiba berani menunjukkan tanda tidak taat.
Dalam hal ini, ibu bapa tidak boleh cepat membuat rumusan. Contohnya
dengan berkata kesetiaan anak tercemar.
Ada ibu bapa yang murung serta hilang punca atau keliru dengan keadaan
sedemikian.
Jalan mudah ialah dengan menyuruh dan memaksa anak taat sebab Islam
mewajibkan anak taat kepada ibu bapa. Masalahnya remaja sukar `taat',
sebab mereka berasa tidak wajar ibu bapa menegur mereka kerana beranggapan
berada pada pihak yang benar.
Inilah bermulanya konflik antara ibu bapa dan anak. Mungkin ibu bapa
tidak terlalu mengambil mudah sebelum mengkaji sama ada perubahan pada
anaknya itu memang akibat gejala buruk yang menimpa atau hanya fenomena
biasa bagi remaja.
Sebagai contoh seorang remaja lelaki, mereka akan mula berenggang dengan
bapanya apabila berumur lebih kurang 15 tahun. Mereka lebih suka menyimpan
sendiri masalah mereka atau berkongsi dengan kawan dan teman.
Bapa adalah yang terakhir sekali dirujuk. Sekurang-kurangnya dengan
ibunya bolehlah juga berbincang dan meluahkan perasaan. Apa yang hairannya
si bapa pula mula kurang memikirkan hal ehwal anak lelakinya.
Bapa biasanya beranggapan anak lelakinya sudah besar dan tahu menjaga
diri. Oleh itu, tidak perlu risau. Berbeza tanggapan bapa terhadap anak
remaja perempuan. Bapa akan berasakan bahawa beban memelihara keselamatan
anak gadisnya terletak sepenuhnya di atas bahunya.
Bagi anak lelaki yang merokok, ibu bapa tidak perlu terus menghukumnya
sebaik sedar yang dia merokok, mungkin sejak sekian lama. Berbual dengan
telus dan baik untuk mencungkil mengapa dia merokok.
Mungkin sebabnya ialah tekanan menghadapi pelajaran. Jadi perlu didiknya
dengan teknik pengurusan tekanan. Beri dia rawatan jika perlu. Apa yang
penting ialah dia mahu berhubung dengan ibu bapa dan mula menunjukkan
tanda mengurangkan tabiat merokok.
Bagi remaja yang mula mengenal cinta. Apa yang penting ialah kawalan dan
hala tuju hidup. Bukan hanya setakat menghukum tidak boleh bercinta,
sedangkan perasaan cinta adalah tabiat semula jadi yang baru berputik pada
setiap insan remaja.
Tegasnya dinamika perasaan, kejantinaan, kematangan dan pemikiran anak
remaja perlu difahami sebelum satu perhubungan yang baik dapat diwujudkan.
Ibu bapa Muslim perlu memiliki kesepaduan dan keperkasaan hubungan yang
baik sebagai suami isteri supaya boleh dijadikan contoh oleh anak.
Selepas itu, segala aspek dinamika tabii yang diperkatakan perlu
dihayati, dicantikkan dengan pelaksanaan hukum hakam Islam hingga wujud
sebuah keluarga bahagia.
* Penulis adalah seorang doktor gigi. Sebarang pertanyaan dan komen boleh
dihubungi di e-mel: wjim@pd.jaring.my

Wednesday, June 05, 2002

Raudatus Sakinah terima banyak kes remaja hamil

5/6/2002
Raudatus Sakinah terima banyak kes remaja hamil
Pn Yusnani Abdul Hamid

MAZLAN (bukan nama sebenar) tidak mahu melihat anak saudaranya yang
ternoda terus hanyut mengharungi hidup remajanya. Baginya, anak saudaranya
perlu dilindungi dan diselamatkan daripada terus terjerumus dalam gejala
sosial lain.
Dengan fikiran waras dan terbuka, Mazlan menghantar anak saudaranya ke
Raudatus Sakinah, tempat bimbingan dan perlindungan remaja yang
dikelolakan oleh Jamaah Islah Malaysia.
Raudatus Sakinah memberi perlindungan kepada remaja puteri berusia 12
hingga 25 tahun. Mereka adalah remaja yang menjadi mangsa gejala sosial
seperti penderaan, sumbang mahram, murtad, pergaulan bebas dan hamil luar
nikah.
Mazlan dalam keterangannya kepada petugas Raudatus Sakinah memberitahu
bahawa anak saudaranya yang berusia 15 tahun, hamil lima bulan.
Beliau mendakwa anak saudaranya adalah mangsa cinta remaja yang
terpedaya godaan lelaki hidung belang. Lelaki ini dapat mengisi hati yang
kekosongan kasih sayang ibu bapa yang sibuk mencari rezeki untuk menampung
keperluan hidup.
Lelaki itu terus menghilangkan diri sebaik mengetahui remaja berkenaan
hamil.
Gadis malang pula terkapar-kapar dan baru menyedari pentingnya nilai
kesucian dirinya.
Tetapi apa hendak dikata terlajak perahu boleh di undur terlajak
`bermukah' buruk padahnya. Gadis malang tiada jalan lain kecuali
memberitahu ibu mengenai nasibnya.
Sebaik mengetahui bahawa anaknya mengandung, si ibu amat marah dan
menghalaunya keluar rumah. Remaja itu hampir-hampir membunuh diri
mengenangkan nasib malangnya.
Nasibnya baik kerana bapa saudaranya prihatin dengan masalahnya. Bapa
saudaranya menghantar dia ke pusat bimbingan remaja puteri, Raudatus
Sakinah.
Di pusat itu, remaja berkenaan dipulihkan emosinya, dikenalkan dengan
mentor atau kaunselor yang prihatin, empati dan simpati untuk memulihkan
semangatnya.
Dia diberikan bimbingan dan kefahaman agama, diajarkan kemahiran sebagai
persediaan masa depan seperti menjahit, memasak dan membuat kraftangan.
Dia juga diberi bimbingan pengetahuan teknologi, maklumat dan komunikasi
(ICT)
Anak yang dilahirkan kemudian diambil sebagai anak angkat oleh ibu bapa
angkat yang terpilih.
Jika dulu banyak kisah anak luar nikah dibuang dalam tong sampah, tetapi
kini kes sebegini semakin kurang.
Pusat ini menerima banyak permintaan untuk mendapatkan anak angkat
daripada pasangan yang memerlukan anak. Mereka mempunyai latar belakang
keluarga yang baik, berpelajaran, berkemampuan, empati dan simpati.
Ini adalah antara beberapa kes remaja bermasalah yang dirujukkan ke
pusat ini.
Menurut rekod, 83 peratus kes kemasukan ke pusat ini adalah wanita hamil
di luar nikah yang membabitkan remaja berusia 14 hingga 22 tahun. Daripada
jumlah itu, 47 peratus berusia 14 hingga 17 tahun.
Perangkaan turut menunjukkan 11 peratus adalah kes pergaulan dan seks
bebas membabitkan remaja bawah umur dan masih di bangku sekolah.
Bagaimana mereka boleh terjerumus ke lembah perzinaan dan akhirnya
membinasakan diri sendiri? Adakah hanya mereka yang patut dipersalahkan?
Sebagaimana biasa apabila berlaku gejala sosial dan sesuatu yang `rosak'
dalam masyarakat, maka banyaklah tangan yang menuding menyalahkan remaja
semata-mata.
Remaja sukakan cabaran dan mencuba sesuatu yang baru. Kebanyakan mereka
mudah terikut dengan gaya dan trend cara hidup `lain' daripada yang lain,
kecuali remaja berkenaan sejak kecil diasuh dengan adab kesopanan dan
batas pergaulan sihat.
Remaja sekarang bukanlah remaja zaman semalam. Remaja sekarang hidup
seiring dengan pembangunan dunia. Perubahan ini membawa bersama perubahan
gaya hidup rakyat di setiap lapisan masyarakat.
Apabila negara semakin maju semakin besar pula cabaran ibu bapa dalam
pengurusan dan pendidikan anak.
Pakar motivasi dan keibubapaan juga mengakui hakikat ini. Kehidupan kini
tidak semudah dulu. Remaja kita semakin kompleks.
Pendidik, pengkaji sains sosial, ahli psikologi dan ibu bapa seharusnya
melihat kembali dan menilai semula apakah keutamaan dalam hubungannya
dengan remaja. Jika ibu bapa gagal memahami anak mereka, kekecewaan dan
penyesalan kesudahannya.
Kebanyakan ibu bapa dan masyarakat masih lagi tidak dapat memahami citra
dan cita rasa remaja.
Ibu bapa dan masyarakat masih dibelenggu dengan cara didikan lama.
Mereka dibelenggu dengan perangai ibu bapa yang penuh keegoan diri dan
bersikap `kami lebih tahu, lebih dulu makan garam'. Kadang kala ketegasan
ibu bapa dianggap oleh remaja sebagai gila kuasa dan mengongkong mereka.
Remaja tidak gemar kongkongan kerana sifat semula jadi `suka melawan dan
agresif'. Tetapi jika mereka dapat difahami dan diuruskan dengan baik
serta kena caranya, mereka sebenarnya sangat kendiri untuk menyelesaikan
masalah mereka.
Penanaman dasar akidah yang benar dan keimanan kukuh dengan contoh baik,
seharusnya dibuat sewaktu kecil. Motto `kita buat apa yang kita dakyahkan'
bukan `dakyahkan apa yang kita buat', sepatutnya diamalkan.
Realiti masa kini menunjukkan sebilangan ibu bapa dan masyarakat suka
menasihatkan remaja apa yang mereka tidak lakukan atau menunjuk-nunjuk apa
yang kononnya `baik' untuk mereka lakukan.
Jadilah pendengar yang baik, anggaplah remaja sebagai kawan yang kita
hormati, tidak merendah-rendahkan kecerdikan, tidak menjatuhkan air muka
dan hargailah pencapaian mereka.
Pada masa sama, nada suara juga seharusnya berbau kemesraan dan kasih
sayang. Kita perlu menanam kesabaran dan ketahanan dalam diri jika
menghadapi remaja bermasalah. Fahamilah faktor sekeliling yang membuat mereka jadi begitu. Di sinilah letaknya ketrampilan dan kemahiran keibubapaan. Di samping itu sentiasa berdoa agar hati mereka lembut dan cintakan kebenaran dan ketakwaan.
- Penulis adalah Pengurus Raudatus Sakinah, Pusat Bimbingan dan
Perlindungan Remaja Puteri dan boleh dihubungi di e-mel wjim@pd.jaring.my.